Dari Asia hingga ke Eropah dan dari Amerika Selatan hinggalah ke Afrika, cerita legenda mengenai naga sering menarik perhatian. Sesetengah daripada naga ini dikatakan membawa tuah, ada juga yang menjadikan manusia sebagai makanan dan ada yang menjaga sesuatu tempat. Malah, dalam sesetengah lagenda naga juga boleh bercakap. Berikut adalah beberapa legenda naga dari seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ninki Nanka - Gambia

ninki nanka

Di Gambia dan beberapa kawasan di Afrika Barat, Ninki Nanka yang bermaksud "Naga Syaitan" ini dipercayai tinggal di kawasan berpaya. Raksasa ini dikatakan mempunyai ukuran badan sepanjang 150 kaki dan sangat bengis.

Ia memiliki wajah seakan kuda dengan balung kulit di atas kepalanya dan sisik yang mempunyai pantulan seperti cermin. Ramai yang mendakwa jika anda terlihat Ninki Nanka, anda akan menemui ajal dalam beberapa minggu.

Ibu bapa di sana kadangkala mengugut anak mereka yang nakal bahawa akan membawa mereka ke kawasan paya dan membiarkan Ninki Nanka mengambil mereka sekiranya mereka tidak berkelakuan baik.

2. Cacing Mester Stoor - Pulau Orkney, Scotland

cacing mester stoor

Cacing Mester Stoor adalah seekor naga laut yang tinggal di Pulau Orkney. Menurut legenda lagi dia akan bangun dari tidur setiap hari Sabtu pada waktu matahari terbit dan akan menguap sebanyak 9 kali.

Selepas itu dia akan mencari 7 orang anak dara untuk dimakan sebagai sarapan. Menurut satu lagi legenda di sana, seorang ahli sihir yang tua telah memberitahu bahawa tempat itu akan selamat dari diganggu sekiranya naga itu memakan seorang puteri raja.

Namun, telah muncul seorang wira lalu membunuh naga itu dan menyelamatkan puteri raja yang dijadikan korban itu. Legenda juga mengatakan gigi naga itu jatuh dan menjadi Pulau Orkney, Pulau Shetland dan juga Pulau Faroe sementara badannya pula bertukar menjadi Iceland.

3. Snallygaster - Amerika Syarikat

snallygaster

Snallygaster ini dipercayai tinggal di Gunung Blue Ridge di Maryland terutamanya berdekatan Frederick County. Nama naga ini diperolehi daripada perkataan Jerman iaitu schnelle geeschter yang bermaksud "roh laju".

Mitos mengenainya bermula dari cerita yang disampaikan oleh pendatang Jerman yang mendiami kawasan itu pada tahun 1700-an. Kisahnya juga telah dipopularkan oleh penulis akhbar sekitar tahun 1920-an dan 1930-an.

Snallygaster dikatakan mempunyai badan separuh burung dan separuh reptilia dengan paruh besi. Makhluk ini dipercayai akan menyambar dari udara dan membawa pulang mangsanya untuk menghisap darah mereka.

Makhluk ini mempunyai musuh ketat iaitu Dwayyo, makhluk seakan serigala jadian dan mereka dikatakan sering bertarung apabila bertemu.

4. Xiuhcoatl - Mexico Pra-Columbia

xiuhcoatl aztec purba

Di dalam mitos Aztec purba, Xiuhcoatl merupakan seekor naga berapi jelmaan daripada roh Xiuhtecuhtli iaitu tuhan api dan kemarau. Dalam legenda menceritakan bahawa Xiuhtecuhtli ini pernah diperdaya oleh Huitzilopochtli iaitu tuhan perang dan matahari untuk memenggal kepala kakaknya sendiri iaitu Coyolxauhqui, tuhan bintang selatan dalam perperangan diantara kebaikan menentang kejahatan.

Makhluk Xiuhcoatl yang digelar naga api ini juga menjadi simbol kebangsaan untuk kaum Aztec dan penemuan tempat pembakar kemenyan purba oleh ahli arkeologi juga mempunyai ukiran gambarnya.

5. Minokawa - Filipina

minokawa

Minokawa ialah naga seakan burung yang disebut dalam beberapa mitos Filipina. Makhluk ini dikatakan sangat besar seperti sebuah pulau dan bulu pelepahnya pula tajam seakan pedang manakala matanya pula seperti cermin. Naga ini tinggal di langit di ufuk timur dan dikatakan pernah sekali ia menelan bulan lalu menyebabkan manusia di bumi menjerit dan menangis.

Minokawa yang hairan mendegar bunyi tangisan itu kemudian membuka mulutnya membuatkan bulan terlepas keluar. Selepas itu bulan menjadi takut dengan naga ini dan bersembunyi di beberapa tempat agar tidak ditangkap.

Minokawa biasanya akan dipersalahkan apabila terjadinya gerhana bulan dan ketika itu manusia akan berusaha membuat bising agar bulan muncul kembali. Terdapat satu lagi makhluk naga dalam mitos Filipina yang kisahnya seakan-akan Minokawa iaitu Bakunawa. Apa yang berbeza ialah Bakunawa berbentuk seakan reptilia, tinggal di dalam laut dan dia dikisahkan menelan matahari.

6. Vritra - India

vritra bertarung dengan indra

Dalam kepercayaan agama Veda semasa zaman India purba, Vritra adalah seekor naga berupa ular yang menjadi lambang serta dikaitkan dengan musim kemarau. Dalam sesetengah versi yang lain pula, dia telah mengambil dan menyembunyikan kesemua air serta hujan untuk dirinya sendiri.

Vritra juga adalah musuh kepada Indra iaitu Raja Syurga. Indra telah membunuh Vritra dan juga kuasa jahatnya setelah menyekat kesemua sungai di India. Ketika pertempuran itu, Vritra telah menelan Indra, namun Indra telah membelah naga itu dengan menggunakan pedangnya dari mulut sehingga ke perutnya. Dalam sesetengah hikayat, Vritra juga dikatakan bertanggungjawab di atas kehilangan lembu para penternak.

7. Naga Wawel - Poland

naga bukit wawel

Naga Wawel atau Naga Bukit Wawel dikatakan pernah digeruni oleh penduduk Kwakow purba, Poland. Naga itu tinggal di Smocza Jama yang bermaksud "sarang naga", sebuah gua berdekatan tebing sungai Vistula yang mengalir di bawah Istana Wawel.

Naga itu dikatakan juga telah meracun udara sekeliling dengan nafasnya dan menjadikan manusia serta ternakan sebagai makanannya. Suatu hari, seorang wira tempatan telah memberinya makan seekor kambing yang penuh berisi dengan sulfur, yang membuatkan naga itu menjadi begitu haus dan minum air sungai Vistula sehingga kembung dan meletup.

Kini, terdapat satu patung besi yang mengeluarkan api dari mulut berupa Naga Wawel yang dibina bagi menjadi tarikan pelancong di Krakow. Naga itu juga merupakan simbol kepada bandar itu sendiri.

8. Peuchen - Chile

peuchen

Dalam kebudayaan Mapuche dan Chilote di Chile, seekor naga yang boleh merubah bentuk bernama Peuchen sangat ditakuti dan dihormati. Kebanyakan masa naga ini akan menyerupai ular terbang namun boleh menyamar sebagai haiwan lain untuk menghisap darah pelbagai jenis haiwan terutamanya kambing.

Naga ini dikatakan mengeluarkan bunyi siulan yang amat nyaring dan boleh melumpuhkan mangsanya dengan hanya menggunakan pandangan sahaja. Makhluk ini hanya boleh dibunuh oleh Machi (bomoh wanita) sahaja. Nama Peuchen ini juga digunakan oleh rakyat Chile untuk menggelar sejenis spesies kelawar penghisap darah yang mungkin menjadi asas kepada mitos naga itu.

9. Mo'o - Hawaii

naga hawaii mo o 871

Mengikut mitos kaum Hawaii purba, mereka percaya bahawa seekor naga seakan biawak bernama Mo'o tinggal di kawasan kolam dan gua dan merupakan pengawal kepada sumber air bersih. Naga ini dikatakan sangat bijak serta berkebolehan untuk mengawal cuaca.

Makhluk mistik ini juga dikatakan boleh berubah bentuk kepada wanita cantik atau ikan duyung. Apabila makhluk ini dibunuh, tubuhnya dikatakan akan bertukar menjadi sebahagian daripada rupa bentuk bumi. Sebagai contoh kawah Pu'u Ola'i dan Molokini dikatakan terhasil dari tubuh Mo'o yang telah dipotong oleh Dewi gunung berapi, Pele.




Hakcipta iluminasi.com (2017)