Kami tahu dalam zaman penuh informasi, kadangkala ada banyak berita yang mudah saja untuk terlepas daripada pandangan kita.Jadi di sini kami kumpulkan lima berita meliputi lima topik berbeza iaitu dunia, ekonomi, sains, nasional dan juga Islam untuk memastikan anda pembaca Iluminasi dapat mengikuti berita-berita ini dengan mudah.Berikut adalah berita-berita menarik yang dapat kami kongsikan untuk anda minggu ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Detik terakhir pesawat Lion Air buktikan masalah automasi

serpihan lion air

Kotak hitam pesawat Boeing yang terhempas milik syarikat Lion Air dari Indonesia menceritakan detik-detik akhir apa yang berlaku sebelum impak akhir. Rupa-rupanya, insiden itu berlaku disebabkan oleh salah satu sensor yang bahagian enjin bermasalah, memberikan isyarat kepada sistem automatik pemanduan yang dinamakan sebagai Maneuvering Characteristics Augmentation System (MCAS) untuk mengambil alih.

MACS mengambil alih pemanduan dan cuba menurunkan pesawat sebelum pemandu memintas dan menaikkannya semula. Namun sistem MCAS kembali berfungsi dan mula melakukan penurunan, memaksa pemandu beberapa kali 'bertarung' dengan sistem itu sebelum junaman terakhir berlaku. Ini adalah salah satu contoh di mana sistem automasi gagal mentafsir masalah dengan baik, sehingga menyebabkan kematian dalam jumlah yang ramai. (rujukan)

2. Masyarakat China seluruh dunia guna WeChat sebar mesej anti Islam

sentimen anti islam china

WeChat mungkin tidak sepopular Whatsapp di negara kita, tetapi bagi China - WeChat adalah segala-galanya. Populariti WeChat di negara itu tidak boleh disangkal lagi dan kini WeChat mula digunakan oleh pihak-pihak tertentu, untuk sama-sama menyebarkan mesej anti Islam. Bukan saja melibatkan sentimen anti Islam di China, tetapi turut sama melibatkan komuniti Muslim di seluruh dunia.

Sebuah kumpulan WeChat besar bernama 'Chinese Voice of America' menjadi tempat berkumpul orang bangsa China dari dalam negara serta migran luar negara, berkongsikan artikel dan hasil tulisan yang membawa sentimen anti Islam.

Dengan memainkan sentimen yang kerap kali dimainkan barat, mengambil tulisan-tulisan penulis Islamophobia se[erto Pamela Geller dan Gastestone Institute. Majoriti golongan imigran China di luar negara mula terpengaruh meletakkan Islam sebagai sasaran mudah dan malangnya, berjaya mempengaruhi saudara-mara mereka di China untuk melakukan perkara serupa. (rujukan)

3. YDP Agong kahwini bekas ratu cantik Moscow

ydp agong kahwin

Dalam satu majlis perkahwinan besar-besaran, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Muhammad V berusia 49 tahun mengahwini Oksana Voyevodina, anak kepada seorang doktor yang berusia 25 tahun serta pernah memenangi anugerah Miss Moscow pada tahun 2015.

Oksana dilaporkan memeluk Islam lebih awal, pada 16 April 2018 dan mengambil nama Rihana Oxana Gorbatenko. Tahniah kami ucapkan kepada YDP Agong serta permaisurinya. (rujukan)

Menurut Dr. Mahathir, beliau langsung tidak tahu mengenai hal ini dan belum ada lagi pengumuman rasmi yang dibuat.

4. UPM hantar sampel kabel gentian optik ke angkasa

pn shiho ogawa direktor pusat penggunaan jem lembaga pengarah teknologi penerbangan angkasa manusia jaxa telah menyerahkan sijil penerimaan sofpads kepada dr noramaliza mohd noor

Universiti Putra Malaysia menjadi universiti pertama negara kita yang dapat menguji keberkesanan kabel gentian optik yang telah dibangunkan mereka di International Space Station atau ISS. Kabel itu yang sudahpun dihantarkan ke Japan Aerospace Exploration Agency (Jaxa) akan diterbangkan ke ISS tidak lama lagi bagi menguji kecekapannya mengesan radiasi di dalam dan luar ISS.

Dua jenis kabel yang dinamakan sebagai E-SOFPADS dan I-SOFPADS (Smart Optical Fibres for Passice Dosimetry in Space) telah pun dibangunkan dalam kajian selama satu tahun setengah, dengan kolaborasi bersama Universiti Malaya, Universiti Multimedia, University Sunway dan juga badan ANGKASA. (rujukan)

5. Genting saman Disney dan 21st Century Fox

genting malaysia sues disney fox

Projek usahasama yang telah dimeterai oleh syarikat Genting dengan 21st Century Fox beberapa tahun lalu, mula berubah selepas syarikat penerbitan gergasi itu ditelan oleh gergasi yang lebih besar iaitu Disney.

Rancangan untuk menubuhkan sebuah taman tema bernama Fox World yang membawa konsep milik 21st Century Fox seperti 'Aliens', 'Ice Age' dan 'Planet of the Apes' nampaknya tinggal angan-angan, selepas Disney bertindak membatalkan perjanjian tersebut berikutan kedudukannya yang terletak sangat dekat dengan kasino milik Genting.

Hujah Disney kasino tersebut akan menyebabkan imej 'mesra keluarga' yang selama ini diamalkan mereka akan terganggu. Pihak Genting yang sudah pun menutup beberapa taman tema mereka serta memulakan kerja-kerja pembinaan bertindak menyaman Disney dan 21st Century Fox dengan tuntutan melebih RM4.2 billion.

Disney menganggap tuntutan itu tidak berasas. (rujukan)

6. Fattah Amin dan Fazura sambut ulang tahun perkahwinan pertama

fattzzura ulangtahun

Bagi menyambut ulang tahun perkahwinan pertama mereka, couple paling meletup di Malaysia saling berkongsikan ayat-ayat cinta mereka. Dalam Instagram, kedua-duanya memuat naik...

Maaf. Penulis tak dapat nak menghabiskan berita ini. Membawang memang bukan bakat penulis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)