Bukan semua tempat di dunia ini dibuka untuk kita lawati sebagai pelancong. Ada kalanya sesetengah tempat atau lokasi ditutup atas dasar keselamatan, warisan atau mungkin juga untuk melindungi tempat itu sendiri.
Tidak hairan wujud banyak tempat sebegitu rupa di atas muka bumi, di mana kehadiran orang luar dihalang. Berikut merupakan 5 kawasan dalam dunia yang ditutup oleh pihak kerajaan daripada dimasuki orang ramai atas sebab-sebab tertentu.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Pulau Sentinel Utara
Pulau yang terletak dalam gugusan kepulauan Andaman, merupakan kawasan tempat tinggal suku Sentinelese. Mereka akan bertindak menghalang kemasukan orang luar ke pulau mereka, dengan menggunakan kekerasan. Tidak banyak yang diketahui tentang corak hidup masyarakat yang tinggal di sana.
Pulau ini mempunyai keluasan 59 kilometer persegi dan diisytiharkan berada di bawah pentadbiran kerajaan India. Atas desakan penduduk asal yang tetap mahu mengekalkan corak kehidupan mereka di pulau itu, kerajaan India membiarkan penduduk di sana terus hidup seperti biasa dan hanya melakukan tinjauan berkala. Lawatan terakhir wakil kerajaan India ke pulau tersebut berlaku pada tahun 1997.
Bagi menghormati cara hidup penduduk pulau tersebut yang tidak mahu diganggu, kerajaan India menjadikan lingkungan kawasan pulau tersebut sebagai pulau larangan serta melonggarkan syarat jenayah di situ - sekiranya ada penduduk India yang memasuki pulau tersebut dan dibunuh penduduk pulau itu, pembunuhnya tidak akan dibicarakan atau menghadapi tuduhan jenayah.
2. Gua Lascaux
Gua Lascaux atau Lascaux Caves di Perancis merupakan satu jaringan gua yang berselirat seperti sebuah labirin, yang menempatkan lebih 900 lukisan dinding sejak zaman paleolitik. Dijumpai pada tahun 1940 oleh empat orang kanak-kanak secara tidak sengaja, gua tersebut dibuka pada orang awam secara rasmi pada tahun 1948. Kesan pembukaan gua tersebut pada orang ramai, mula menjejaskan lukisan yang ada pada dinding gua tersebut.
Gua tersebut akhirnya ditutup pada tahun 1963 bagi membolehkan usaha memulihara lukisan tersebut dilakukan, sehingga sekarang kepada orang awam. Ekoran penutupan itu, sebuah lagi gua dibina menjadi replika kepada gua asal dan dinamakan Lascaux II, dibuka bagi kunjungan ornag ramai. Bagi gua yang asal pula, hanya mereka yang tertentu saja dibenarkan masuk. Pengawal sekuriti gua tersebut pun hanya dibenarkan masuk sekali seminggu selama beberapa minit sahaja.(rujukan)
3. Pulau Surtsey
Terbentuk buat kali pertama pada tahun 1965 dalam proses selama tiga tahun akibat letupan gunung berapi, sehinggalah terhenti letupan gunung berapi pada tahun 1967, Pulau Surtsey yang mempunyai permukaan berbatu dan terletak di Iceland diisytiharkan kawasan larangan. Hanya penyelidik dibenarkan masuk ke situ.
Menjadi pusat penyelidikan saintis untuk mengkaji bagaimana permukaan bumi terbentuk dan bermula secara semulajadi, saintis berjaya menemui hidupan pertama di pulau itu, sejenis pokok bunga yang dinamakan cakile arctica pada tahun 1965.
Sehingga tahun 2004, sebanyak 60 spesis tanaman yang benihnya dibawa air laut tumbuh di sekitar pulau tersebut. Pulau Surtsey menjadi satu-satunya pulau semulajadi di bumi di mana proses kehidupan di situ bebas daripada campur tangan manusia. (rujukan)
4. Pulau Diego Garcia
Pernah dengar nama ini? Nama ini cukup popular di kalangan rakyat Malaysia selepas kehilangan MH370 beberapa tahun lalu. Pulau ini dikatakan menjadi lokasi pesawat tersebut disimpan, menurut pendapat beberapa orang yang percaya kejadian itu berlaku.
Mempunyai pantai yang cantik dengan rangkaian batu karang yang tidak pernah diganggu, Diego Garcia diletakkan di bawah pentadbiran British Indian Ocean Territory - selepas dibeli oleh kerajaan Britain atas perjanjian di antara Britain dan Amerika Syarikat.
Ini bagi membolehkan tentera Amerika Syarikat membuka pengkalan di pulau Diego Garcia, yang kini dikenali dengan nama Thunder Cove oleh tentera Amerika Syarikat.
5. Bandar Mezhgorye
Terletak di selatan banjaran Ural, kawasan Mezhgorye dibuka pada tahun 1979 sebelum diangkat sebagai sebuah bandar secara rasmi dan diberikan nama pada tahun 1995. Mempunyai seramai 19 ribu penduduk, untuk memasuki bandar tersebut memerlukan kelulusan terus daripada kerajaan Russia sendiri. Tanpa permit, anda tidak dibenarkan masuk ke bandar itu.
Khabar angin mengatakan penduduk Mezhgorye adalah individu-individu terpilih yang dilantik untuk melakukan projek kelolaan kerajaan Russia berkaitan senjata nuklear. Gunung Yamantaw yang terletak di situ pula menjadi tempat di mana peluru balistik anti nuklear akan dilancarkan, sekiranya senjata nuklear dihalakan ke arah Russia.
Gambar-gambar satelit yang berjaya dirakam di bahagian Gunung Yamantaw mendapati wujud kesan korekan tanah yang dilakukan secara besar-besaran. Apabila disoal tentang apa yang berlaku di situ, kerajaan Russia secara rasmi menukar-nukar jawapan yang mereka berikan, setiap kali diminta memberikan penjelasan.