brunei negara bebas gst dan vat

Kami tahu percukaian adalah satu isu hangat untuk setiap individu, dengan impian orang ramai mahukan kadar cukai yang rendah (atau sifar) dikenakan atas pendapatan dan perbelanjaan kita.

Namun, ada juga beberapa negara yang langsung tidak mengenakan cukai ke atas rakyatnya. Harus diingatkan, setiap kerajaan tetap memerlukan sumber pendapatan dan bukan semua negara 'dilahirkan' kaya, seperti yang kami huraikan dalam artikel ini.

Memang wujud negara yang tidak mencukaikan rakyatnya, namun pasti ada sebab-sebab tertentu mengapa negara tersebut mampu bertindak demikian. Berikut adalah lima negara yang diketahui rakyatnya tidak dikenakan cukai pendapatan dan mengapa mereka mampu melakukan perkara tersebut.

1. Brunei

brunei negara kaya minyak bebas cukai

Negara paling dekat dengan kita ini sudah terkenal antara negara paling kaya dengan dunia. Kami tak mahu ulas panjang tentang perihal itu. Brunei adalah antara beberapa negara di dunia yang tidak mengenakan cukai pendapatan serta cukai penggunaan seperti GST pada rakyatnya. Gaji yang mereka dapat bersih tanpa potongan dan nilai barangan yang mereka beli juga bersih tanpa sebarang penambahan.

Sekiranya anda ingin bekerja mengumpul duit di Brunei, pastikan anda mendapat status residen terlebih dahulu bagi melayakkan anda mendapat pengecualian ini. Namun harus diingat, kerajaan Brunei bukannya bebas cukai sepenuhnya. Mereka tetap mengenakan cukai melalui cukai jalan, duti import dan eksport serta pembayaran setem duti untuk sesuatu transaksi yang dilakukan.

2. Kuwait

kuwait bakal memperkenalkan gst

Kuwait juga mengambil pendekatan serupa dengan Brunei, tidak mencukaikan pendapatan rakyat mereka. Ekonomi mereka banyak dibantu oleh nilai matawang mereka, yang menjadi matawang paling mahal di dunia dan ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan kuasa membeli rakyat mereka tanpa rakyat dikenakan cukai.

Setakat ini, Kuwait masih lagi bebas GST. Tidak ada sebarang cukai dikenakan ke atas pembelian dan penggunaan barangan di sana. Bagaimanapu, Kuwait sedang merancang untuk memperkenalkan sistem GST bagi membantu menampung ekonomi mereka. Buat masa sekarang, semua perbelanjaan kerajaan Kuwait ditanggung sepenuhnya oleh hasil jualan minyak dan cukai korporat yang dikenakan, cuma berapa lama boleh dikekalkan sebegitu rupa, sukar untuk dijawab.

3. Cayman Island

cayman island tidak memperkenalkan gst

Dikenali sebagai 'syurga bebas cukai' di dunia, Cayman Island bukan sahaja tidak mengenakan cukai kepada pendapatan individu, malahan cukai perniagaan juga tidak dikenakan sebarang bentuk cukai. Atas sebab itulah banyak syarikat gergasi dunia menjadikan Cayman Island sebagai pilihan mereka menyimpan hasil pendapatan mereka.

Bagaimanapun, kos sara hidup di situ memang agak menggila tingginya ekoran 90% barangan di situ terpaksa diimport masuk. Bagi menampung kos pengurusan kerajaan di situ, majoriti pendapatan kerajaan Cayman Island datang daripada industri pelancongan serta yuran yang dikenakan kepada syarikat-syarikat yang ingin menyimpan wang mereka di pulau tersebut. Wang itu pula perlu dibayar terus kepada kerajaan Cayman Island.

4. Bahamas

bahamas negara yang tidak mengenakan cukai pendapatan

Kepulauan indah yang terletak di Lautan Pasifik ini mempunyai 700 pulau amat menggalakkan individu yang berminat menjadi warganegara mereka agar berpindah ke sana. Tidak wujud sebarang cukai pendapatan atau cukai dikenakan ke atas kediaman. Bagaimanapun, Bahamas mula memperkenalkan sistem GST sebanyak 7.5% pada 1 Januari 2015 ke atas setiap transaksi pembelian barangan.

Wujud dalam bentuk pulau, kesukaran membawa masuk barangan meninggikan kos sara hidup penduduk Bahamas namun dikatakan banyak dibantu oleh kadar sifar cukai yang diamalkan. Sekiranya anda mempunyai wang yang banyak, kerajaan Bahamas mengalukan anda membeli kediaman di sana yang berharga lebih RM930 ribu. Sekiranya anda sudahpun memiliki sebuah kediaman di sana, anda secara automatik menjadi seorang warganegara Bahamas secara kelayakan penuh.

5. Arab Saudi

arab saudi tidak kenakan cukai pendapatan

Arab Saudi baru saja memperkenalkan GST pada 1 Januari 2018 pada kadar 5% dalam membantu mengelakkan kebergantungan negara mereka ketika harga minyak menurun. Ekonomi Arab Saudi 90% bergantung dengan minyak jadi pengenalan GST di negara mereka adalah sesuatu yang dirasakan perlu.

Selain itu kenaikan harga petrol di negara tersebut yang dilaksanakan, menyebabkan perbelanjaan rakyat Saudi naik mendadak. Oleh kerana itu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan mereka juga sudah memulakan bantuan perbelanjaan bulanan wang ringgit diberikan. Walaupun begitu, cukai pendapatan masih belum dikenakan pada penduduk Arab Saudi, dengan bayaran zakat menjadi kewajipan mereka yang layak.


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)