malaysia lgbt positif

Kenapa gerakan LGBT tetap boleh menyusup masuk ke dalam kebanyakan negara, tak kiralah sekuat mana pun pegangan kepada agama masyarakat itu? Pelik kan? Pasti ramai yang menggaru-garu kepala melihat bagaimana kumpulan minoriti yang membawa perjuangan berasaskan kesongsangan seksualiti, mampu membuatkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia mendengar suara mereka.

Dalam setiap perkara, pasti ada pro dan kontra yang wujud disebabkan perkara tersebut walaupun seburuk atau sebaik mana perkara itu. Kami percaya dalam banyak yang buruk berkait dengan gerakan LGBT, ada beberapa perkara yang kita harus akui bersifat baik yang ditonjolkan oleh mereka.

Berikut adalah lima ciri-ciri baik aktivis LGBT yang menampakkan betapa kuatnya pergerakan mereka, berbanding kita yang hanya sekadar mampu bersuara.

1. Latar belakang orang berpendidikan

marina mahathir aktivis lgbt

Sekiranya anda dengar aktivis-aktivis LGBT bercakap, sama ada di Malaysia ataupun di negara luar - amat jelas sekali mereka bukanlah orang yang biasa-biasa saja. Setiap daripada mereka diberikan kebolehan berdialog dan menulis dengan sangat baik, yang pasti datang daripada pendidikan yang baik, walaupun tidak sempurna.

Mereka mampu mengolah sesuatu isu daripada pandangan yang bernas, sehingga mampu menampakkan logik pandangan mereka menyebabkan ramai orang percaya akan kebenaran kata mereka. Sekiranya anda lihat kelulusan mereka pula, kebanyakannya memang belajar di luar negara serta mempunyai tahap pendidikan yang secara puratanya lebih tinggi berbanding orang ramai.

2. Gerakan yang sangat tersusun

nisha ayub aktivis lgbt

Kejayaan mereka bangun mendesak kerajaan kita sekarang ini bukannya berlaku sekelip mata. Semua ini adalah perancangan teliti yang dilakukan dan dirancang sekian lama, bukan saja melibatkan individu-individu LGBT malahan mereka berjaya juga menarik aktivis-aktivis yang bukan seorang LGBT menyertai perjuangan mereka.

Sekiranya anda fikirkan dalam-dalam, bagaimana sebuah gerakan yang didalangi aktivis-aktivis semata-mata mampu menjalankan perarakan PRIDE yang sangat terkenal di berpuluh negara serata dunia? Perarakan PRIDE ini pula disertai oleh ribuan orang sama ada bersifat LGBT ataupun bukan, menyatakan sokongan pada perarakan tersebut. Kita mahu mengadakan mesyuarat PIBG di sekolah pun tak dapat sambutan ibu bapa, sehinggakan perlu diadakan cabutan bertuah bagi menarik minat ibu bapa.

3. Menguasai media

ellen degeneres portia de rossi pasangan lesbian

Media barat ketika ini seolah sudah betul-betul memegang persepsi semua tentang LGBT itu baik. Bagi mereka yang mengikuti berita LGBT luar negara, anda pasti dapat mengesan bagaimana media barat menggambarkan pasangan gay sebagai pasangan yang cool serta mampu menyayangi anak-anak mereka lebih baik berbanding ibu bapa lain.

Ikon-ikon LGBT barat juga diletakkan pada kedudukan lebih tinggi dengan nama-nama seperti Kristen Stewart (biseksual), Ellen Page (lesbian) atau Neil Patrick Harris (gay) kerap kali menjadi simbol positifnya gerakan LGBT. Hasil daripada itu, beratur selebriti barat berebut nak mengaku mereka sebenarnya biseksual sejak dulu kerana menjadi biseksual diangkat sebagai satu kebaikan pada hidup mereka. Pengakuan ini bukannya melibatkan artis-artis kurang popular, tetapi nama-nama besar yang kerap kita lihat di dalam filem.

4. Bersatu dalam perjuangan

malaysia aktivis siti kasim transgender

Salah satu kelebihan yang berjaya dibentuk melalui gerakan mempopularkan LGBT adalah bagaimana mereka berjaya menampakkan kesatuan mereka, yang berjaya menggabungkan pelbagai jenis-jenis manusia yang mereka percaya datang dari pelbagai spektrum 'warna' - bergabung dalam satu permintaan, iaitu hak mereka.

Bukannya senang untuk sekumpulan manusia yang mempunyai pandangan berbeza tentang seksualiti masing-masing dapat bersatu menuntut perkara yang sama. Kejayaan mereka mensolidifikasikan tuntutan hak sebagai tunjang permintaan menjadikan mereka sangat kuat dan tidak lagi boleh diabaikan kewujudannya.

5. Ubah label lama agar lebih seiring dengan zaman

perarakan lgbt contoh gerakan yang berjaya

Kami sudah menerbitkan artikel tentang asal-usul perkataan gay dan lesbian. Sekiranya anda membaca sejarah sebenar dua label itu, anda sudah tahu kedua-dua perkataan ini sebenarnya langsung tak berkait dengan gerakan yang makin kerap didengari kini. Tetapi bagaimana kedua-dua perkataan itu akhirnya menjadi label milik gerakan LGBT? Pemasaran yang berkesan mengubah persepsi masyarakat.

Label 'gay' dan 'lesbian' yang kini mewakili gerakan LGBT dipasarkan seolah-olah satu corak kehidupan yang lebih seiring dengan dunia moden, sesuai untuk diamalkan masyarakat dunia keseluruhannya. Teknik mengubah sejarah dan kemudian mempakejkan semula sesuatu gerakan lama dalam nama atau label yang membawa pemikiran baru, sangat efektif dalam mempercepatkan naiknya sesuatu pergerakan kerana mereka tidak lagi perlu bermula dari kosong.


Kita sudah diingatkan berkali-kali gerakan songsang ini semakin lama akan semakin besar dan lima sebab inilah pada penulis, mempercepatkan lagi perkembangan pengaruh gerakan mereka di seluruh dunia.

Sekarang lihat balik dan bandingkan dengan diri kita, adakah kita mampu berbuat perkara serupa dalam menyampaikan mesej kita atau kita hanya akan terus berpecah tidak mampu bersatu, apabila ancaman kesongsangan semakin berakar umbi dalam masyarakat kita?


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)