Kami sudah menulis tentang sejarah ICERD dan tujuannya diwujudkan. Jika anda belum baca, kami cadangkan anda buka artikel itu terlebih dahulu.

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita baru saja selesai mengusulkan perubahan-perubahan yang boleh diperkenalkan di negara kita, menerusi proses Universal Periodic Review (UPR) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 November 2018.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dokumen itu mengandungi pelbagai usul dan cadangan yang dibentuk, berdasarkan kepada konvensyen-konvensyen hak asasi manusia PBB - bagi memastikan wujudnya kesamarataan hak dalam pelbagai isu melibatkan semua orang.

Kami telah memeriksa cadangan-cadangan tersebut dan memilih 9 cadangan yang kami rasakan perlu anda ketahui, untuk dilaksanakan di negara kita.

1. Pembuangan 'agama' daripada dokumen pengenalan diri

status agama dipadam dalam ic

Salah satu cadangan yang diutarakan oleh NGO Jubilee dalam UPR adalah untuk tidak lagi merekodkan agama seseorang dalam dokumen pengenalan diri rasmi setiap warganegara Malaysia.

Pada pendapat penulis, ini adalah satu cadangan yang dangkal kerana hanya akan menambahkan lagi komplikasi-komplikasi khasnya apabila melibatkan isu perkahwinan, kematian dan juga keturunan seseorang.

2. Zina bukan lagi jenayah

zina adalah pilihan

Gabungan NGO menuntut agar perbuatan seks suka sama suka di antara dua individu dewasa yang memberi izin, untuk tidak lagi diletakkan sebagai satu jenayah. Dalam cadangan mereka juga, mereka menuntut agar akta kod penal 377B yang menganggap dua orang individu yang melakukan hubungan luar tabii sebagai satu jenayah dimansuhkan.

3. Tiada lagi hukuman sebat atau rotan

tukang sebat tidak lagi dibenarkan

Satu gabungan NGO menuntut agar sebarang bentuk hukuman yang memalukan pesalah, seperti sebatan atau merotan dimansuhkan agar lebih selari dengan tuntutan hak asasi manusia antarabangsa yang mahu melindungi maruah pesalah.

Sekiranya cadangan ini dipersetujui, ini bermakna kuasa mahkamah khasnya mahkamah syariah semakin berkurangan.

4. Taraf mahkamah syariah direndahkan lagi

mahkamah syariah direndahkan

Berikutan kewujudan dua bentuk undang-undang yang digunakan di negara kita, sivil dan syariah, wujud tuntutan supaya mahkamah syariah diletakkan di bawah status 'subordinate' serta hanya boleh membicarakan kes-kes melibatkan masalah peribadi individu Muslim dan langsung tidak berhak melibatkan orang bukan Muslim.

Kuasa mahkamah syariah juga dicadangkan dikawal kerana menimbulkan masalah kepada mana-mana individu Muslim yang ingin keluar daripada agama Islam.

5. Hak untuk meninggalkan agama Islam

dibenarkan murtad

Satu tuntutan melibatkan kumpulan NGO yang besar menyentuh berkenaan isu kebebasan agama di Malaysia. Mereka menuntut agar hak kebebasan agama diberikan sepenuhnya kepada semua individu termasuklah individu Muslim, tanpa ada sebarang sekatan.

Badan NGO juga menuntut agar orang Islam dibenarkan meninggalkan agama Islam tanpa sebaranga hukuman dikenakan ke atas mereka yang mahu. Selain itu hak seorang Melayu yang murtad juga perlu dipastikan kekal walaupun dia bukan lagi orang Islam.

6. Penggunaan nama 'Allah' sepatutnya bukan eksklusif pada Muslim

kalimah allah untuk semua

Satu tuntutan melibatkan nama 'Allah' juga dilakukan, dengan kerajaan Malaysia diminta untuk mula membenarkan mana-mana agama bukan sahaja agama Islam, untuk menggunakan perkataan 'Allah' bagi merujuk Tuhan mereka - khasnya agama Kristian.

7. Pendidikan seks pro-pilihan di sekolah

pendidikan seksual pro pilihan

Sebuah NGO dalam cadangannya dalam UPR mahu agar satu kurikulum dibangunkan bagi mendidik pelajar-pelajar sekolah berkenaan isu seksualiti berbentuk pilihan atau pro-choice, agar pelajar dapat didedahkan lebih awal dengan pemahaman seksualiti yang dianjurkan masyarakat antarabangsa.

8. Ibu bapa tidak lagi boleh merotan anak

merotan adalah jenayah

Masih ingat satu kes di Sweden melibatkan pasangan ibu bapa yang ditahan kerana merotan anak mereka? Salah satu cadangan yang dimasukkan dalam agenda UPR adalah untuk mentakrifkan sebarang bentuk hukuman fizikal (corporal punishment) sebagai satu bentuk jenayah dalam semua keadaan.

Tuntutan ini bukan sahaja melibatkan peringkat keluarga, malahan dalam segala bentuk sistem sosial yang melibatkan perkahwinan, bukan perkahwinan, sistem tradisional ataupun sistem yang wujud disebabkan tuntutan agama.

9. Ajaran Syiah perlu dianggap sebahagian daripada ajaran Islam

ajaran syiah dibenarkan

Shia Rights Watch, sebuah NGO antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi kepentingan penganut kepercayaan Syiah di seluruh dunia menuntut agar kerajaan Malaysia tidak lagi meletakkan kepercayaan itu sebagai ajaran sesat.

Mereka menuntut agar penganut Syiah diberikan hak serupa dengan dan meminta agar segala bentuk diskriminasi terhadap mereka dihentikan.


Itulah serba sedikit apa yang dicadangkan oleh gabungan badan-badan NGO negara kita, dalam semakan semula Universal Periodic Review negara kita untuk tahun 2018. Setakat ini, belum ada sebarang maklum balas daripada pihak kerajaan kita berkenaan permintaan-permintaan ini. Kami akan bawakan kepada anda informasi terkini perihal isu ini kerana kami merasakan kesedaran tentang UPR ini perlu dimiliki setiap individu di negara kita.

Rujukan

Laporan suruhanjaya hak asasi manusia untuk PBB




Hakcipta iluminasi.com (2017)