Naik menjadi Perdana Menteri Malaysia untuk kali kedua selepas mengetuai gabungan yang berjaya menumbangkan Barisan Nasional; merupakan satu kejayaan besar dalam karier politik Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Lebih terkenal dengan nama Tun M atau Che Det, Tun Mahathir sejak mula lagi merupakan seorang pemimpin yang lantang bersuara tidak takut untuk menjentik pemimpin lain, tak kiralah di dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

mahathir mohamad prime minister malaysia

Sudah acapkali Tun M mencetuskan kontroversi melibatkan negara kita dan negara luar di seluruh dunia. Berikut adalah lima insiden paling diingati bila mana kata-kata tajam Tun M mencucuk dan memanaskan punggung masyarakat di luar sana.

1. Menjentik komuniti pemimpin Yahudi yang tamak, sebelum bersara

mahathir sidang apec7952 3x2 340x227

Pada 31 Oktober 2003, semasa era peralihan kuasa daripada Tun Mahathir (Datuk Seri ketika itu) kepada pengganti beliau Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, wartawan sempat bertanyakan kepada beliau adakah beliau mempunyai kata-kata terakhir kepada pemimpin masyarakat Yahudi.

Bagi menjawab soalan ini, Tun M dengan tenang menyebut bahawa masyarakat Yahudi tidak sepatutnya merasakan diri mereka bangsa terpilih yang tak boleh dikritik langsung atas perbuatan mereka.

Beliau menambah, tingkah laku pemimpin Yahudi (ketika itu) hampir serupa dengan apa yang dilakukan oleh orang Eropah terhadap masyarakat Islam semasa kejatuhan kerajaan Andalusia.

Mengakui tetap mempunyai rasa simpati terhadap nasih orang Yahudi yang pernah ditindas masyarakat Eropah, simpati itu tidak sepatutnya diterjemahkan kepada rasa kebal dan bongkak seolah-olah semua yang dilakukan Yahudi benar belaka.

2. Menyalahkan George Soros sebagai dalang kejatuhan ekonomi Asia

mahathir george soros

Kita semua tahu kuasa kewangan yang dimiliki oleh George Soros membolehkan dia mengemudi dan mengawal turun naik banyak sistem ekonomi dunia, khasnya melibatkan negara-negara kecil seperti kita.

Berikutan minat Soros dalam menjadi spekulator matawang dunia, Soros menjadi sasaran Tun M sebagai penyebab utama berlakunya kejatuhan ekonomi khasnya di Asia.

Sejarah Soros dan Tun M agak panjang, dengan permulaannya dikatakan disebabkan oleh persaingan mereka dalam meniagakan matawang melibatkan Bank Negara Malaysia, sehingga menyebabkan negara kita kerugian lebih RM25 ke 35 billion.

Perseteruan mereka bagaimanapun memuncak selepas Malaysia menjadi antara negara paling teruk terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit, sehinggakan negara kita berdepan krisis kewangan yang sangat mencabar.

Bagaimanapun, selepas Soros bersara daripada aktiviti spekulatif matawang dan Tun M sendiri bersara (buat kali pertama), mereka berdua dikatakan telah berbaik-baik.

Selepas mendengar penjelasan Soros tentang dakwaan Tun M selama ini, Tun M mengumumkan dia menerima hakikat bahawa Soros tidak terlibat dalam aktiviti spekulasi matawang yang menyebabkan krisis ekonomi negara.

3. Menghentam kerajaan Australia secara terbuka

mahathir kritik australia barbarik

Bermula pertengahan tahun 1980-an, Tun Mahathir dan kerajaan Australia mempunyai hubungan yang sangat dingin selepas Tun M tidak henti-henti menyerang kerajaan negara tersebut.

Sebabnya?

Pada tahun 1986, kerajaan Australia di bawah pimpinan Bob Hawke mengkritik tindakan kerajaan Malaysia menggantung dua pengedar dadah warga Australia.

Menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan yang barbarik, kerajaan Australia secara terbuka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia.

Apa yang membuatkan keadaan menjadi lebih hangat, Tun M menyifatkan kerajaan Australia hanya peduli dengan hukuman itu kerana kedua-dua pelakunya berkulit putih.

Hubungan dingin ini kekal berterusan dengan beberapa kali serangan berbalas serangan secara lisan di antara Tun M dan beberapa orang Perdana Menteri Australia selepas itu.

Tun M secara lantang mempertikaikan bagaimana kerajaan Australia menekan dan menindas masyarakat Australia dalam usaha mengekalkan dominasi kulit putih di tanah yang telah mereka rampas daripada orang asal.

4. Menyerang Britain dengan gertakan ekonomi

buy british last

Kejayaan memanipulasi pasaran saham di Britain sehingga berjaya memindahkan hak milik syarikat Guthrie kembali kepada orang tempatan merupakan satu kejayaan besar Malaysia.

Tun M dan kerajaan Malaysia mula perlu berdepan serangan psikologi pihak Britain selepas itu, bermula dengan Britain sengaja menaikkan kadar yuran pelajar kita di sana sebagai serangan balas terhadap apa yang dilakukan kerajaan kita.

Bagi membalas serangan ini, Tun M dan kerajaan Malaysia melancarkan kempen boikot barangan keluaran British, dengan pengedaran risalah dan makluman rasmi kerajaan dalam usaha memastikan produk British merudum jualannya di tanahair.

Selain itu, gertakan untuk keluar daripada kesatuan Komanwel juga berlaku yang menyebabkan perbincangan di antara kedua-dua wakil kerajaan perlu dilangsungkan.

Hasilnya, kerajaan British berjanji akan mengkaji dan menghormati Dasar Ekonomi Baru kerajaan kita ketika itu yang disifatkan Britain sebagai kontroversi serta Britain sendiri bersetuju akan menyediakan dana biasiswa bagi pelajar Malaysia yang layak.

5. Menyerang kerajaan India atas apa yang berlaku di Kashmir

mahathir narendra modi malaysia india

Tindakan kerajaan India meminda beberapa dasar kerajaan mereka dalam hubungan kerajaan pusat dengan wilayah autonomi di Kashmir dan Jammu mendapat reaksi hangat Tun M.

Pada 27 September 2019 Tun Mahathir dalam ucapannya menyeru agar kerajaan India dan kerajaan Pakistan cuba berbincang dalam usaha mencapai jalan penyelesaian kepada konflik yang tercetus.

Pandangan itu dilihat oleh kerajaan India sebagai satu usaha campur tangan Malaysia dalam pentadbiran negara lain, menyebabkan India mula menjalankan gerakan memboikot pembelian produk berasaskan sawit dari Malaysia, selain daripada boikot sepenuhnya mana-mana produk keluaran negara kita.

Jumlah eksport Malaysia ke India dianggarkan berjumlah RM6.84 billion keseluruhannya, satu jumlah yang agak signifikan dan tindakan India itu dilihat mampu merencatkan ekonomi negara kita.

Walaupun berdepan ancaman, Tun M tegas memilih untuk tidak menarik semula apa yang sudah diucapkan kerana merasakan dia perlu bersuara bagi melindungi mereka yang tak mampu bersuara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)