Oleh pada 15 Mar 2024 kategori

Sebagai masyarakat yang berpegang kepada tradisi dan budaya bersulamkan adat dan adab, kemasukan budaya barat mengambil alih apa yang telah kita amalkan selama ini merupakan satu ancaman yang perlu diambil berat.

Walaupun tidak dapat dinafikan daripada bermacam aspek sosial memang jelas ada sisi positifnya budaya barat dicedok masyarakat kita, dalam pelbagai aspek lain jelas pengaruh budaya barat membawa masyarakat kita ke arah sisi yang lebih gelap natijahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkara ini jelas kelihatan di kalangan pasangan Melayu, baik yang belum berkahwin atau sudah bernikah; di mana semakin ramai pasangan yang tergedik-gedik menuruti budaya diperkenalkan 'mat saleh' sehinggakan ada di antara tradisi lama kita semakin sepi dimakan usia.

1. Budaya proposal masyarakat Melayu?

budaya barat yang diamalkan pasangan melayu2

Kami tidak tahu adakah sebelum adanya media sosial, sudah ada atau tidak pasangan Melayu yang sedang bercinta melakukan 'proposal' kepada pasangan mereka. 

Kehadiran media sosial pada pendapat kami, mempopularkan amalannya. Semakin ramai pasangan Melayu yang beragama Islam berani melakukan proposal kepada pasangan di tempat awam - menuruti satu per satu tindakan orang barat, baik melutut di depan pasangan, bertanya kesudian dan akhirnya menyarungkan cincin ke jari bukan mahram.

Sedangkan tradisi kita jelas - seandainya seseorang lelaki itu mahu memperisterikan seseorang, kebenaran utama yang perlu dia perolehi adalah daripada pihak keluarga wanita.

Tindakan proposal ini nampak seakan mahu mengenepikan peranan pihak keluarga khususnya ayah atau wakil dalam menentukan pilihan hidup anak perempuan mereka.

Lagipun, proposal atau dalam bahasa kita 'meminang', jelas berlaku antara dua keluarga; bukan di antara lelaki dan wanita disaksikan orang awam yang tak ada kena mengena.

2. Gender Reveal

pasangan buat gender reveal

Pendedahan jantina atau gender reveal seakan menjadi kegilaan pasangan Melayu zaman sekarang. Entahlah apa yang nak diraikan, sehingga ada pasangan yang sanggup membazirkan wang ringgit mencipta gimik hanya untuk mendedahkan jantina anak mereka (selalunya anak pertama).

Anehnya, kegembiraan ini bukan saja terhad kepada pasangan terlibat. Pasangan ini juga akan memuat naik rakaman video pendedahan ini untuk tatapan umum biasanya di media sosial (mana lagi kan?) seperti semua orang ternanti-nanti apa jantina anak mereka.

Kita mungkin belum mencapai tahap pasangan sanggup menyewa kapal terbang, meletupkan bom atau mencemarkan air sungai hanya semata-mata melakukan gimik mengesahkan jantina anak...tetapi sekiranya tradisi ini dibiarkan menular, tak mustahil akan ada pasangan kita menurut langkah serupa.

Tak perlulah gimik sebegini dibuat. Benda senang, permudahkan. Lagipun, tak mustahil pun bila anak lahir....jantinanya tengok-tengok lain pula.

3. Majlis kahwin

budaya barat majlis kahwin

Dalam banyak-banyak perubahan yang ketara, penganjuran majlis kahwinlah agaknya yang paling jelas berubah. Tidak ada lagi budaya rewang atau gotong-royong mempersiapkan kenduri. Yang terlibat hanyalah katerer, pemasang khemah dan sebagainya.

Kadang-kadang, kenduri itu sendiri sudah tidak ada...digantikan dengan majlis yang lebih formal. Semua orang perlu hadir di masa tertentu dan mengikuti perjalanan majlis dari mula hingga akhir. Jumlah jemputan juga dihadkan, kadangkala hanya 100 ke 200 tetamu saja dipanggil.

Dari aspek perjalanan majlis itu sendiri juga sudah meniru tradisi orang barat.

Yang lebih sedih, pakaian si pengantin pun memang berorientasikan barat semata-mata, di mana tuksedo dipakai 'groom' dan si isteri memakai gaun panjang...berwarna putih. Putih tu...ada maknanya pada masyarakat barat kan?

4. Bridal shower dan bachelor party

budaya barat bachelor party

Dua tradisi barat ini sangat jelas semakin mendapat tempat di hati ramai pasangan kita yang bakal berkahwin, khususnya bridal shower.

Kami sendiri tak tahu apa istilah terjemahannya dalam bahasa Melayu? 'Mandian pengantin perempuan'? 'Parti orang bujang'? Entah apa yang nak diraikan melalui tradisi sebegini, entahlah. 

Bukan sahaja ramai yang terhegeh-hegeh nak ikut, tatacara perjalanan majlis pun sama. Semua yang hadir bridal shower kena bawa hadiah dan hanya eksklusif dihadiri rakan baik pengantin perempuan. Sementara bachelor party pula...dilakukan dalam kaedah yang lebih liar.

Takut juga tengok ada selebriti tempatan yang anjur parti sebegini dengan tema yang agak lucah dan tidak kena dengan budaya kita.

5. Cium mulut untuk rakaman kamera

budaya barat yang diamalkan pasangan melayu

Tidak ada sesiapa nak menafikan bila dah berkahwin, apa saja anda lakukan dengan pasangan anda adalah halal belaka..kecuali beberapa perkaralah yang tak mahu kami sentuh.

Salah satu perbuatan yang dah jadi halal, adalah cium mulut. Ciuman ni memang satu perkara biasa di kalangan pasangan yang berkahwin..tetapi pasangan Melayu bercium mulut dirakam kamera, untuk tatapan umum bukanlah sesuatu yang biasa.

Jika anda rajin menelaah berita berkenaan artis dan selebriti Melayu, pasti anda dah terbaca atau terlihat segelintir pasangan yang tidak lagi segan silu nak menayangkan keintiman masing-masing. Ada juga kumpulan bukan selebriti yang melakukan tindakan sama, tergamak bercium mulut depan lensa jurukamera tatkala hari perkahwinan mereka.

Kami agak konservatif. Dalam hal-hal sebegini, ada sebab jelas kenapa malu, menutup dan menyembunyikan telah lama menjadi adat kita. Jadi ada baiknya kita kembali kepada adat lama kita, biarpun perkara-perkara tertentu dah jadi halal untuk kita dan pasangan kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)