Jika kita sebut sahaja tindik dan tatu, mungkin anda akan terbayang remaja punk yang kelihatan liar dan gemar melawan arus. Tapi tahukah anda, modifikasi tubuh ini sebenarnya telah wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu?
Banyak etnik dari seluruh dunia masih lagi mengamalkan tradisi pengubahsuaian tubuh. Bukan sebagai fesyen, tetapi lebih kepada upacara keagamaan dan kepercayaan. Kami kongsikan 5 modifikasi tubuh yang agak ekstrim yang telahpun diamalkan sejak zaman nenek moyang kaum-kaum ini:
#1 Panjangkan telinga
BESARKAN TEKS A- A+
Jika di Malaysia, kaum Ulu di Sarawak amat terkenal dengan telinga panjang mereka tapi sebenarnya sukar untuk dipastikan kaum di negara manakah sebenarnya yang terlebih dahulu memulakan tradisi telinga panjang ini.
Banyak sebab yang membuatkan ramai orang memilih untuk memanjangkan cuping telinga seperti ini. Antaranya atas faktor keagamaan, menangkis kejahatan, meningkatkan nafsu syahwat dan juga kecantikan fizikal.
Banyak lagi kaum di seluruh dunia yang mengamalkan regangan telinga ini seperti kaum Masai di Kenya dan kaum Huaorani di Amazon. Tapi kini telah ramai anak muda yang berkunjung ke kedai perhiasan moden untuk memasang anting-anting yang memanjangkan telinga. Mungkin trend barangkali.
#2 Sumbat hidung
Puak Apatani yang tinggal di lembah Ziro berhampiran Arunachal Pradesh di India ini dikatakan mempunyai kaum wanita yang paling cantik dalam puak Arunachal. Mereka terlalu cantik sehingga terpaksa berbuat sesuatu untuk membuatkan diri mereka jadi kurang menarik perhatian sebagai perlindungan daripada ancaman musuh.
Oleh itu, mereka mula menyumbat hidung dengan kepingan kayu yang besar. Namun, tradisi ini tidak lagi menjadi ikutan wanita muda kaum itu hari ini.
#3 Pahat muka
Di Selatan Sudan, anak-anak kecil puak Dinka tidak akan menangis apabila ahli sihir melorekkan pisau panas ke wajah mereka untuk ditoreh. Jika mereka menangis atau memberi sebarang tindak balas kerana kesakitan, mereka akan berasa sangat malu. Bagi mereka, proses 'memarutkan' wajah ini merupakan satu peralihan untuk menjadi 'anak jantan'.
Tanda-tanda parut di wajah inilah yang memberikan identiti setiap puak dan kecantikan kepada kaum wanitanya.
#4 Bibir terjuih
Bukti arkeologi menunjukkan tradisi menindik di bahagian bawah bibir ini telahpun dimulakan di Sudan dan Ethiopia (sekitar 8,700 SM), di Mesoamerika (1,500 SM) dan Perairan Ecuador (500 SM) dan sehingga ke hari ini ia masih menjadi tradisi bagi masyarakat di Afrika dan Amazon.
Plat atau palam bibir berbentuk bulat ini akan dipasang pada lubang di bibir untuk diregangkan. Plat yang diperbuat menggunakan tanah liat atau kayu ini akan ditukar kepada saiz yang lebih besar apabila mulut semakin meregang.
Di Afrika, pemasangan plat di bibir bawah diiringi dengan pemotongan dua hingga empat batang gigi bawah. Bagi puak Sara atau Lobi pula, mereka memasang plat pada kedua-dua bahagian atas dan bawah bibir.
Saiz plat dikatakan melambangkan status sosial atau ekonomi dalam setiap puak.
#5 Asah gigi
Mengasah gigi secara manual, terutama sekali gigi acip di hadapan, merupakan tradisi sesetengah masyarakat di dunia. Di Bali, gigi diasah sehingga kecil kerana ia dikatakan simbol kemarahan, cemburu dan pelbagai lagi aspek negatif dalam kehidupan. Selain itu ia juga merupakan satu ritual menandakan seseorang telah menginjak dewasa.
Pengasahan gigi juga dilakukan oleh penduduk pribumi atas faktor kerohanian seperti yang dilakukan oleh puak-puak di Vietnam dan Sudan.
Dalam budaya kaum Maya, gigi diasah sehingga tajam dan seringkali mempunyai corak yang diukir untuk membezakan status kelas atasan.
Ada juga budaya kaum lain yang menajamkan gigi untuk menyerupai haiwan. Sebagai contoh, puak Wapare di Afrika yang mengasah gigi agar menjadi seperti gigi ikan jerung.