upacara menyalakan lilin vigil

Di negara kita, apabila berlaku sesuatu tragedi buruk malahan hal berkaitan politik, pasti ada pihak yang akan menganjurkan upacara memperingati insiden itu dengan mengajak orang ramai menyalakan lilin. Acara penyalaan lilin ini mula menjadi popular berikutan penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia satu masa dulu, sehinggakan banyak upacara menyalakan lilin diadakan khusus untuk memperingati perjuangan beliau yang dikatakan difitnah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, apa simboliknya api lilin ini kepada sesuatu konsep perjuangan atau peringatan kepada sesuatu insiden? Mari kita cuba rungkaikan.

Sejarah tamadun awal

macedonia orthodox meraikan lilin

Sejarah paling awal berkaitan penyalaan lilin atau candlelight vigil ini bermula pada kurun ke 4 dan 5. Orang Macedonia zaman tersebut akan menyalakan lilin selama 40 hari selepas setiap kematian ahli keluarga kerana mereka mempercayai dengan api tersebut, hantu dan syaitan tidak dapat mendekati roh si mati.

Orang Greek dan Rom juga mempunyai tradisi hampir serupa. Mereka menggunakan lilin dan obor api untuk menjadi simbol sebagai pembuka jalan kepada roh si mati. Tradisi itu juga dikongsi oleh masyarakat Pagan awal yang akan mengebumikan lilin bersama mayat untuk menjadi penerang mereka.

Upacara keagamaan

yahrzeit orang judaism

Dalam agama Judaism, mereka percaya pada setiap ulang tahun kalendar Hebrew kematian orang tersayang yang telah meninggal, mana individu yang masih hidup perlu melakukan upacara yang dinamakan Yahrzeit. Selama 24 jam, keluarga si mati akan menyalakan lilin Yahrzeit bagi mengenang kembali memori si mati.

Agama Kristian juga mengamalkan upacara hampir serupa. Pada setiap majlis kematian, penganut Kristian akan menyalakan lilin yang dinamakan lilin Paschal bagi mengingatkan mereka yang masih hidup supaya mengingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan juga Jesus Christ.

Definisi Bahasa dan Tentangan Gereja Awal

gereja dalaman

The American Heritage Dictionary mentakrifkan 'vigil' sebagai 'a devotional watching during customary hours of sleep' atau 'a nocturnal devotional exercise or service.' Ini bermaksud dari segi bahasanya, aktiviti 'vigil' ini adalah satu aktiviti yang tidak melibatkan penglibatan agama.

Malahan, menurut beberapa pendapat, gereja-gereja awal Kristian sebenarnya cuba mengelakkan upacara candlelight vigil ini kerana mereka percaya, upacara ini berpunca daripada kepercayaan orang Pagan yang gemar menghormati sesuatu dengan cahaya.

Pemimpin awal agama Kristian percaya lilin yang digunakan hanyalah satu bentuk kepercayaan karut yang menyebabkan pembaziran kerana tidak wujud sebarang arahan untuk melakukannya di dalam Bible. Namun sanggahan itu lama kelamaan semakin berkurangan setelah masyarakat Kristian mula mengamalkan nyalaan lilin sebagai satu bentuk penghormatan akibat pengaruh gereja Rom yang menjadikan lilin sebagai amalan biasa.

Di mana Islam dalam hal ini?

bebaskan anwar

Jika anda bertanya apa pendapat agama Islam dalam isu ini, jawapannya jelas. Menurut Islam, tidak ada sebarang keperluan untuk umat Islam melakukannya.

Hal ini jelas dan telah pun diperbincangkan menerusi Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 88 berkenaan hukum penglibatan orang Islam dalam perhimpunan yang melibatkan candlelight vigil.

Fatwanya jelas melarang umatnya melibatkan diri dalam sebarang upacara bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam, serta mempunyai unsur-unsur tasyabbuh iaitu mengikuti gaya orang bukan Islam yang akan menyebabkan umat Islam mudah tertiru dengan sesuatu yang kita sendiri tidak faham.

Hujahnya, api dan cahaya lilin menjadi satu simbol signifikan dalam agama-agama lain, seperti Kristian, Hindu dan Buddha yang jelas bertentangan dengan akidah orang Islam. Dalil yang dikeluarkan pula adalah kepada larangan Rasulullah saw. kepada umatnya meniru sesuatu perkara yang bukan datangnya daripada urusan agama melalui hadis :

“Telah diberitakan kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi, diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf, diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan (mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim).

Impak pada masyarakat Malaysia

vigil di malaysia

Keharmonian di negara kita sepatutnya tidak bergantung kepada keupayaan masyarakat berbilang agama Malaysia berkongsi upacara, tidak kiralah berbentuk keagamaan ataupun sebagai satu bentuk peringatan. Harmoni itu sepatutnya datang daripada sikap toleransi yang ditunjukkan dalam memahami serta menghormati perkara yang perlu dilakukan dan dihindari, mengikut kepercayaan masing-masing.

Walaupun begitu entah mengapa kadangkala masyarakat Muslim Malaysia sering dikatakan kurang toleran jika ada yang membantah atau mengajak orang Islam memboikot penyertaan mereka dalam acara-acara candlelight vigil yang melibatkan parti politik, misalnya.

Memang wujud sesetengah individu pemimpin politik yang terdiri daripada orang Muslim secara terbuka menyertai acara-acara ini. Berdasarkan artikel ini, perlulah diakui besar kemungkinan mereka sendiri tidak tahu wujudnya larangan-larangan ini pada orang Islam.

Kami harap artikel ini sekurang-kurangnya dapat memperjelaskan kepada masyarakat Malaysia, yang keharmonian kita tidak sepatutnya terjejas hanya kerana kita tidak bersama dalam upacara menyalakan lilin. Rasa hormat menghormati itu bukan saja boleh datang daripada waktu kita bersatu, malahan apabila kita saling faham- memahami mengapa bukan semua perkara itu, patut kita kongsi bersama.

Rujukan

Puritan News Weekly

Paschal Candle

What is the Yahrzeit?

Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil  Pada Sesuatu Perhimpunan Atau Acara




Hakcipta iluminasi.com (2017)