Dalam sistem ekonomi dunia, wujud satu gelaran khas disebut sebagai 'oligarch', digunakan sebagai rujukan kategori hartawan yang datang dari Russia dan negara jirannya.

Walaupun lebih sinonim dengan kumpulan hartawan dari negara rantau bekas Kesatuan Soviet, istilah 'oligarch' sebenarnya merupakan istilah pinjaman Yunani/Greece 'oligarchia' - bermakna 'sekumpulan kecil individu yang memegang kuasa.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kejatuhan Soviet meninggalkan vakum kuasa membantu individu-individu tertentu naik, menguasai pengaruh besar kepada ekonomi dan dasar kerajaan khasnya melibatkan dua negara iaitu Russia dan Ukraine.

Siapakah lima oligarch atau dalam istilah bahasa Melayu-nya 'oligarki' yang paling berkuasa di Russia?

5. Leonid Mikhelson (petroliam)

leonid mikhelson vladimir putin

Menjana kekayaan sebagai pemegang saham terbesar syarikat carigali minyak Russia Novatek, Leonid Mikhelson yang lahir pada 11 Ogos 1955 merupakan individu ke lima terkaya Russia.

Sesuatu yang unik tentang beliau - Mikhelson yang merupakan seorang Yahudi Ashkenazi memulakan karier sebagai seorang juruteknik perpaipan petroliam tahap rendah di Siberia.

Selepas diangkat ke tahap pengurusan, hubungan akrab beliau dengan seorang lagi individu bernama Gennady Timchenko dimanfaatkan sebaik mungkin, sejak dekad 1980-an bekerjasama mencatur strategi semasa industri petroliam di negara Kesatuan Soviet menjalani penswastaan.

Timchenko dikatakan rapat dengan Presiden Russia kini, Vladimir Putin yang dikenali sejak usia muda. Hubungan dengan Timchenko serta sokongan Putin dikatakan membantu Mikhelson memperkembangkan karier - sehingga kedua-duanya menjadi gergasi industri petroliam Russia kini.

Mikhelson duduk di tempat kelima dalam senarai ini, sementara rakan baiknya Timchenko tidak jauh di belakang menduduki tangga ke enam.

4. Vagit Alekperov (petroliam)

vagit alekperov vladimir putin

Memegang kelulusan doktor falsafah dalam bidang ekonomi, Vagit Alekperov seorang warganegara Azerbaijan lahir semasa pemerintahan Kesatuan Soviet di negara asalnya pada tahun 1950.

Menuruti jejak langkah ayahnya, Alekperov turut berkecimpung dalam bidang carigali minyak memulakan kerjaya sebagai operator mesin galian sekitar tahun 1968 di sekitar Azerbaijan dan Siberia.

Beliau mula bergiat lebih aktif dalam bidang pentadbiran kerajaan selepas dilantik sebagai pengarah agensi gas dan petroliam, di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet pada tahun 1987.

Dari situ kepakarannya dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan Soviet yang akhirnya melantik beliau sebagai timbalan menteri, bagi menguruskan kementerian yang menjaga gas dan petroliam Kesatuan tersebut.

Pada tahun 1991 Alekperov mula menggunakan kuasa yang beliau pegang untuk melobi penggabungan tiga syarikat gergasi petroliam Soviet, iaitu Langepas, Uray dan Kogalymneft di bawah satu konglomerat.

Usaha beliau berjaya. Konglomerat baru hasil gabungan itu dinamakan LUKOIL ditubuhkan.

Sebagai habuan kepada diri sendiri atas penat lelahnya, Alekperov meletakkan diri beliau sebagai Presiden syarikat tersebut pada tahun 1993 dan terus kekal menerajui syarikat itu sehingga sekarang.

3. Vladimir Lisin (besi waja)

vladimir lisin dan vladimir putin

Vladimir Lisin adalah 'Vladimir' pertama dalam senarai ini yang kebetulan mempunyai nama serupa dengan Presiden Russia sekarang, Vladimir Putin.

Membina kekayaan dalam bidang industri besi dan logistik - Lisin turut memulakan kerjaya dari bawah sebagai seorang juruelektrik sebuah lombong di Siberia, sebelum beralih arah bertugas sebagai pekerja kimpalan besi di sekitar Russia.

Nasib Lisin mula berubah selepas penyertaan beliau sebagai pengurus dalam sebuah syarikat perdagangan bernama TransWorld Group kendalian dua warga Britain, yang memfokuskan kepada bahan aluminium sebagai barang dagangan.

Selepas saham syarikat itu dibuka untuk jualan ekoran pengasasnya mahu beralih arah, Lisin nekad membeli 13% daripada saham syarikat itu. Sedikit demi sedikit Lisin  melebarkan sayap, sehingga akhirnya menjadi pemegang saham utamanya.

Syarikatnya kini iaitu OJSC Novolipetsk Steel merupakan syarikat pengeluar besi waja keempat terbesar Russia.

Selain industri besi waja, Lisin juga berkecimpung dalam bidang logistik menerusi syarikat logistik First Cargo serta mempunyai pegangan dalam beberapa buah pelabuhan sekitar Russia.

2. Vladimir Potanin (perbankan)

vladimir potanin jfif

Perjanan kerjaya Vladimir Potanin mempunyai jalan lebih mudah berbanding kesemua oligarch yang kami senaraikan dalam artikel ini.

Anak kepada pegawai tinggi tentera Kesatuan Soviet, Potanin dibentuk untuk menjadi pemimpin sejak usia muda. Dia dihantar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi antarabangsa, sebelum diserap masuk ke dalam kementerian luar negeri di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet sekitar tahun 1983.

Posisi rapat beliau dengan individu berpengaruh membantu namanya naik, sehinggakan dia berjaya dilantik sebagai Presiden sebuah bank yang baru ditubuhkan iaitu ONEKSIMbank.

Menjadi nama besar dalam sektor perbankan membolehkan Potanin memainkan peranan besar dalam pembentukan dasar kerajaan pada tahun 1995, ketika itu di bawah pemerintahan Boris Yeltsin.

Bagi membantu Yeltsin yang kekurangan dana untuk mengharungi pilihanraya, Potanin mewujudkan skim pinjaman di mana pelabur yang berminat boleh melabur ke dalam syarikat-syarikat berstatus hak milik kerajaan, dengan kerajaan Soviet bertindak sebagai peminjamnya. Sebagai jaminan, pelabur diberikan pegangan saham ke atas syarikat-syarikat milikan kerajaan yang ditawarkan.

Taktik ini sebenarnya adalah serampang dua mata. Yeltsin turut menggunakan kesempatan ini untuk menyekat pengaruh individu politik berideologikan komunisme daripada terus memegang jawatan-jawatan penting dalam syarikat berstatus GLC.

Syarikat-syarikat GLC tadi mula menerima kemasukan pemegang saham daripada individu hartawan terpilih yang telah ditentukan oleh Potanin dan kumpulannya. Situasi ini jelas menimbulkan kontroversi besar kerana jelas wujud pilih kasih di situ.

Walaupun begitu tindakan ini berjaya membendung pengaruh komunis.

Bagaimanapun taktik ini juga membolehkan individu-individu kaya mula berkuasa menentukan halatuju perjalanan syarikat yang terlibat dalam industri-industri besar kelolaan kerajaan sebelum itu.

Peristiwa inilah dikatakan menjadi pencetus bermulanya golongan penguasaan oligarki di Russia. Yeltsin berjaya memenangi pilihanraya dan pengaruh komunis berjaya dikekang, tetapi sistem oligarki mula bertaut rapat dalam setiap urusan kerajaan. 

Sehingga kini nama Potanin akan disebut sebagai individu yang bertanggungjawab memulakan sistem oligarki dan bagaimana dia menggunakan kedudukannya, untuk meletakkan dirinya dalam kumpulan ciptaannya.

1. Alexei Mordashov (besi waja)

alexei mordashov orang paling kaya russia putin

Berasal dari keluarga susah, Alexei Mordashov lebih gemar mengamalkan privasi walaupun bergelar orang terkaya di Russia.

Dia juga tidak terbuka menayangkan hubungan dengan individu berpengaruh di Russia, walaupun ada pihak mendakwa beliau dan Vladimir Putin mempunyai kesefahaman yang rapat. Tidak banyak yang diketahui tentang beliau.

Kisah Mordashov terkenal kerana dia telah layak bergelar seorang jutawan pada usia 30 tahun hanya berbekalkan kemampuan beliau dalam bidang ekonomi dan perakaunan.

Sekitar tahun 1988, Mordashov memulakan karier sebagai tukang besi di sebuah kilang milik kerajaan yang terletak di Cherepovets, lokasi sama kedua ibu bapanya mencari rezeki. Prestasi baik serta latar belakang pendidikan beliau dalam ekonomi, membolehkan dia dilantik sebagai pengarah kewangan kilang tersebut pada tahun 1992.

Semasa ura-ura penswastaan kilang itu bakal berlaku, Mordashov dinasihati salah seorang pengarah kilang veteran di situ yang mengingatkan Mordashov untuk berusaha mendapatkan pegangan saham kilang tersebut agar tidak jatuh ke tangan orang luar.

Mordashov menuruti nasihat tersebut menggunakan dana pelaburan yang dibuka sebagai pengurus untuk membeli saham syarikat tersebut serta menawarkan pembelian semula saham yang telah dijual kepada kumpulan pekerja untuk dirinya sendiri.

Langkah itu membolehkan Mordashov layak bergelar pemegang saham terbesar kilang tersebut, kemudiannya melantik dirinya sebagai Ketua Eksekutif Operasi pada tahun 1996.

Di bawah kendalian beliau, kilang itu mula berkembang. Keuntungan yang dijana dimanfaatkan untuk pelaburan ke dalam industri berbeza seperti industri arang batu dan perlombongan, membolehkan empayar perniagaannya berubah menjadi sebuah konglomerat gergasi yang dinamakan Severstal.

Mordashov boleh berbangga melihat dari hanya sebuah kilang besi, Severstal kini merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa pelbagai industri yang mempunyai fasiliti di Ukraine, Kazakhstan, Perancis dan Itali serta bergelar syarikat pengeluar besi waja terbesar di Russia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)