Kami tahu dalam zaman penuh informasi, kadangkala ada banyak berita yang mudah saja untuk terlepas daripada pandangan kita.

Jadi di sini kami kumpulkan lima berita meliputi lima topik berbeza iaitu dunia, ekonomi, sains, nasional dan juga Islam untuk memastikan anda pembaca Iluminasi dapat mengikuti berita-berita ini dengan mudah.

Berikut adalah berita-berita menarik yang dapat kami kongsikan untuk anda minggu ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Donald Trump mengamuk dengan wartawan

Dalam satu insiden melibatkan POTUS, Donald Trump dan sekumpulan wartawan media, Donald Trump secara terbuka menyerang semula seorang wartawan CNN bernama Jim Acosta, ekoran soalan-soalan yang dinyatakan semasa sesi media tersebut.

Kemarahan Trump yang memuncak walau bagaimanapun tidak dihiraukan Jim Acosta yang terus bertindak mengeluarkan soalan demi soalan yang tidak dijawab Trump.

Selepas Trump mengamuk, seorang lagi wartawan bangun mempertahankan tindakan Acosta. Ini mengakibatkan Trump kembali berang. Akhirnya pas masuk Jim Acosta untuk ke Rumah Putih telah ditarik balik atas insiden itu. (rujukan)

2. Lukisan paling tua dunia ditemui di Kepulauan Borneo

lukisan lembu tertua di dunia

Sebuah lukisan memaparkan seekor lembu yang ditemui di dinding sebuah gua di Kepulauan Borneo, bahagian Sangkulirang, Kalimantan Utara dianggarkan adalah lukisan paling tua pernah ditemui setakat ini. Usianya diramalkan sekitar 40,000 tahun dahulu.

Penemuan ini membuka kepada beberapa teori baru dengan persoalan paling membingungkan penyelidik adalah - bagaimana teknik yang digunakan pelukis itu 40,000 tahun dahulu serupa dengan teknik yang digunakan bagi menghasilkan lukisan-lukisan lain yang turut sama ditemui di benua Eropah. (rujukan)

3. Harga minyak dunia turun mendadak

penurunan mendadak harga minyak

Harga minyak dunia telah turun mendadak sehingga mengalami penurunan sebanyak 20 peratus dan dianggarkan terus menurun dalam tempoh terdekat. Penurunan ini merupakan kali pertama harga minyak mentah Brent turun melepasi $70 dollar satu tong, semenjak April 2018.

Penurunan ini disebabkan pengeluaran minyak yang terlalu tinggi oleh negara-negara pengeluar menyebabkan lebihan bekalan dan juga beberapa faktor lain, seperti pengaruh sekatan eksport minyak oleh negara Iran yang diperkenalkan pada 5 November 2018.

Kami berharap penurunan ini tidak menjejaskan ekonomi negara kita kerana jelas belanjawan yang dibentangkan tempohari, sangat bergantung dengan faktor harga minyak yang stabil. (rujukan)

4. Samsung umumkan telefon lipat pertama mereka

samsung foldable telefon pintar lipat

Gergasi teknologi Samsung dari Korea Selatan mengumumkan peranti terbaru mereka, sebuah telefon pintar yang mempunyai teknologi skrin yang boleh dilipat, digelarkan sebagai Infinity Flex Display.

Telefon pintar itu yang mempunyai saiz telefon biasa boleh dibuka 'lipatannya' bagi mengubah saiz skrin supaya lebih mirip dengan sebuah tablet yang dua kali ganda saiz paparannya. Samsung turut sama mengumumkan mereka akan cuba memasarkan peranti yang menggunakan teknologi tersebut dalam beberapa bulan akan datang.

Pengumuman ini turut mendapat sokongan Google yang mengumumkan sistem operasi Android akan turut sama ditambah baik bagi mengadaptasi teknologi baru ini dengan berkesan. (rujukan)

5. Gangster bergaduh dalam sekolah di Johor

karnival sekolah di johor jadi medan pergaduhan

Dalam satu insiden melibatkan dua kumpulan samseng, seorang lelaki terbunuh dan seorang lagi cedera parah selepas berlaku pertembungan di antara kedua-dua kumpulan itu.

Malangnya, kejadian buruk itu berlaku semasa sebuah karnival sekolah yang diadakan di SJKC Kuo Kuang 1. Mangsa yang meninggal dunia adalah bekas pelajar sekolah itu yang kini berusia 21 tahun sementara seorang lagi berusia 15 tahun.

Insiden itu berlaku dipercayai bermula daripada pertengkaran yang tercetus sebelum mereka tiba dikarnival tersebut lagi, mengakibatkan kejadian huru-hara berlaku. Lebih 500 orang tetamu sedang berada di sekolah tersebut semasa kejadian. 12 suspek telah ditahan dan senjata yang digunakan masih lagi dicari.(rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)