Cukai merupakan antara cara utama sesebuah negara untuk menjana pendapatan ekonomi negara daripada rakyatnya. Antara cukai yang biasa diperkenalkan di sesebuah negara adalah cukai pendapatan, iaitu sejenis cukai secara langsung. Cukai pendapatan adalah peratusan kecil daripada pendapatan tahunan seseorang rakyat yang perlu dibayar semula kepada negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, terdapat juga cukai jenis tidak langsung (contohnya cukai perkhidmatan), cukai jualan dan cukai barangan dan perkhidmatan. Setiap negara mempunyai polisi masing-masing mengenai jumlah cukai yang dikenakan kepada rakyatnya. Cukai-cukai yang dikutip ini pula akan digunakan untuk pelbagai perkara seperti pembinaan insfrastruktur, pembinaan sekolah, perbelanjaan kesihatan, pelaburan dalam industri pertanian dan perindustrian dan banyak lagi.

Cukai-cukai yang dinyatakan di atas adalah satu kebiasaan dan jarang dipertikai kerana rakyat tahu kemana cukai-cukai tersebut akan dibelanjakan. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa cukai "pelik" yang diperkenalkan beberapa buah negara luar yang ada kalanya tidak masuk akal dan lebih kepada menindas rakyat masing-masing.

1. Cukai Media Sosial - Uganda

cukai sosial media di uganda 601

Pada bulan Jun 2018, negara Uganda telah memperkenalkan sejenis cukai yang pelik, iaitu cukai untuk menggunakan media sosial. Cukai yang kontroversi ini menghendaki rakyat yang mahu menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan seangkatan dengannya untuk membayar kira-kira 200 shillings iaitu kira-kira 20 sen sehari.

Sekiranya mereka tidak sebarang aplikasi sosial media pada haritu tertentu, mereka tidak perlu membayar cukai ini pada hari tersebut. Presiden Uganda, Yoweri Museveni berkata cukai tersebut diperkenalkan untuk mengelakkan rakyat menyalahgunakan media sosial. Cukai tersebut mendapat kritikan daripada rakyat kerana dikatakan menyekat kebebasan bersuara rakyat.

Pada tahun 2016, Presiden Uganda ini juga pernah menghalang akses ke laman sosial sewaktu musim pilihanraya kerana mendakwa laman sosial ini banyak digunakan rakyat untuk menyebarkan berita palsu dan tidak benar.

2. Cukai Anjing - Switzerland

cukai anjing switzerland 554

Sekiranya anda seorang pemilik anjing di Switzerland suatu ketika dahulu, anda dikehendaki membayar sejenis cukai tambahan untuk setiap seekor anjing yang anda bela. Tiada kadar sama rata sebaliknya kadar cukai yang perlu dibayar ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti baka dan saiz anjing.

Sementara itu, bagi anjing penyelamat dan anjing pemandu arah, anda boleh memilih untuk pengurangan atau pengecualian cukai. Seperti biasa, apabila cukai pelik seperti ini diperkenalkan maka ramailah pemilik anjing yang cuba mengelakkan diri daripada membayar. Bagi mengelakkan pemilik anjing daripada melarikan diri daripada membayar cukai, satu undang-undang telah diperkenalkan pada tahun 1904 yang membolehkan anjing mereka ditembak mati.

3. Cukai Blogging - Tanzania

cukai blogging tanzania

Memiliki dan menulis blog adalah sesuatu yang mudah dan percuma. Sekiranya anda minat untuk mula menulis blog, anda boleh mendaftarkan akaun di laman Blogger.com. Walau bagaimanapun, sekiranya ada berada di Tanzania, anda dikehendaki membayar kira-kira RM1750 kepada kerajaan setiap tahun untuk memiliki dan menulis blog.

Pembayaran ini tertakluk kepada undang-undang baru Peraturan Elektronik dan Pos (Kandungan Dalam Talian) yang diperkenalkan pada bulan Mac 2018. Di bawah peraturan ini, setiap pemilik blog dikehendaki mendapatkan lesen dan membayar cukai seperti yang dinyatakan diatas. Bukan sahaja pemilik blog, malah pengguna sosial media, pembikin video dan podcast, pemilik radio dan televisyen dalam talian turut tertakluk kepada undang-undang baru ini.

Di bawah peraturan ini juga, setiap pihak yang dinyatakan di atas dilarang untuk menghasilkan tulisan atau isi kandungan yang berbentuk pornografi, mengandungi kata-kata kesat, isi kandungan tidak benar dan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan dengan maksimum RM1000 atau 12 tahun penjara atau kedua-duanya.

4. Cukai Penganut Agama Kristian - Jerman

cukai agama kristian di jerman

Di Jerman, penganut agama Kristian Katolik dan Protestan dikenakan sejenis cukai tambahan dimana pendapatan daripada cukai ini digunakan untuk menampung perbelanjaan gereja masing-masing. Cukai yang dikenakan ini adalah 8 hingga 9 peratus pendapatan yang diperolehi daripada penjualan aset.

Cukai ini diperkenalkan memandangkan sebahagian besar rakyat Jerman menganuti agama Kristian dimana kira-kira 30.8% bermazhab Katolik dan 30.3% bermazhab Protestan. Hanya terdapat satu cara untuk mengelakkan diri daripada membayar cukai pelik ini, iaitu dengan mengelakkan diri daripada terlibat dengan mana-mana gereja. Walau bagaimanapun, mereka yang melakukannya akan kehilangan beberapa kelebihan seperti urusan upacara pengkebumian dan menghadiri upacara perayaan.

5. Cukai Tingkap - England

cukai tingkap di england

Pada tahun 1695, terdapat satu jenis cukai pelik yang dikenali sebagai Cukai TIngkap yang diperkenalkan di England. Cukai ini dibayar mengikut jumlah tingkap yang terdapat dirumah pemiliknya. Suatu ketika dahulu, secara umumnya orang kaya akan memiliki rumah besar yang mempunyai banyak tingkap. Maka, cukai ini diperkenalkan bagi mewajibkan golongan kaya ini membayar sejumlah wang kepada pihak pemerintah.

Walau bagaimanapun, rakyat bijak memanipulasi undang-undang apabila mengurangkan pembinaan tingkap di rumah masing-masing untuk mengelakkan mereka daripada membayar cukai ini. Walau bagaimanapun, pengurangan tingkap ini dikatakan boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada pemilik rumah, menyebabkan kerajaan menarik balik cukai ini pada tahun 1851.

Kredit:

  1. BBC
  2. WikiPedia
  3. The Telegraph
  4. EFile



Hakcipta iluminasi.com (2017)