Setelah lama menghiburkan fantasi dan imaginasi peminat komik dan kartun, pencipta siri komik Dragon Ball dari Jepun iaitu Akira Toriyama menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat pendarahan dalam otak.
Sebagai salah satu nama paling besar (mungkin juga layak dikatakan antara yang terbesar) mewarnai dunia kartun dan animasi, kematian Toriyama merupakan satu kehilangan yang dirasai ramai orang - khususnya mereka yang membesar dengan karya-karya beliau.
BESARKAN TEKS A- A+
Terkenal dengan siri Dragonball selain Dr. Slump, karier panjang Toriyama mempunyai banyak cerita menarik berkenaan apa yang menjadi inspirasi dirinya. Berikut adalah 8 fakta menarik tentang karya agungnya.
1. Dragonball mengambil inspirasi Kisah Perjalanan ke Barat
Dalam hikayat orang Cina, Journey to the West atau Kisah Perjalanan ke Barat merupakan sebuah hikayat yang ditulis sekitar abad ke 14 - mengisahkan perjalanan seorang Sami bernama Tang Suanzang ke arah barat bersama sekumpulan teman, bagi mendapatkan manuskrip ajaran Buddha.
Jika anda kenal dengan hikayat tersebut, sudah pasti anda mudah mengenalpasti elemen-elemen yang terkandung dicedok ke dalam Dragonball bukan saja untuk dijadikan asas cerita, bahkan untuk membangunkan watak.
Kisah asal Dragonball sebelum mereka mula mengembara ke planet-planet lain, sangat mirip dengan pengembaraan Suanzang cuma bezanya Son Goku dan kawan-kawannya mencari 7 biji mutiara yang mampu menunaikan hasrat.
Rekaan watak utama Son Goku jelas dibentuk daripada watak Sun Wukong, perwira monyet yang menjadi pelindung utama Suanzang, ditemani seekor babi bernama Oolong yang terang-terang diambil daripada pembantu Suanzang bernama Zhu Bajie.
2. Asal-usul Kamehameha!
Gaya ikonik pahlawan Dragonball mengeluarkan sinaran cahaya dari tangan merupakan antara aksi paling mudah dikenali...lengkap dengan jeritan KAMEHAMEHA yang agak luar daripada kebiasaan.
Toriyama pernah menceritakan dia mengambil masa yang lama sendirian, cuba mencari gaya yang paling sesuai untuk dijadikan aksi utama serangan rekaannya. Setelah lama mencuba berdiri di depan cermin, Toriyama akhirnya memilih gaya yang kini telah melekat dalam minda ramai orang di seluruh dunia.
Jeritan KAMEHAMEHA itu pula, adalah idea isteri Toriyama. Selepas Toriyama tidak tahu apa nama paling sesuai untuk dijadikan gaya serangan itu, isterinya mencadangkan agar Toriyama menggunakan nama Raja Hawaii pertama iaitu Raja Kamehameha sebagai nama serangan.
Dengan nama sebenar Kalani Paiʻea Wohi o Kaleikini Kealiʻikui Kamehameha o ʻIolani i Kaiwikapu kauʻi, Kamehameha berjaya menyatukan keseluruhan pulau Hawaii dibawah pemerintahan beliau, menubuhkan satu bentuk kerajaan yang pusat serta menenteramkan persengketaan di antara puak-puak kepulauan yang berbeza.
Dinasti Kamehameha bermula pada tahun 1795 sebelum berkubur sekitar tahun 1872 semasa pentadbiran Kamehameha 5 akibat ketiadaan pewaris takhta yang sesuai.
3. Super Saiya direka untuk memudahkan pewarnaan
Dalam penghasilan komik seperti Dragonball, sebarang bentuk proses yang diperkenal demi memudahkan pelukis sudah pastilah sangat membantu mempercepatkan persiapannya.
Salah satu proses 'bunuh dua burung dengan satu batu' yang terjadi, adalah berpunca daripada kesukaran pembantu pelukis Toriyama mewarnakan rambut watak yang ada dengan warna hitam.
Untuk mencipta kaedah lebih mudah yang perlu selari dengan jalan cerita, Toriyama memutuskan untuk memperkenalkan peningkatan kuasa Super Saiya ke dalam penceritaan Dragonball.'
Dengan menjadikan rambut watak akan berubah warna ke warna emas (putih dalam lukisan hitam putih), pembantu beliau tidak lagi perlu bersusah payah menghabiskan masa melakar warna hitam untuk setiap rambut.
Rekaan itu akhirnya menjadi salah satu rekaan yang sangat terkenal dan penghasilan komik berasaskan digital akhirnya memudahkan lagi prosesnya.
4. Menamakan watak menggunakan sayur
Nama-nama watak dalam siri Dragonball kelihatan kreatif dan tidak menggunakan nama-nama bersifat konvensional. Sebaliknya, inspirasi Toriyama datang daripada bermacam kategori, seperti sayur, buah-buahan, perkakasan elektrik, makanan dan bermacam lagi.
Nama sebenar Son Goku iaitu Kakaroct diambil daripada perkataan Carrot atau lobak merah. Rakan karib Son Goku, Vegeta pula merupakan raja orang Saiya yang dinamakan sempena vegetable (sayur-sayuran). Penjahatnya pula adalah Frieza (freezer 'peti sejuk beku'). Ada banyak lagi contoh yang lawak.
Tidak ramai menyedari nama kaum Saiya yang menjadi pahlawan ulung dalam siri komik ini juga sebenarnya diambil daripada perkataan yasai dalam bahasa Jepun, yang diteraburkan ejaannya. Maknanya? 'Sayur.'
5. Mencipta jalan cerita secara spontan akibat intuisi
Salah satu bakat semulajadi yang ada pada diri Akira Toriyama, adalah menggunakan pentas yang beliau ada iaitu komik untuk mengolah jalan cerita rekaannya secara spontan...tetapi mampu menghasilkan jalan cerita yang relevan serta mampu diterima peminat.
Banyak pilihan jalan ceritanya dibuat untuk memudahkan prosesnya seperti kami sebutkan di atas. Ekor pada watak Goku dibuang, kerana nak melukisnya memakan masa. Pasukannya juga gemar watak-watak bertarung dalam ruangan yang telah musnah, bagi mengelakkan mereka perlu melukis latar belakang.
Satu kisah yang sering diceritakan beliau, adalah bagaimana dia kurang gemar dengan rekaan watak penjahat bernama Cell pada awalnya. Jadi mereka melakukan keputusan menghasilkan jalan cerita dimana Cell boleh menyedut dua orang robot yang akan mengubah rupa paras Cell agar lebih lawa di mata Toriyama....selain daripada lebih mudah dilukis.
Uniknya banyak perubahan dan penambahan sebegini berlaku tanpa kita sebagai pembaca sedari, kerana Toriyama bijak mengadunkannya ke dalam jalan cerita. Kalau tak percaya cuba anda selongkar balik komik beliau dan letak diri anda dalam kasut perekanya.
Disitulah jelas pintarnya minda Toriyama; dia bijak memanipulasi perhatian pembaca dan tanpa kita sedar jalan ceritanya digubal untuk memudahkan mereka yang menghasilkannya.