Bila bercerita tentang ciptaan yang mengubah dunia, kita selalu menceritakan tentang peranti yang gah dan hebat-hebat seperti telefon atau enjin, dengan nama-nama pencipta seperti Nicola Tesla dan Alexander Graham Bell menjadi sebutan.

Bagaimanapun, ada banyak lagi ciptaan lain yang sebenarnya jauh lebih penting tetapi jarang disebutkan kerana ciptaan itu mempunyai fungsi yang sangat terhad - namun kita besar kemungkinan sukar untuk menjalani hidup tanpanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima ciptaan paling penting dan paling ringkas, yang jarang kita letakkan usaha untuk mempelajari sejarah dan penciptanya.

1. Butang baju

butang zaman dahulu

Butang baju sebenarnya merupakan satu ciptaan yang sudah berusia beribu tahun lamanya. Butang paling tua dalam dunia ditemui hasil daripada tinggalan Tamadun Indus yang terletak di bahagian Asia Selatan, dianggarkan berusia 5000 tahun.

Diperbuat daripada kulit kerang, kulit itu akan ditebuk dengan lubang di permukaannya untuk membolehkan tali dimasukkan. Tali itu kemudiannya akan dipasangkan pada fabrik atau kulit untuk mengetatkannya.

Butang pada zaman itu kebiasaannya digunakan sebagai perhiasan dan bukan untuk menyambungkan dua helai fabrik agar bercantum.

2. Pembaris/pengukur

nippur cubit pembaris paling tua

Pengukur yang digunakan bagi mendapatkan sesuatu standard unit ukuran paling tua di temui di Nippur, salah sebuah bandar lama tamadun Sumeria yang kini terletak di Iraq. Batang pengukur itu diramalkan dibuat pada tahun 2650BC.

Pengukur yang diperbuat daripada gading gajah turut sama ditemui di kawasan Tamadun Indus, dipercayai digunakan sekitar tahun 1500BC.

Semua pengukur masyarakat zaman dahulu menggunakan unit ciptaan mereka sendiri ketika itu yang ditandakan pada pengukur tersebut.

3. Bata

bata paling tua dunia

Bata paling tua di dunia.

Bata yang menjadi asas pembinaan kita sekarang merupakan sebuah ciptaan yang hampir 10,000 tahun lamanya. Bata paling tua di dunia dikatakan dibuat oleh orang Mesir zaman dahulu, yang membentukkan lumpur dengan tangan lalu dikeringkan bagi mengeraskannya.

Bagi mengukuhkan struktur bata itu, orang Mesir mencampurkannya dengan jerami bagi memastikan bentuknya tidak merekah. Ciptaan itu kemudiannya ditambah baik dengan kajian-kajian masyarakat berikutnya.

Campuran tanah dengan unsur mineral seperti besi membolehkan binaan yang lebih kukuh dapat dibuat dan batu-bata menjadi pilihan kita, sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang di mana bata mula dibuat dengan campuran konkrit.

4. Lilin

lilin ciptaan yang jarang diperkatakan

Berikutan kemudahan tenaga elektrik, lilin kini jarang sekali kita gunakan kecuali ketika terputus bekalan elektrik. Itupun dah ramai yang mula menggunakan lampu yang terdapat pada telefon bagi menggantikan lilin.

Lilin merupakan kesinambungan ciptaan awal manusia yang berasal daripada lampu minyak. Sumbu akan diletakkan dalam bekas berisi minyak untuk membolehkan api dinyalakan. Bagaimanapun, masalah bahaya serta kerap tertumpah kerana sumbu perlu diubah dengan tangan setiap kali api hampir terpadam.

Orang Rom adalah masyarakat pertama menggunakan lemak haiwan yang dikeraskan untuk dijadikan sumber bahan bakar pada tahun 500BC. Sumbu yang sebelum ini ditakungkan dalam minyak, mula diletakkan dalam lemak berbentuk pepejal dan mampu membakar dengan lebih mudah.

Lilin paling tua di dunia setakat ini yang masih oleh dibuat pada tahun 200BC, ditemui di China. Minyaknya diperbuat daripada lemak ikan paus.

5. Tin

tin paling tua dunia

Salah satu ciptaan paling berguna yang kita gunakan hari-hari adalah tin, yang digunakan untuk menyimpan bahan seperti susu sejat, serbuk Milo atau bahan makanan dalam tin.

Idea untuk menyimpan bahan makanan agar tahan lebih lama dimulakan oleh seorang lelaki Perancis bernama Nicolas Appert pada tahun 1806. Dia diupah oleh tentera Perancis untuk mencipta sistem simpanan makanan tentera jadi dia menggunakan bekas kaca bertutup untuk tujuan itu. Teknik yang digunakan beliau menjadi asas kepada teknik penyimpanan makanan yang kita guna sehingga kini.

Tin pula mula digunakan dan dicipta oleh seorang lelaki Inggeris bernama Peter Durand yang menggunakan besi padu untuk mencipta bekasnya. Dengan menggunakan teknik diperkenalkan Appert, Durand berjaya menggunakan tin yang kedap udara untuk menyimpan bahan makanan, termasuklah daging.

Bagaimanapun, tin ciptaan beliau sangat sukar dibuka jadi terpulanglah kepada pembeli untuk menggunakan kaedah sendiri membuka tudung tin itu. Hanya selepas 50 tahun selepas itu, barulah pembuka tin dicipta.

6. Penyedut minuman

masyarakat mesir zaman dahulu minum penyedut minuman straw

Jarang sekali kita peduli tentang sejarah penyedut minuman kan - walaupun perkakasan ini sangat kerap kita gunakan? Penyedut minuman pertama di dunia percayai digunakan semasa Tamadun Sumeria pada tahun 3000BC.

Penyedut minuman ketika itu digunakan bagi membolehkan orang zaman tersebut minum minuman tanpa menggangu mendakan yang terhasil dilapisan bawah minuman mereka. Penyedut minuman tertua dunia ditemui di sebuah kubur orang Sumeria, diperbuat daripada emas.

Mengikut peredaran zaman, beberapa bahan lain juga pernah digunakan untuk dijadikan penyedut minuman seperti rumput sebelum penyedut minuman kertas pertama dicipta pada tahun 1888.

Hasil penciptaan plastik pada tahun 1907 oleh Leo Baekeland membolehkan penyedut minuman mula dicipta menggunakan bahan tersebut, yang lebih murah dan tahan untuk digunakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)