Oleh pada 23 Aug 2022 kategori

Teknologi genetik mempunyai banyak potensinya. Baru-baru ini, satu bentuk teknologi penyuntingan gen termaju yang dikenali sebagai CRISPR telah membuka laluan baharu eksperimen genetik. CRISPR dipandang tinggi sehingga pada tahun 2020, penciptanya telah dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Kimia.

Alat baharu mereka membolehkan penyelidik mengubah DNA dengan ketepatan yang unik. CRISPRT telah membantu menghasilkan bentuk terapi kanser baharu. Pakar menganggap ia suatu hari nanti boleh digunakan untuk menyembuhkan masalah atau penyakit berkaitan genetik.

Sudah tentu, penyuntingan gen adalah amalan kontroversi yang menimbulkan banyak kebimbangan terutamanya berkaitan etika kerana penyuntingan genetik ini dianggap seperti mengubah ciptaan Tuhan. Kali ini, mari lihat beberapa pencapaian hebat sains dalam teknologi genetik. 

1. Kambing yang diubah suai menghasilkan ubat kanser dalam susunya

susu kambing 837

Para saintis di New Zealand telah mencipta kambing yang diubah suai secara genetik yang menghasilkan ubat kanser dalam susu mereka. Kambing telah diubah secara khusus untuk mencipta ubat cetuximab, yang digunakan untuk merawat kanser di kolon dan paru-paru.

Pada masa ini, ubat itu boleh menelan kos sebanyak $13,000 sebulan tanpa insurans. Para saintis berharap kaedah pengeluaran baharu mereka akan membantu menurunkan harga, dengan itu menjadikannya lebih mudah diakses.

Penghasilan cetuximab adalah proses yang mahal. Struktur kimianya yang rumit bermakna pengeluar perlu bergantung pada protein dari dalam sel tikus untuk menghasilkan ubat ini. Tetapi kambing yang diubah suai secara genetik ini telah menawarkan industri farmaseutikal cara untuk menghasilkan cetuximab secara besar-besaran.

2. Para saintis menyimpan data di dalam DNA hidup

dna simpan data

Kita bergantung pada peranti elektronik seperti cakera keras, pemacu optikal dan kad memori untuk menyimpan sejumlah besar maklumat. Kini, saintis di New York telah menghasilkan kaedah baharu yang menggunakan penyuntingan genetik untuk menyimpan data dalam DNA bakteria hidup.

Pada tahun 2021, penyelidik di Universiti Colombia menunjukkan bahawa sel E. coli hidup boleh menyimpan sehingga 72 bit data. Pada terasnya, fail data terdiri daripada garis panjang satu dan sifar. Para saintis dapat mengekod satu dan sifar ke dalam DNA E. coli dengan memasukkan gen tertentu ke dalam sel.

Mereka juga dapat menulis mesej ringkas "Hello world!" ke dalam DNA sel E. coli, kemudian menyahkodnya dengan menyusun DNA. Para saintis menganggarkan bahawa jika sehelai DNA adalah sebesar sebutir garam, ia boleh memuatkan bersamaan dengan sepuluh buah filem.

3. Terapi gen dalam satu mata meningkatkan penglihatan dalam kedua-duanya

rawatan mata rabun

Para saintis telah menemui satu bentuk terapi genetik untuk kehilangan penglihatan yang apabila disuntik ke dalam satu mata, meningkatkan penglihatan dalam kedua-duanya. Genetik ini bergerak dari mata yang disuntik ke mata yang tidak dirawat, walaupun pakar mata tidak pasti tentang implikasi penemuan ini.

Para saintis cuba merawat keadaan yang dikenali sebagai neuropati optik keturunan Leber (LHON), satu bentuk kehilangan penglihatan progresif yang kebanyakannya ditemui pada lelaki muda. Jenis buta yang jarang berlaku ini berpunca daripada mutasi genetik yang menyerang dan memusnahkan sel-sel dalam retina mata.

Sebagai sebahagian daripada kajian, 37 pesakit dengan LHON menerima suntikan terapi gen ke salah satu mata mereka. Tetapi yang mengagumkan, selepas dua tahun, 29 daripada pesakit melaporkan peningkatan dalam penglihatan di kedua-dua mata. Pada mulanya, para saintis terkejut dengan keputusan ini sehingga mereka mendapati bahawa virus terapi gen menyelinap keluar dari satu mata dan ke mata yang lain.

4. Lembu lebih tahan terhadap tekanan haba

lembu tenusu 691

Apabila suhu meningkat, lembu menjadi semakin stress. Lembu sangat terdedah kepada tekanan haba. Jika dibiarkan di bawah terik matahari terlalu lama, lembu mula hilang selera makan, kurang menghasilkan susu, dan kurang berkemungkinan untuk hamil.

Seperti yang anda boleh bayangkan, kesannya kepada petani boleh menjadi dahsyat. Setiap tahun, tekanan haba dikatakan menyebabkan industri tenusu di Amerika mengalami kerugian $900 juta. Di negara-negara yang lebih miskin, di mana petani mungkin hanya memiliki beberapa ekor ternakan, kesannya lebih dirasai. 

Tetapi kini saintis di New Zealand telah menemui penyelesaian yang berpotensi untuk lembu ini. Mereka menggunakan teknik penyuntingan gen untuk menukar warna bulu lembu dengan mengubah gen pigmentasi mereka. Mereka berjaya mencerahkan kulit lembu tenusu biasa yang gelap dan menyerap haba yang diubah secara genetik  dengan warna perak terang.

5. Saintis berjaya menyembuhkan tikus kehilangan pendengaran

rawatan tikus pekak

Pada 2019, penyelidik dari Sekolah Perubatan Harvard dan Hospital Kanak-kanak Boston mengumumkan rawatan baru untuk kehilangan pendengaran pada tikus yang suatu hari nanti mungkin boleh digunakan pada manusia.

Tikus yang diberi nama Beethoven itu mengalami mutasi genetik yang turut terjadi pada manusia, menyebabkan kehilangan pendengaran yang progresif dan akhirnya pekak. Nama Beethoven adalah merujuk kepada komposer Jerman, yang mula kehilangan pendengarannya ketika berusia dua puluhan.

Kehilangan pendengaran yang dialami tikus Beethoven ini disebabkan oleh perubahan kecil dalam DNA mereka. Menggunakan teknologi biologi yang canggih, saintis boleh menentukan gen yang rosak tanpa merosakkan mana-mana gen sihat yang tinggal. Ini bermakna mereka boleh menyembuhkan tikus Beethoven daripada pekak mereka tanpa menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Kredit:



Hakcipta iluminasi.com (2017)