Oleh pada 30 May 2017 kategori

images 578

Sejak drama bersiri ini ditayangkan dalam satu channel tv berbayar yang popular di Malaysia, ia mendapat satu kecaman yang hebat dari para penonton terutamanya bagi penonton yang beragama Islam kerana ia berkait rapat dengan khalifah Islam yang masyur pada zaman Turki Uthmaniyah itu. Mungkin bagi sesetengah penonton tidak kisah sangat kerana ia hanya satu cerita. Seperti yang kita tahu, banyak drama yang berkaitan dengan sejarah mesti akan ditokok tambah. Dalam drama ini tiada 'cut scene' dan sebab itulah menjadi kemarahan orang ramai malahan sudah banyak negara yang mengharamkan cerita ini disiarkan seperti Indonesia walaupun mereka menukar tajuk drama ini dari 'King Sulaiman' kepada 'Abad Kejayaan'. Malaysia bila lagi? 

Drama bersiri "Magnificient Century" ini dianggap sangat epik, unik kerana ia memaparkan sejarah kerajaan Turki Uthmaniyah di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman. Cerita ini ada baik dan buruknya. Baiknya adalah bagi mereka yang belum mengetahui tentang sejarah Turki Uthmaniyah ini atau memang malas untuk membaca, jadi ia sangat menarik untuk ditonton kerana membaca sejarah membuatkan kita cepat berasa bosan. Namun, drama ini ada banyak buruknya juga sehingga timbulnya kontroversi dari negara-negara luar terutama dari negara Turki itu sendiri. Bagi mereka, cerita ini sangat merepek dan tidak menghormati agama Islam kerana ia seperti menghina Sultan Sulaiman yang jauh sekali mempunyai karakter sebegitu.

Mereka menganggap orang-orang Barat sangat membenci Sultan Sulaiman kerana baginda merupakan salah seorang khalifah Uthmaniyah yang mampu menampilkan kewibawaan Islam di dunia Barat. Hal ini kerana baginda berjaya menjadikan Turki Uthmaniyah sebagai pusat peradaban dan ilmu pengetahuan serta menyebarkan Islam di tanah Eropah. Jadi, orang-orang Barat tidak mahu melihat kejayaan Islam pada masa lalu dan mereka mencari helah untuk mencipta sesuatu sebagai sisi gelap Sultan Sulaiman untuk menjatuhkan kewibawaan Islam. 

Mengapa ramai umat Islam protes dengan drama tersebut?

 

#1 Pakaian yang menjolok mata 

Kebanyakan pelakon-pelakon wanita dalam drama ini memakai pakaian yang sangat tidak sopan dan jelas tidak mengikut nilai-nilai Islam. Pakaian mereka sangat seksi dan seksa untuk menonton ketika di bulan Ramadhan ini. Tidak hairanlah kalau ramai isteri di rumah menghalang suami mereka untuk menonton cerita ini. 

#2 Gundik wanita 

Dalam Islam tiada istilah gundik. Tetapi, sangat pelik kerana dalam drama ini ia memaparkan bahawa Sultan Sulaiman mempunyai ramai gundik yang sangat muda dan cantik. Agak kurang sesuai untuk menonton bersama keluarga kerana ia sangat bertentangan dengan agama Islam dan boleh mengelirukan umat Islam tentang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman ini dahulu. Ini yang menyebabkan banyak penduduk di Turki mengharamkan cerita ini ditayangkan. 

#3 Akhlak buruk penghuni istana

Terdapat banyak konflik keluarga di dalam istana dan akhlak yang ditunjukkan agak bertentangan dengan ajaran Islam. Perbuatan menganiaya, meracun dan membunuh adalah perkara yang biasa dilakukan oleh kaum kerabat sendiri. Ini semua terjadi disebabkan kepentingan politik. Ia tidak menunjukkan akhlak yang baik dan ramai umat Islam khuatir ia akan mempengaruhi para penonton. 

#4 Tiada dakwah Islam ditonjolkan

Drama ini hanya menceritakan tentang masalah dalaman politik dan krisis sesama keluarga kerabat mereka yang berlaku berbanding dengan cara Sultan Sulaiman berdakwah dalam perkembangan pendidikan, masjid, penyebaran Islam di Eropah dan banyak lagi. 

Siapa Sultan Sulaiman yang sebenar?

emperorsuleiman

Baginda ialah Sulaiman al-Qonuni bin Salim dan dikenali sebagai 'Sulaiman the Magnificient' oleh orang-orang Barat. Baginda merupakan salah seorang sultan yang termasyur dari kerajaan Turki Uthmaniyah. Pemerintahannya juga adalah yang paling lama iaitu selama 48 tahun, bermula pada 926 H sehingga 974 H.

Sepanjang pemerintahan Uthmaniyah, baginda berjaya menjadikan kerajaan ini sangat kuat dan berkuasa. Hal ini dapat dilihat ketika baginda berjaya menakluk banyak kawasan di sekitar wilayah Uthmaniyah dan Eropah. Pada ketika ini, baginda sudah mencapai kemuncak kuasa ketenteraan, politik dan ekonomi kerajaan Uthmaniyah. 

Awal pemerintahan

Baginda dilahirkan di Kota Trabzon, Turki pada tahun 900 H bersamaan 1494 M. Sejak berusia 7 tahun lagi, baginda sudah dididik dengan ilmu kesusasteraan, sains, sejarah, teologi dan teknik ketenteraan di Istana Topkapi, Istanbul. Pada ketika itu juga, baginda bersahabat dengan Ibrahim Pasha iaitu merupakan penasihat dan panglima tentera yang paling dipercayai sewaktu zaman pemerintahannya. Baginda menjadi gabenor Istanbul ketika berusia 17 tahun dan kemudiannya menjadi sultan ketika berusia 25 tahun selepas kemangkatan ayahandanya iaitu Sultan Selim I.

download 484

Pada awal pemerintahannya, baginda berjaya memperluaskan pengaruh kerajaan , mengalahkan pihak asing yang ingin campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan dan menakluk wilayah Uthmaniyah. Walaupun usia masih muda, tetapi baginda merupakan seorang pemimpin yang sangat kuat, adil dan matang.

Jihad mengusir penjajah Eropah di Timur Tengah

150 689

Banyak peperangan terjadi pada zaman pemerintahan baginda ketika itu dan hal tersebut menjadikan kuasa di wilayah Uthmaniyah semakin meluas sehingga ke Eropah, Asia dan Afrika. Pada tahun 927 H/1521 M, Uthmaniyah berjaya menguasai wilayah Belgrade ( ibu kota Serbia sekarang). Mereka mengepung seluruh kota Vienna (ibu kota Austria sekarang), namun mereka tidak berjaya menguasainya pada tahun 935 H/1529 M. 

Antara kejayaan lain Sultan Sulaiman :

  1. Pembangunan Maritim Uthmaniyah- Semasa pemerintahan Sultan Bayazid II, pembangunan maritim sudah mengalami pertumbuhan yang pesat ketika itu. Jadi, pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman, kekuatan maritim pun makin diperkuatkan dengan adanya panglima angkatan laut yang terkenal iaitu Khoiruddin Barbarosa yang dikenali oleh Barat sebagai bajak laut. Barbarosa merupakan seorang panglima angkatan laut Uthmaniyah yang kuat dan berjaya menguasai pantai Sepanyol serta menghancurkan angkatan laut Pasukan Salib di Laut Mediterranean.
  2. Perkembangan Peradaban - Sultan Sulaiman juga seorang yang mahir dalam menggubah syair, menulis kaligrafi, dan menguasai beberapa bahasa timur seperti bahasa Arab. Baginda juga suka dengan batu permata dan seni bina bangunan. Oleh itu, banyak arkitek-arkitek yang muncul ketika itu untuk tujuan pembangunan kerajaan Turki Uthmaniyah.
  3. Perkembangan Perundangan - Untuk pengetahuan anda, di Timur, baginda dikenali sebagai 'al-Qanuni' (pembuat undang-undang) sebagai jasanya dalam permodenan sistem perundangan kerajaan Uthmaniyah. Undang-undang tersebut ialah 'Qanun Namahul Sultan Sulaiman' lalu menjadikan baginda sebagai seorang sultan yang adil dalam memerintah.

Wafatnya Sultan Sulaiman

Di penghujung usianya, baginda menderita sakit sendi tulang sehingga membuatkan baginda tidak dapat menunggang kuda lagi. Pada waktu itu, baginda sudah berusia 74 tahun.

Walaupun pada ketika itu baginda tahu tentang orang-orang Kristian Eropah yang ingin menceroboh kawasannya, Sultan Sulaiman tetap berdiri berjihad memimpin pasukannya dalam keadaan sakit yang teruk.

Keadaan baginda semakin parah apabila tiba di Kota Hungary. Baginda sudah dilarang oleh tabib untuk tidak turun ke medan peperangan ketika itu tetapi baginda menjawab bahawa "Aku lebih senang wafat dalam keadaan berjihad di jalan Allah". 

Sebelum baginda wafat, baginda bersama pasukan tenteranya telah mengepung Kota Szigetvar selama 2 minggu. Walaupun cuaca sangat dingin, namun dengan semangat yang kental untuk mempertahankan benteng mereka, ia menjadikan perang itu sebagai perang paling dasyat yang dialami oleh umat Islam.

Akhirnya, Allah SWT telah mengabulkan doa Sultan Sulaiman. Salah satu peluru meriam umat Islam ketika itu telah menghentam kawasan orang-orang kafir dan ledakan yang dasyat pun terjadi. Benteng mereka pun runtuh lalu umat Islam mengambil peluang untuk menyerang mereka habis-habisan. Bendera Sulaimaniyah dikibarkan akhirnya menandakan bahawa umat Islam telah memenangi peperangan tersebut.

Baginda sangat gembira dengan kemenangan tersebut lalu baginda terus memuji Allah atas nikmat yang agung ini. Baginda pun berkata "Sekarang, selamat datang wahai kematian. Selamat datang kebahagiaan (kemenangan) dan (semoga) kemenangan yang abadi. Berbahagialah jiwa yang redha dan diredhai. Iaitu mereka yang Allah redhai, dan mereka juga yang redha kepada Allah."

Baginda wafat pada 20 Safar 974 H/5 September 1566 M. 

Ini hanyalah sejarah ringkas tentang zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah oleh Sultan Sulaiman. Sebenarnya ada banyak lagi sejarah tentang baginda. Kisah hidup baginda bersama Hurrem Roxelana turut menjadi perbualan hangat oleh orang ramai. Siapa sebenarnya Hurrem ini? Akan bersambung.

Sumber :

  1. Sulaiman al-Qanuni
  2. Kebencian orang-orang Barat terhadap Sultan Sulaiman

tags : , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)