Penyelidikan, penemuan dan penciptaan bahan atau produk baru dilakukan setiap hari dengan tujuan memudahkan hidup manusia. Namun begitu, pelbagai ciptaan juga dihasilkan untuk digunakan untuk tujuan jahat seperti dalam peperangan.
Kebanyakan daripada saintis-saintis yang membuat penemuan-penemuan penting adalah daripada mereka yang jujur yang mahu memperbaiki dunia, namun ia digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan perkara sebaliknya.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebagai contoh, Albert Einstein menghasilkan teori E=mc2 yang mana ia telah digunakan oleh Amerika Syarikat dalam Projek Manhattan untuk menghasilkan senjata nuklear. Dengan ini, iluminasi.com kongsikan ciptaan yang berguna dan baik yang mana telah digunakan ke arah kejahatan dan keburukan.
1. Zyklon B
Fritz Haber adalah seorang saintis Yahudi yang memenangi Hadiah Nobel, individu yang bertanggungjawab mencipta baja nitrogen murah dan membuat senjata kimia untuk Jerman dalam Perang Dunia Pertama.
Racun serangga ciptaannya ini digunakan sebagai penyembur kimia dalam kedai bijirin yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan 1.2 juta nyawa.
Zyklon B menjadi kaedah pilihan pelaksanaan dalam bilik gas semasa pembunuhan beramai-ramai.
2. Agen jingga
Arthur Galston mengembangkan penghasilan bahan kimia yang mampu mempercepatkan pertumbuhan kacang soya yang membolehkannya di tanam di kawasan yang bermusim pendek.
Malangnya, bahan kimia ini dalam konsentrasi yang tinggi akan menggondolkan tumbuhan dan menjadi beracun, membuatkan Arthur bimbang kesannya terhadap manusia.
Agen ini dibekalkan kepada Amerika Syarikat dalam tong hitam berbelang, yang mana sebanyak 77 juta liter agen jingga digunakan untuk disembur di Vietnam yang menyebabkan 400,000 kematian dan kecacatan, dengan 500,000 kecacatan kelahiran.
3. TNT
Ahli kimia Jerman, Joseph Wilbrand telah menemukan trinitrotoluene pada tahun 1863 untuk digunakan sebagai pewarna kuning. Namun, menjelang tahun 1902, kuasa pemusnah yang ada pada TNT baru sahaja diketahui sepenuhnya.
TNT dijadikan sebagai bahan letupan yang digunakan secara meluas oleh kedua-dua pihak ketika Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Dan kini, TNT masih digunakan oleh pasukan ketenteraan.
4. Petrol berplumbum
Seorang jurutera mekanikal dan kimia Amerika Syarikat, Thomas Midgley telah menemui kegunaan CFC Freon sebagai penyejuk untuk menggantikaan penyejuk yang sangat toksik seperti ammonia yang biasa digunakan.
Namun, CFC Freon adalah bahan yang telah menyebabkan kerosakan yang sangat dahsyat terhadap lapisan ozon, membuatkan pemanasan global menjadi lebih teruk.
Idea lain beliau yang agak terkenal adalah dengan menambahkan plumbum tetraetil ke dalam petrol, bagi mencegah bunyi "ketukan" yang merosakkan, hasil daripada penyalaan awal disebabkan oleh tekanan.
Namun, idea ini telah menyebabkan masalah kesihatan dan kematian di seluruh dunia akibat keracunan plumbum.
Thomas Midgley dianggap sebagai individu yang paling dahsyat menyebabkan kerosakan pada atmosfera dalam sejarah bumi.
5. Gas sarin
Seorang lagi ahli kimia Jerman, Dr. Gerhard Schrader telah melakukan penyelidikan pengkhususan dalam menghasilkan racun serangga baru.
Tujuan penghasilan racun serangga ini adalah dengan harapan ia dapat memajukan dunia dalam memerangai kelaparan.
Namun, Dr. Gerhard lebih dikenali kerana penemuan yang tidak disengajakannya terhadap agen saraf seperti sarin dan tabun.
Pendedahan terhadap sarin mampu membunuh walapun hanya dengan dos yang sangat rendah, di mana kematian boleh berlaku dalam hanya 1 hingga 10 minit.
Dan disebabkan ini, Dr. Gerhard digelar sebagai "Bapa Agen Saraf".
6. Pelakuran nuklear
Sir Marcus Laurence Elwin Oliphant, seorang ahli fizik dari Australia adalah yang individu pertama mendapat tahu bahawa nukleus hidrogen berat boleh dibuat untuk bertindak balas antara satu sama lain.
Reaksi gabungan ini adalah asas kepada bom hidrogen. Sepuluh tahun kemudian, saintis Amerika Edward Teller telah menggunakan penemuan ini untuk menghasilkan bom tersebut.
Namun, Marcus tidak meramalkan perkara ini akan berlaku dengan berkata:
"Kami langsung tidak mengetahui bahawa satu hari nanti penemuan ini akan digunakan dalam menghasilkan bom hidrogen. Rasa ingin tahu kami hanyalah rasa ingin tahu mengenai stuktur nukleus atom,".
7. Ecstasy
Anton Kollisch, ahli kimia Jerman adalah orang yang pertama di dunia mengsintesiskan bahan kimia MDMA ketika bekerja di syarikat farmasi gergasi, Merck, yang kemudiannya lebih dikenali sebagai ecstasy.
Beliau menghasilkan 3,4-methylenedioxymethamphetamine sebagai produk sampingan dalam kajian untuk menghasilkan ubat melawan pendarahan abnormal.
Namun, produk ini diabaikan selama lebih 70 tahun, dan kemudiannya menjadi popular di kelab-kelab malam pada tahun 1980an. Budaya rave pada akhir tahun 1980an kemudiannya menjadikan ecstasy sebagai dadah pilihan yang mana menjadikan MDMA sebagai antara 4 dadah haram paling popular.