Negara kita dan gerakan boikot sebenarnya sangat-sangat serasi. Ini kerana boikot merupakan salah satu cara terbaik negara-negara kecil seperti kita mampu didengari negara-negara lain yang berkuasa di dunia.

Walau demikian, disebabkan oleh tradisi suka boikot yang kerap diamalkan - ini menyebabkan masyarakat Malaysia sesama kita pun akan menggunakan taktik serupa; salah sikit terus boikot saja solusinya. Slogan 'boikot McDonald, boikot Starbucks, boikot Astro, boikot Air Asia' dan bermacam lagi gesaan seringkali kedengaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

5 kes boikot berkaitan negara malaysia

Pernahkah anda tahu tentang beberapa gerakan boikot yang benar-benar meninggalkan kesan pada masyarakat kita, tanpa kita sedari? Berikut adalah lima gerakan memboikot yang kami rasakan banyak membentuk identiti masyarakat kita ketika ini.

1. Boikot Olimpik 1980

malaysia boikot olimpik 1980

Gerakan boikot yang paling banyak meninggalkan kesan pada negara kita - tindakan memboikot kejohanan Olimpik tahun 1980 yang dilangsungkan di Moscow, Russia berpunca daripada bantahan serangan Russia ke atas wilayah-wilayah di Afghanistan, diketuai Amerika Syarikat.

Atas tindakan itu, masyarakat kita terlepas peluang untuk menyaksikan kejayaan terbesar pasukan bola sepak kebangsaan bertanding dalam sukan Olimpik - selepas berjaya melayakkan diri melalui pusingan kelayakan yang berliku. Kemenangan menundukkan Korea Selatan, Brunei, Indonesia dan Filipina serta seri dengan Jepun membuktikan skuad negara ketika itu berada pada satu tahap yang amat tinggi.

Sesuatu yang ironi adalah kempen boikot temasya Olimpik itu dimulakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri sebagai tindakan mengutuk dan mengecam kekejaman kerajaan Russia. 19 tahun kemudian, kerajaan Amerika Syarikat pula menceroboh masuk ke Afghanistan atas alasan menghentikan aktiviti keganasan. (Malaysia boikot Moscow 1980)

2. Boikot Petronas 2008-2015

boikot petronas

Kempen memboikot Petronas telah melalui banyak fasa dan setiap kali kenaikan harga minyak berlaku - Petronas akan dipersalahkan kerana didakwa penyebab utama kenaikan itu. Sehingga pernah dilaporkan berlaku serangan fizikal ke atas pekerja berpakaian uniform Petronas di dalam komuter, sekitar tahun 2008.

Perkara itu kembali memuncak pada tahun 2015 selepas berlakunya kenaikan harga minyak, dengan Petronas dituduh menjadi pihak yang menentu dan menetapkan harga minyak dalam pasaran kita.

Gerakan memboikot ini cukup besar sehingga memerlukan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu sudah bersara) masuk campur bagi menerangkan kenapa harga minyak perlu dinaikkan, untuk meredakan kemarahan orang ramai yang ketika itu lebih mempercayai tuduhan pihak tertentu. (Petronas dan harga minyak)

3. Boikot Piala AFF Suzuki

malaysia boikot aff suzuki

Ekoran daripada gerakan kerajaan Myanmar yang bertindak menghalau dan melakukan gerakan pembersihan etnik, penyertaan pasukan kebangsaan kita dalam kejohanan bola sepak AFF Suzuki tahun 2016 yang dianjurkan di Yangon, menjadi persoalan.

Gesaan untuk memboikot kejohanan tersebut datang selepas beberapa insiden melibatkan orang etnik Rohingya yang dilaporkan, mengakibatkan tokoh-tokoh seperti Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bertindak mengeluarkan kenyataan menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia menarik diri dari kejohanan yang sudah disertai separuh jalan.

Reaksi kepada gesaan itu menyebabkan wujud perbalahan serta kerisauan seandainya tindakan seperti itu akan menyebabkan penganjuran acara bola sepak di temasya Sukan SEA 2017 bakal terjejas. Walau bagaimanapun, selepas tewas dua perlawanan peringkat kumpulan dan gagal ke pusingan berikutnya - pasukan kebangsaan perlu pulang lebih awal; seterusnya menamatkan polemik itu. (Bola sepak Sukan SEA terjejas jika boikot Piala AFF)

4. Boikot roti Gardenia 2012

roti gardenia robert kuok cina syed bukhary

Salah satu gerakan boikot yang menimbulkan keresahan pada orang ramai adalah kempen memboikot produk Gardenia. Tidak jelas siapa penganjurnya, tetapi gerakan itu didakwa perlu dilakukan sebagai tanda protes urusan perniagaan berat sebelah yang mementingkan ahli perniagaan Syed Mokhtar al-Bukhary.

Berlaku secara tidak rasmi dengan penyebaran risalah-risalah berbentuk fizikal dan maya, situasi pada ketika itu diburukkan lagi dengan kewujudan roti jenama Massimo yang dikatakan diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap apa yang telah berlaku.

Lama juga isu ini dipanjangkan, sehingga menjadi satu isu perkauman di mana masyarakat Melayu terus menyokong roti jenama Gardenia sementara masyarakat Cina hanya membeli produk jenama Massimo. Pada ketika gerakan ini berlangsung, setiap rakyat Malaysia menjadi pakar dalam menerangkan kepada semua apa itu 'benzyl peroxide'. (Isu boikot Gardenia)

5. Boikot barangan Britain 1981

buy british last kempen mahathir

Sekitar tahun 1981 - ekoran daripada kesan penjajahan yang masih dirasai, kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad terpaksa melakukan beberapa tindakan drastik bagi mengembalikan kepentingan negara yang masih berada di bawah British.

Salah satu badan penting yang perlu dikembalikan ke tangan negara adalah syarikat Guthrie, yang pada ketika itu memiliki lebih 200,000 hektar tanah pertanian di Malaysia - tetapi jadi hakmilik British.

Perdana Menteri bekerjasama dengan tokoh korporat terkemuka, Khalid Ibrahim (bekas Menteri Besar Selangor) untuk merampas kembali syarikat itu melalui taktik licik memanipulasi pasaran saham London, yang tidak menyalahi sebarang undang-undang - membolehkan pegangan saham Guthrie kembali kepada tangan tempatan.

Sebagai tindak balas, kerajaan Britain menaikkan yuran pendidikan untuk rakyat Malaysia di sana, meningkat daripada £300 ke £900 untuk satu unit subjek. Ini menyebabkan kerajaan kita terpaksa menanggung kenaikan 3 kali ganda melibatkan 13,000 orang pelajar di bawah program biasiswa.

Enggan kalah, kerajaan Malaysia memperkenalkan dasar 'Buy British Last' atau 'Beli Barangan British Akhir', melalui pengenalan kekangan pada pengimportan masuk produk British. Kerajaan juga mengeluarkan senarai barangan sebagai ganti bagi memudahkan orang ramai 'meng-akhirkan' pembelian produk British.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan bertindak untuk tidak menghadiri persidangan Kerajaan Komanwel atau GHOGM pada tahun 1981 dan juga 1983, menimbulkan rasa gusar sekiranya Malaysia memilih untuk keluar daripada kesatuan Komanwel secara rasmi. (POLISI BUY BRITISH LAST (1981-1983))




Hakcipta iluminasi.com (2017)