Plastik memang banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita sehari-hari. Besar kemungkinan semasa anda membaca artikel ini pun, anda sedang memegang sebuah telefon pintar yang diperbuat daripada plastik.

Harus diakui, plastik memang sangat memudahkan kehidupan kita. Ini kerana plastik membolehkan pelbagai jenis peralatan dibuat dan direka, dalam pelbagai bentuk dan corak yang sebelum ini sangat sukar untuk diperolehi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sejarah plastik dan pencipta plastik

Bagaimanapun, kesan buruk kebergantungan kita pada plastik juga tidak dapat dielakkan. Pelupusan plastik merupakan isu yang sangat kritikal yang nampaknya sehingga kini gagal dikawal kebanyakan kerajaan dunia, sehingga ada yang mengambil jalan mudah dalam menguruskan masalah ini.

Pernahkah anda terfikir, apa sebenarnya plastik dan siapakah pencipta asal plastik?

Apa benda plastik ni?

barangan plastik pelbagai jenis

Untuk melayakkan sesuatu bahan itu dikategorikan sebagai plastik, bahan tersebut perlu mematuhi beberapa garis panduan yang telah pun ditetapkan International Union of Pure and Applied Chemistry atau IUPAC.

'Plastik' adalah satu terma generik yang diperkenalkan oleh IUPAC bagi menggantikan perkataan 'polimer'. Pada awalnya, penghasilan bahan plastik dilakukan dengan penggunaan bahan-bahan bersifat polimerik. Bagaimanapun, takrifan 'polimer' agak mengelirukan jadi IUPAC menggunakan terma 'plastik.'

Plastik adalah bahan yang dihasilkan daripada campuran bahan-bahan sama ada bersifat sintetik atau semi-sintetik yang mudah dibentuk, supaya dapat dibentuk menjadi objek legap. Bahan plastik kebiasaannya berunsurkan bahan polimer organik yang mempunyai molekul yang rapat, serta campuran bahan lain yang mengubah sifat asal polimer tersebut.

Plastik pertama dunia

alexander parkes parkerine pencipta plastik

Plastik pertama dihasilkan oleh seorang pencipta bernama Alexander Parkes dari Birmingham, England pada tahun 1856.

Dengan menggunakan bahan yang digelarkan nitocellulose, mencairkannya dalam bahan seperti alkohol dan mencampurkan gabungan kedua-dua bahan tadi dalam larutan berunsurkan minyak, Alexander berjaya menghasilkan gentian yang dinamakan beliau sebagai 'parkesine.'

Rakan Alexander, seorang usahawan bernama Daniel Spill menambah baik ciptaan Alexander dengan menjadikan 'parkesine' lebih stabil dan menamakannya sebagai 'xylonite.' Bahan xylonite pada ketika itu sudah boleh digunakan bagi penghasilan objek-objek seperti buah catur yang menghasilkan objek dengan acuan.

plak alexander parkes

Seorang pencipta di Amerika Syarikat bernama John Hyatt menggunakan idea yang sama, namun berjaya menambahkan warna pada gentian yang terhasil serta mampu menjadikannya lutsinar dan telus cahaya. Bahan gentian ciptaan John itu cair pada takat suhu didih serta boleh dibentuk semula berulang kali.

Bahan yang mereka hasilkan itu dipatenkan pada tahun 1873 dengan nama 'celluloid' dan celluloid mula digunakan dalam penghasilan pelbagai jenis produk seperti sikat, kunci piano dan juga bingkai cermin mata. Ketika inilah celluloid mula menggantikan bahan-bahan lama berasaskan haiwan seperti gading gajah, cangkerang dan tanduk yang sebelum itu digunakan.

Pada tahun 1882, seorang ahli kimia yang bekerja dengan Celluloid Manufacturing Co. mendapati sekiranya cecair acetate diperkenalkan ke dalam celluloid, celluloid akan menjadi mudah lentur serta lutsinar. Ini membolehkan celluloid digunakan bagi cetakan gambar yang seterusnya menjadi asas kepada penghasilan filem-filem celluloid.

Bahan plastik sintetik pertama dunia

leo baekeland gambar sejarah plastik

Bahan plastik sintetik sepenuhnya yang pertama di dunia, adalah ciptaan seorang ahli kimia Belgium yang bernama Leo Baekeland.

Lahir pada tahun 1863, ada dua ciptaan Leo yang mengubah dunia adalah kertas cetakan fotografi yang membolehkan gambar dicetak. Satu lagi adalah Baekelite, bahan gentian yang menjadi asas kepada semua jenis plastik sintetik yang ada.

Baekelite adalah bahan yang terhasil secara tidak sengaja. Pada ketik itu, Leo sebenarnya sedang mencari cara mengkukuhkan papan dengan menggunakan resin sintetik. Penghasilan resin yang menggunakan bahan phenol dan formaldehide itu akhirnya tidak menyusup masuk ke dalam kayu, sebaliknya menghasilkan lapisan lain yang keras mengikut bentuk kayu tersebut.

Dari situ timbul idea pada Leo bagaimana resin tersebut mampu digunakan bagi penghasilan produk-produk, bergantung kepada acuan yang digunakan. Resin itu dipatenkan oleh beliau dengan nama 'baekelite' pada bulan Disember 1907. Bagi melindungi ciptaannya, Leo turut memfailkan paten hakcipta di beberapa negara luar dalam memastikan tidak ada pihak menciplak penemuannya.

radio yang dibuat daripada baekelite

Berbanding dengan 'parkesine', 'xylonite' dan 'celluloid,' baekelite mempunyai satu kelebihan besar iaitu bahannya mempunyai sifat tidak berubah bentuk disebabkan haba atau 'thermoset,' jadi ciptaannya mempunyai kekuatan yang tidak dimiliki pesaing lain.

Pada tahun 1909 Leo mempersembahkan ciptaannya itu pada orang ramai, semasa mesyuarat American Chemical Society. Ciptaan beliau memulakan era penggunaan plastik berikutan ketahanan bahan baekelite pada haba, selain daripada mampu menjadi penebat elektrik yang baik. Radio, telefon dan penebat elektrik mula dihasilkan dengan bahan tersebut.

Oleh kerana 'baekelite' agak sukar untuk disebutkan, Leo memperkenalkan istilah 'plastik' yang diambil daripada perkataan Latin 'plasticus' dan Greek 'plastikos', bererti sesuatu yang boleh dibentuk. Istilah 'plastik' yang diperkenalkan Leo bermaksud 'sesuatu produk yang dibuat daripada bahan sintetik berasaskan minyak' dan terma itu mula digunakan semenjak tahun 1909 hinggalah sekarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)