Oleh pada 31 Aug 2019 kategori

Setiap hari pasti kita menggunakan bantal, melainkan anda memang jenis tak pernah tidur. Bantal mampu memberikan kita rasa yang nyaman - apatah lagi bila bantal tu jarang dibasuh dan mempunyai bau yang hanya kita saja gemarkan.

Dalam zaman moden, bantal datang dalam pelbagai jenis bentuk, rupa dan bahan pembuatannya dengan bantal asas mampu dibeli pada harga yang sangat murah - sementara ada juga bantal dijual dengan harga ribuan ringgit harganya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita mungkin tak mengambil berat sangat tentang peralatan bantal tetapi tahukah anda satu masa dulu, bantal merupakan simbol status kemewahan yang menunjukkan pemiliknya adalah orang berkemampuan?

Sejarah terawal bantal dunia

ancient stone pillow

Percaya tak sekiranya kami katakan bantal yang kita gunakan sekarang - terlalu jauh bezanya berbanding bantal terawal yang wujud dan dicipta tamadun-tamadun terdahulu?

Tidak diketahui sejak bila bantal mula digunakan tetapi bantal paling tua yang ditemui di dunia setakat ini, merupakan bantal yang digunakan oleh masyarakat tamadun Mesopotamia sekitar 9,000 tahun dahulu sekitar tahun 7,000BCE. Bagaimanapun, berbeza dengan bantal gebu dan lembut yang kita ada sekarang, bantal orang Mesopotamia pula diperbuat daripada batu atau kayu - sepenuhnya.

Jadi kalau nak kata selesa, memang tak selesalah untuk digunakan bagi meletakkan kepala namun 'bantal' itu dicipta bagi mengelakkan serangga-serangga kecil mampu merayap dan seterusnya masuk ke dalam rongga di bahagian kepala.

bantal batu terawal

Oleh kerana proses penghasilannya memerlukan tukang yang benar-benar mahir selain daripada kos mengukir batu yang agak tinggi bagi tamadun tersebut, bantal-bantal ini hanya dimiliki oleh kumpulan masyarakat berstatus bangsawan sahaja.

Selain daripada melindungi manusia daripada seranggap merayap, bantal mereka juga digunakan sebagai salah satu cara merawat masalah sakit leher dan bahu yang kerap dialami masyarakat zaman tersebut. Tak tahulah bagaimana caranya. Pada penulis, mereka kerap sakit leher kerana bantal mereka sebegitu rupa. Tapi itu pada penulislah.

Bantal dalam tamadun Mesir dan China purba

babtal batu mesir

Bantal tidak mengalami perubahan ketara daripada segi bentuknya dengan beberapa penemuan bantal-bantal yang diperbuat daripada batu ditemui di kawasan-kawasan tamadun Mesir dan China lama, dianggarkan dibuat sekitar tahun 2055BCE.

Bagaimanapun orang Mesir kuno percaya penggunaan bantal merupakan salah satu bentuk status mereka, kerana mereka percaya kepala merupakan bahagian anggota badan yang suci. Jadi bantal yang mereka gunakan ketika itu kebiasaannya hanya digunakan bagi menyokong mayat-mayat saudara mara atau tokoh yang telah meninggal dunia. Sama seperti orang Mesopotamia, bantal orang Mesir masih lagi diperbuat daripada batu atau kayu.

bangal tembikar china

Masyarakat China pula masih lagi mengekalkan penghasilan bantal yang serupa, membina bantal dengan menggunakan bahan seperti batu dan juga tembikar, namun dihias dengan warna, bentuk dan corak yang melambangkan sesuatu.

Orang China benar-benar menggunakan kemahiran mereka dalam mengukir, membikin banyak jenis bantal daripada pelbagai jenis bahan antaranya batu jed malahan gangsa, untuk menghasilkan bantal-bantal yang unik serta mampu menggambarkan budaya mereka.

Pada era inilah yang bermula pada abad ke 6 di mana orang China mula meletakkan alas di atas bantal mereka - bagi menghasilkan permukaan yang lembut dan lebih selesa pada kepala.

Idea orang Rom dalam penghasilan bantal yang lembut

bantal kekabu

Serentak dengan penghasilan-penghasilan bantal-bantal batu di tamadun-tamadun lain di seluruh dunia, orang Rom mula bereksperimen dalam menghasilkan bantal yang lebih lembut sebagai pelapik kepala.

Mereka mula menggunakan bahan seperti kain yang disumbatkan dengan jerami atau bulu haiwan di dalamnya, bagi menghasilkan bantal yang lebih empuk, serta mengikut bentuk kepala. Bagaimanapun, seperti biasa bantal hanya mampu diperolehi oleh golongan-golongan bangsawan Rom ketika itu jadi penggunaannya tidaklah meluas pada zaman mereka.

Walau demikian, idea untuk menggunakan bahan lebih lembut mula diikuti oleh masyarakat-masyarakat berikutnya sehinggakan sebelum bermulanya era pertengahan Eropah, bantal-bantal lembut mula menjadi barangan yang mesti dimiliki setiap rumah.

Bantal mula ditolak masyarakat Eropah selepas stigma masyarakat berkenaan mula merebak, apabila dikatakan lelaki yang menggunakan bantal merupakan lelaki yang lemah. Ekoran daripada kepercayaan itu, Raja Henry VIII yang memerintah England sehingga pertengahan abad ke 16 bertindak mengharamkan penggunaan bantal - bagi mengembalikan kejantanan askar dan lelaki yang hidup di bawah pemerintahan beliau.

Hanya wanita-wanita yang mengandung dan bersalin dibenarkan menggunakan bantal, ekoran keadaan badan mereka yang sensitif serta memerlukan sokongan lebih baik untuk mendapatkan keselesaan.

Zaman revolusi industri membawa bantal pada semua

industri tekstil bantal

Sehingga abad ke 19, bantal masih lagi dilihat sebagai objek yang mewakili simbol serta kedudukan seseorang dalam masyarakat - ekoran daripada kesukaran untuk menghasilkan bantal. Walaupun masih digunakan, penggunaannya boleh dikatakan tidak popular serta belum menjadi satu kebiasaan.

Hanya selepas bermulanya era revolusi industri yang memperkenalkan penggunaan mesin ke dalam peringkat penghasilan produk, barulah bantal yang lebih murah berjaya dihasilkan membolehkan orang kebanyakan mula membeli bantal-bantal sendiri.

Bahan untuk menghasilkannya juga berbeza dan penghasilan bantal banyak dibantu daripada perkembangan aktiviti penanaman pokok kapas, yang banyak menurunkan kos penghasilan sebiji bantal. Selain daripada mampu mengikut bentuk kepala, kapas juga mampu menawarkan tahap kekerasan yang selesa serta memegang kepala dengan baik.

Bagaimanapun, penggunaan bantal kapas turut sama membawa kepada isu tahap kebersihan bantal; perlu selalu dibasuh akibat daripada sifat kapas yang mudah menyerap pelbagai elemen kurang sihat. Bagi menyelesaikan isu ini, bahan polyester mula menggantikan kapas sebagai pengisi bantal, disebabkan oleh sifatnya yang mudah dicuci serta lebih murah.

memoryfoam sejarah bantal

Selain daripada itu, bahan seperti serabut dan juga span mula digunakan sebagai bahan lain, bagi menghasilkan bantal yang selesa. Revolusi penggunaan getah memperkenalkan bantal yang diperbuat dari getah, sangat tahan lasak serta mampu mengekalkan bentuknya dengan lebih lama.

Pada tahun 1966, pihak NASA berjaya membangunkan apa yang kita kenali sebagai 'memory foam', sejenis gentian yang mampu mengingati bentuk yang diletakkan di atasnya. Bermula pada penghujung tahun 1990-an, bantal yang menggunakan gentian tersebut mula dijual memberikan kita lebih banyak pilihan, mengikut keperluan kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)