Setiap kali berlaku sambutan perayaan masyarakat luar yang disertai orang kita, akan timbullah kontroversi membincangkan kesusuaian sesuatu upacara dengan identiti negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.
Perbezaan pendapat dalam berbicara berkenaan isu yang sebenarnya sensitif akhirnya mengakibatkan lebih banyak perpecahan berlaku dek kerana keengganan setiap pihak beralah.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun demikian realitinya, sudah banyak budaya barat telah bersebati dan layak dikatakan telah menjadi kebiasaan kita di sini. Sehinggakan apabila dibantah, lebih ramai yang bangkit mempertahankannya.
Berikut adalah lima budaya bawaan barat yang dah jadi kelaziman masyarakat kita dilakukan seolah budaya kita punya.
1. Sambutan hari ulang tahun dengan makan kek
Dalam salah satu artikel lama kami, kami sudah memperjelaskan sejarah budaya menyambut hari lahir seseorang dengan memakan kek bulat berasal daripada budaya orang Yunani meraikan Dewi Artemis.
Tradisi meletakkan lilin di atas kek berbentuk bulat itu juga kita 'pinjam' dari mereka, sehingga sudah menjadi satu kemestian kita bukan?
Selepas menerbitkan artikel tersebut pada tahun 2017, banyak pihak mengecam kami.
Mereka berpandangan perbuatan itu tidak lagi berkait dengan upacara lama bersifat keagamaan, sebaliknya telah berubah menjadi perayaan yang neutral sesuai disambut semua.
Kerana itulah sekali lagi kami menyenaraikan sambutan hari jadi dan memakan kek sebagai salah satu budaya yang dah sebati, sebagai peringatan kepada kita semua.
Reaksi negatif yang kami terima membuktikan ramai yang sayang nak menolaknya walaupun tidak ada hubungkait antara elemen kek, lilin dengan identiti masyarakat kita.
Sejarahnya juga berkait dengan penyembahan dewa. Jadi persoalan kami, apa keperluan kita terus melakukannya?
2. Binaan tugu
Sebelum ini dalam setiap wang kertas RM1 versi lama, megah tertera binaan Tugu Negara pada setiap cetakannya.
Nasib baiklah ilustrasinya sudah ditukar kepada rekaan berbeza.
Walaupun demikiran sehingga ke hari ini binaan tugu yang memaparkan pengorbanan askar tempatan dan British dikenali sebagai Tugu Negara, terus dianggap satu mercu tanda ikonik negara.
Walaupun jelas pembinaannya menyimpang jauh daripada perspektif Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia.
Mujurlah beberapa dekad lepas, negara kita telah memberhentikan upacara mengalungkan bunga memperingatu perajurit yang terkorban di tugu tersebut, atas nasihat pakar agama.
Memanglah dari segi rekaan, tugu tersebut merupakan satu ukiran yang cantik seninya.
Tetapi masih ada banyak rekaan lain boleh dibuat dalam bentuk monumen, lebih sesuai untuk dijadikan simbol mengingati yang terkorban menepati garis panduan agama.
3. Muzik barat jazz dan klasik dianggap karya orang atasan
Pernah tak anda bertemu dengan individu yang mungkin duduk dalam kelas atasan, memandang rendah genre muzik lain selain jazz atau muzik klasikal?
Situasi sebegini bukanlah hanya berlaku di negara kita saja, bahkan penggemar muzik jazz dan klasik moden memang mempunyai stigma buruk, gemar merasakan diri mereka kelas atasan.
Mereka percaya citarasa muIk mereka lebih elit dan sofistikated.
Apa yang agak melucukan, jika dipelajari sejarah muzik jazz khususnya - genre muzik ini berasal daripada rekaan orang kebanyakan namun hanya mula dianggap 'muzik elit' selepas jazz dijadikan rujukan, dalam bidang jurusan muzik yang perlu dikuasai pelajar.
4. Rekaan dapur dan rumah ala English
Cuba anda tanya majoriti wanita apa konsep rekaan rumah idaman mereka, pasti ramai menyebut rekaan bercorak Inggeris.
Tak kiralah daripada rekaan zaman pertengahan, era Victoria atau rekaan moden yang mencampurkan rekaan Inggeris dengan rekaan Scandinavia, 'konsep English' sudah jadi satu kelaziman di dalam kediaman masyarakat kita, bagi mereka yang mampu lah.
Sesuatu yang agak kelakar khususnya di bahagian dapur, konsep English yang digunakan agak tak sesuai dengan cara masakan kita yang kasar kaedahnya.
Masakan kita juga yang agak berkuah dan berminyak kurang sesuai dengan dapur 'Inggeris' idaman semua, tetapi itu jugalah yang jadi kehendak popular masyarakat moden kita.
Begitulah juga bagaimana ramai orang kita berebut nak ada meja bar siap kerusi tinggi, yang hakikatnya langsung tak sesuai dengan cara makan tradisional kita.
5. Western food dianggap upscale
Di antara semua budaya barat yang dah sebati, inilah rasanya yang paling melata.
Setiap kali kita mahu meraikan sesuatu, makanan barat sering dijadikan pilihan utama.
Nak raikan rakan dinaikkan pangkat? Makan western. Nak raikan ahli keluarga dapat kerja baru? Makan western. Nak raikan sesuatu peristiwa yang bersejarah dalam kalangan keluarga? Makan western.
Sehinggakan makanan barat seperti chicken chop, lamb chop, fish and chip dan sebagainya dilihat 'lebih atas' berbanding makanan tempatan.
Bukan itu saja, bila kita makan western food ni, ramai akan makan dengan ada rasa bangga. Lagilah kalau dapat makan di restoran besar dan ternama, di mana menunya main puluh-puluh ringgit sepinggan harganya.
Balik rumah rasa lapar sebab tak pekena nasi putih.
Manalah orang Malaysia ni nak kenyang kalau setakat makan sekeping daging, kentang goreng, ada sayuran dan salad serta kuah perang.
Bagaimana pun nak buat macam mana? Makan western memang dah jadi budaya popular sebati orang kita.