Setiap orang pasti perlu mengunjungi klinik sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, untuk memeriksa tahap kesihatan kita ketika kita merasakan diri kurang sihat.

Setiap orang doktor di klinik-klinik rawatan menggunakan beberapa jenis alat tertentu yang membantu mereka melakukan diagnosis, dalam mengenalpasti penyakit yang dihadapi kita. Ciptaan-ciptaan ini walaupun kelihatan ringkas serta sangat mudah digunakan, sebenarnya memberikan cara atau kaedah kepada doktor dalam mengenalpasti dengan lebih baik apa yang terjadi pada pesakit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima ciptaan terbaik manusia yang sangat membantu dalam bidang perubatan, kekal relevan sepanjang zaman.

1. Termometer

mercury thermometer ciptaan perubatan

Seorang lelaki bernama Heron of Alexandria, pakar matematik yang hidup di Alexandria, merupakan individu yang dikatakan paling awal menemui prinsip yang jisim boleh berubah bentuk disebabkan tekanan udara, apabila dimasukkan ke dalam tiub.

Pada abad ke 16 dan 17, penciptaan alat yang digelarkan 'thermoscope' berjaya mengukur perubahan suhu, sebelum pencipta Robert Fludd pada tahun 1638 meletakkan skala pada 'thermoscope', menukarkannya menjadi termometer. Walaupun begitu, sehingga hujung abad ke 17, tidak ada skala yang menjadi standard ditetapkan dengan banyak pihak mencipta termometer dan thermoscope, menggunakan skala sendiri.

Hanya pada abad ke 18, pada tahun 1714 seorang saintis bernama Daniel Fahrenheit mencipta skala suhu yang dinamakan sempena namanya, beserta ciptaan beliau yang unik ketika itu, termometer menggunakan cecair merkuri yang lebih tepat. Walaupun begitu, ekoran perubahan teknologi serta risiko penggunaan merkuri, kini termometer yang digunakan kebanyakannya menggunakan sistem bacaan digital.

2. Stetoskop

ilustrasi stetoskop ciptaan perubatan

Stetoskop dicipta pada tahun 1816 oleh seorang pencipta bernama Rene Laennec, di Perancis. Pada mulanya bentuk stetoskop yang ada ketika itu sangat berlainan dengan apa yang ada sekarang. Diperbuat daripada kayu berbentuk silinder, Rene mencipta stetoskop kerana satu sebab mudah - dia berasa tidak selesa meletakkan telinganya pada dada wanita. Dia menamakannya stetoskop yang membawa makna 'skop dada.'

Perubahan demi perubahan dilakukan pada rekaan asal Rene, dengan pengenalan tiub lembut menggantikan kayu yang keras serta penambahan alat pendengaran bagi membolehkan bunyi yang terhasil didengari dengan lebih jelas. Stetoskop yang ada ketika ini mengambil rekaan yang diperkenalkan pada awal tahun 1960 oleh David Littman, profesor Universiti Harvard. Kini teknologi pengasingan bunyi pada stetoskop, yang diambil daripada teknologi hedfon juga sudah mula diperkenalkan.

3. Jarum suntikan

hypodermic needle ciptaan perubatan

Jarum suntikan atau dalam bahasa Inggeris digelarkan sebagai 'Hypodermic Needle' merupakan sejenis alat yang ditakuti kebanyakan orang, termasuklah admin. Ini kerana jarum ini bila digunakan di tangan petugas yang tak berkebolehan, memang bengkak-bengkaklah salur darah. Sejak zaman dahulu lagi, orang Greek dan Rom menyedari cecair boleh disalurkan ke dalam badan melalui peralatan selepas melihat sendiri gigitan ular dan senjata beracun yang racunnya masuk ke dalam darah.

Walaupun begitu, alat untuk melakukan suntikan ini hanya mula dihasilkan pada abad ke 17 oleh seorang saintis bernama Christopher Wren, yang ingin mengetahui adakah ubat lebih berkesan sekiranya dimasukkan terus ke badan anjing berbanding melalui mulut. Pada 1660, eksperimen menyuntik manusia dilakukan namun berlaku kematian menyebabkan alat ini diabaikan begitu saja. Hanya pada 1844, alat suntikan digunakan kembali dengan beberapa penambahbaikan sebelum penyuntik yang diperbuat daripada kaca diperkenalkan pada tahun 1851.

4. Tukul refleksi

reflex hammer ciptaan perubatan

Tukul ini bukanlah tukul biasa. Seandainya doktor anda menggunakan tukul biasa untuk menguji refleks anda, janganlah ke klinik itu lagi selepas itu. Digunakan oleh doktor untuk mengetuk secara perlahan lutut, ketukan dilakukan bagi mengukur tahap tindak balas saraf seseorang, bagi memastikan tidak berlakunya sebarang abnormaliti pada pesakit.

Pada awalnya, tukul ini dicipta bukannya untuk memeriksa refleks tetapi bagi memeriksa sekiranya berlakunya abnormaliti dalam badan, dengan ketuka dilakukan oleh doktor. Sir David Barry, seorang pakar perubatan dari Scotland adalah orang yang bertanggungjawab mencipta tukul ini pada awal abad ke 19. Pada tahun 1870, Wilhelm Heinrich Erb, seorang pakar saraf Jerman menemui kegunaan tukul ini untuk menguji refleks seseorang.

Pada tahun 1888, seorang pakar saraf dari Philadelphia bernama John Madison Taylor mencipta tukul khas bagi menguji refleks menggantikan tukul David yang memerlukan doktor menggunakan daya lebih kuat untuk mengetuk, dalam ujian.

5. Kaca mata

cermin mata ciptaan perubatan

Sejarah kaca mata atau cermin mata sukar sekali untuk diketahui faktanya yang sahih, berikutan ketiadaan rekod yang lengkap. Walau bagaimanapun idea untuk menggunakan kaca atau bahan berupa kaca sudah lama dipraktikkan dalam membantu penglihatan, khasnya ketika membaca sejak zaman Greek dan Rom lagi. Maharaja Nero yang hidup pada tahun 63 menggunakan zamrud bagi membesarkan tulisan dokumen yang dibaca.

Kaca cembung kemudiannya menggantikan bahan seperti zamrud, sebelum kaca itu dipasangkan pada tangkai atau tiang bagi memudahkan pengguna membacanya, bermula pada tahun 1290. Pada abad ke 18, Benjamin Franklin mencipta lensa yang menggabungkan kedua-dua jenis kanta jarak dekat dan jarak jauh bagi membantu beliau melihat. Pada era 1930-an, pemakaian cermin mata masih lagi dianggap sebagai satu teknik perubatan sebelum era 1970-an menjadikan cermin mata sebagai satu aksesori fesyen dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)