francais jenama gergasi paling berharga 546

Penciptaan karya intelek merupakan antara kaedah pelaburan paling berkesan, sehinggakan industri khasnya penggiat media menyaksikan persaingan cukup hebat dalam pembangunan karya-karya yang mampu menarik hati. 

Uniknya, kebanyakan karya intelek yang kini dikenali sebagai gergasi dalam industri bermula sebagai sebuah usaha kecil-kecilan yang berkembang menjadi perniagaan pelbagai variasi; mampu menjana keuntungan sehingga berbilion ringgit kepada penciptanya.

Apakah lima francais media berstatus gergasi terbesar, jika semua karya intelek yang dipatenkan diukur pencapaiannya? Berikut adalah lima jenama terbesar paling bernilai, di antara semua judul karya yang ada.

5. Star Wars

star wars francais berharga

Pasti ramai menyangkakan Star Wars yang cukup terkenal bukan saja di kalangan demografik dewasa bahkan turut sama diminati kanak-kanak, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi statusnya sekiranya reputasinya sebagai sebuah francais diukur.

Namun francais gergasi ini 'hanya' layak duduk di kedudukan ke-5 senarai ini, dengan nilai pulangan RM304.5 billion; agak jauh ketinggalan berbanding 4 lagi judul yang mendahuluinya. 

'Star Wars' bermula sebagai idea asal George Lucas, yang mahu merekacipta semula judul klasik iaitu 'Flash Gordon.'

Selepas gagal mendapatkan lesen judul tersebut, Lucas akhirnya memilih untuk 'mencedok' idea sebuah filem Jepun berjudul 'The Three Villains of the Hidden Fortress' arahan pengarah legenda Akira Kurosawa, dijadikan asas kepada pembentukan dunia, watak dan jalan cerita 'Star Wars' - bezanya 'Star Wars' adalah opera angkasa. 

Keuntungan terbesar bagi francais Star Wars dijana oleh jualan produk berlesen yang mencecah kira-kira RM185 billion sepanjang keluarannya. Kutipan filem dalam siri ini pula menyumbang RM45.2 billion daripada keseluruhan pendapatan. 

4. Winnie the Pooh

winnie the pooh francais mahal bernilai

Dicipta seorang penulis bernama Alan Alexander Milne, watak Winnie the Pooh - seekor beruang oren yang agak pasif perwatakannya kekal popular sehingga kini kecuali di negara China....

Diperkenalkan kepada khalayak umum pertama kali dalam novel berjudul 'Winnie the Pooh' terbitan tahun 1926, kesemua watak dalam kisah ini diasaskan daripada inspirasi sebenar Milne yang dilihat di sekelilingnya.

'Winnie the Pooh' adalah patung beruang milik anaknya, Christopher Robin Milne dan anaknya pula menjadi inspirasi Milne membentuk watak utama kanak-kanak lelaki dalam kisah itu yang dinamakan.....Christopher Robin.

Hutan kediaman mereka yang dinamakan 'Hundred Acre Wood' pula digarap berasaskan sebuah kawasan hutan tidak jauh dari kediaman Milne. Pasti ramai tidak menyangka francais kanak-kanak ini jauh lebih bernilai berbanding Star Wars kan?

Keuntungan francais ini hanya datang dari 3 kaedah; penjualan produk berlesen yang menyumbang lebih RM355 billion, kutipan panggung sekitar RM2.017 billion dan jualan DVD atau cakera Blu-ray yang hanya menyumbang RM280 juta; keseluruhan francais ini dianggarkan bernilai RM359.6 bilion.

3. Mickey Mouse and Friends

mickey mouse francais bernilai tinggi

Jika dibandingkan dengan semua 'pembuat' duit yang diselia syarikat media gergasi Disney, watak ikonik Mickey Mouse serta rakan-rakannya adalah penyumbang terbesar kantung Disney. 

Diperkenalkan sejak tahun 1928, usaha pelukis Walt Disney mahu memperkenalkan dunia kepada Mickey Mouse berdepan jalan cukup sukar. Dua animasi terawal Mickey Mouse yang telah disiapkan ditolak penerbit, selepas tayangan ujian menyifatkan watak tersebut tidak mampu menarik peminat.

Hanya selepas penghasilan animasi ketiga memaparkan Mickey Mouse berjudul Steamboat Willie terbit pada 18 November 1928, barulah watak tikus tersebut meledak popularitinya.

Idea asal Mickey Mouse bermula sebagai seekor arnab bernama Oswald, namun konflik dengan Universal Pictures yang merupakan tuan punya studio kendalian Disney ketika itu menyebabkan Disney hilang hak ke atas karya ciptaan dan juga pasukan animasinya.

Dalam satu perjalanan keretapi, Walt Disney melakar watak tikus yang diharap mampu menggantikan Oswald. Dia pulang ke rumah dan menunjukkan kepada keluarganya watak tersebut serta rancangannya mahu mencipta animasi berdasarkan watak baru itu. 

Sebagai sebuah francais, Mickey Mouse dan rakan-rakannya mempunyai nilai RM363.7 bilion, dipecah kepada jualan produk berlesen dan juga jualan video sama ada di pawagam mahupun untuk tayangan di rumah secara fizikal dan strim.

2. Hello Kitty 

hello kitty and friends francais

Aha! Kami tahu ramai mengenali watak kucing manja ini kerana watak yang cukup ringkas rekaannya ini dapat dilihat di mana-mana sahaja.

Tetapi pasti tak ramai menyedari Hello Kitty adalah francais kedua paling bernilai di dunia kan? Apa yang unik, penjenamaan Hello Kitty mudah di mana majoriti nilai pendapatan yang dijana hadir daripada penjualan produk francais ini secara berlesen.

Dimiliki oleh syarikat Jepun bernama Sanrio; Sanrio kini dikenali sebagai pakar pemasaran koleksi barangan melibatkan watak-watak comel. Lucunya, Sanrio bermula sebagai sebuah syarikat perniagaan kain sutera dan selipar getah.

Selepas salah satu rekaan selipar getah mereka yang memaparkan watak kartun comel mendapat sambutan menggalakkan - pengasas Sanrio, Shintaro Tsuji mengambil keputusan untuk memfokuskan pengeluaran produk mereka kepada produk-produk yang sesuai untuk dijadikan hadiah.

Elemen rekaan watak comel dijadikan kemestian kepada semua produk keluaran mereka, untuk itu Tsuji mula menggajikan kartunis sejak tahun 1962 khas untuk tujuan tersebut.

Dalam tahun 1974, Sanrio mengambil seorang kartunis wanita bernama Yuko Shimizu yang baru saja menamatkan pengajian di universiti. Shimizu merekabentuk watak kucing comel 'Hello Kitty' dan watak tersebut diluluskan untuk kegunaan pada produk Sanrio sekitar tahun 1975; kali pertama dicetak pada sebuah dompet syiling.  

Keunikan rekaan watak tersebut menyebabkan dompet itu popular di kalangan kanak-kanak, dibantu harga yang murah dan mampu milik.

Dari situlah Hello Kitty berkembang, kini mempunyai nilai francais keseluruhan RM388.2 bilion, 98% daripadanya disumbang jualan produk sahaja. Pendapatan daripada jualan video animasi watak ini hanyalah sekelumit saja berbanding angka keseluruhannya.

Jangan pandang enteng dengan Hello Kitty lepas ni.

1. Pokemon

pokemon francais berharga

Berbeza dengan empat pesaing terdekatnya, kekuatan Pokemon sebagai sebuah francais multi-media nyata sukar dikejar.

Apatah lagi Pokemon atau 'Pocket Monster' merupakan francais paling baru - hanya diperkenalkan pada tahun 1996, jika dibandingkan dengan jenama lain dalam senarai ini yang nyata lebih tua.

Kini, Pokemon adalah francais media paling bernilai tinggi di dunia.

'Pokemon' bermula disebabkan minat seorang pereka permainan video bernama Satoshi Tajiri, yang gemar mengumpulkan berudu dan serangga ketika kecil. Minatnya itu cuba diterjemahkan Tajiri ke dalam bentuk permainan video sekitar awal 1990-an.

Berikutan reputasinya sebagai pembangun judul permainan video yang baik, dia menggunakan kedudukannya untuk melobi individu berpengaruh dalam syarikat permainan video gergasi Nintendo.

Tajiri diberikan peluang untuk membentangkan rekaannya kepada Nintendo.

Melihat ada potensi daripada idea Tajiri, Nintendo membenarkan Tajiri bekerjasama dengan pereka permainan video legenda Jepun, Shigeru Miyamoto (pencipta judul Mario dan Zelda).

Kedua-duanya bekerjasama lebih 6 tahun untuk memperkemaskan judul yang bakal dikenali sebagai 'Pocket Monsters.'

katrij pokemon terawal

'Pocket Monsters' dikeluarkan dalam dua versi di Jepun untuk konsol mudah alih Nintendo Gameboy, mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

Untuk pasaran Amerika Syarikat dan United Kingdom, Nintendo memilih untuk memendekkan nama judul tersebut kepada hanya 'Pokemon';  sambutan terhadap judul itu untuk pasaran antarabangsa juga sama hangatnya.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, Pokemon diterjemahkan sebagai permainan kad, dilancarkan pada 20 Oktober 1996 dengan kumpulan 102 kad pertama. Dari detik inilah kegilaan peminat judul ini mengumpul kad Pokemon bermula.

Sebagai francais, Pokemon mempunyai nilai sekitar RM482.5 bilion dijana daripada jualan produk, jualan judul permainan video, kutipan tiket pawagam dan media.

Selain itu The Pokemon Company - syarikat yang ditubuhkan bagi menyelia francais ini juga menjual hak kepada syarikat penerbangan Jepun All Nippon Airways, bagi membolehkan watak-watak Pokemon dipaparkan pada badan pesawat terpilih.



Hakcipta iluminasi.com (2017)