Sebagai seorang peminat tegar karya sains fiksyen, ada banyak idea dalam filem serta tulisan yang menjentik minda penulis. Idea yang dibawakan sekiranya dilihat daripada perspektif kemampuan teknologi yang kita ada sekarang, bunyinya seakan-akan mengarut.

Tetapi idea dan visi di belakangnya yang penting, kerana tanpa idea - kita tidak akan ada imaginasi serta kemampuan untuk merealisasikan apa yang digambarkan walau semengarut mana pun idea itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

teknologi sains fiksyen yang benar ada

Berikut adalah lima idea yang sangat mirip dengan idea dalam karya sains fiksyen, tetapi telah pun berjaya direalisasikan untuk digunakan ketika ini. Persoalannya sekarang, bila pula peluang kita nak merasainya?

1. Bateri berkuasa nuklear

bateri berkuasa nuklear

Teknologi bateri yang kita gunakan menggunakan teknologi yang dilabelkan sebagai 'elektro-kimia' di mana tenaga dihasilkan menggunakan mineral-mineral seperti alkali atau lithium, yang perlu digantikan atau dicaj semula selepas habis digunakan.

Apa pul kelebihannya sekiranya sebuah bateri dibangunkan dengan menggunakan teknologi nuklear? Oleh kerana tenaga nuklear bergantung kepada jangka hayat bahan yang digunakan, bateri yang dihasilkan dengan teknologi nuklear mampu menjana sendiri caj tanpa henti selama berdekad atau mungkin berabad lamanya.

Teknologi bateri nuklear yang menggunakan kaedah 'betavoltaics' telah pun berjaya dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik dari Moscow Institute of Physics and Technology (MIPT) dan diumumkan pada bulan Jun tahun 2018. Buat masa ini, bateri itu menggunakan bahan radioaktif 'nickel-63' dan mampu menghasilkan 3,300 miliwatt kuasa. Walaupun sudah berjaya dibangunkan, penghasilannya memerlukan kos yang tinggi berikutan keperluan berlian yang digunakan sebagai pengubahkuasanya. (rujukan)

2. Kulit elektronik

kulit elektronik

Laporan pada awal tahun 2018 menyebut bahawa sekumpulan saintis dari University of Colorado telah pun berjaya membangunkan kulit yang mirip dengan kulit sebenar daripada segi permukaannya.

Mempunyai permukaan yang lembut serta mudah dibentuk, kulit itu yang digelarkan dengan nama am 'e-skin' mampu menganalisa sentuhan, angin, kelembapan udara, suhu dan yang penting - mampu membaiki semula permukaan seandainya berlaku 'kecederaan' padanya.

E-skin mendapat perhatian ramai kerana banyak pihak melihat potensi kulit ini untuk digunakan bagi menghubungkan manusia dengan mesin, menjadi lebih mudah. Diperbuat daripada gabungan bahan graphene dan polyamide yang dibentukkan menjadi fabrik, kulit ini memmpunyai tahap sensitiviti yang sangat tinggi serta mampu digunakan sebanyak 10,000 pusingan lekat dan buka. (rujukan)

3. Li-fi

ilustrasi li fi

Kita dah biasa menggunakan sistem wi-fi, tetapi penyelidik menganggarkan satu masa nanti, sistem li-fi akan menggantikannya sepenuhnya. Li-fi atau 'light fidelity' merupakan sistem yang menggunakan cahaya untuk menyampaikan atau menerima data. Bayangkan data disalurkan pada kelajuan cahaya cukuplah untuk menggambarkan kelajuannya.

Fungsinya saling tak tumpah dengan fungsi wi-fi yang kita gunakan, namun li-fi dikatakan mampu berfungsi dalam gelombang yang lebih besar serta tidak mempunyai limitasi-limitasi yang ada pada wi-fi. Li-fi selamat digunakan dalam pesawat serta tidak mengganggu peranti elektronik sekitarnya seperti di kawasan hospital.

Diperkenalkan pada tahun 2011, buat masa sekarang li-fi belum sampai pada peringkat mudah guna untuk kegunaan ramai. Sejenis lampu LED yang diubahsuai bertindak sebagai pemancar data dan peranti yang bersifat 'pengesan cahaya' akan menjadi penerima, 'membaca' maklumat yang dihantar lalu menukarkannya kepada bentuk elektronik. Setakat ini li-fi sudah mampu mencapai kelajuan 100 kali ganda wi-fi dan masih dibangunkan di seluruh dunia. (rujukan)

4. Cakera 5D

cakera 5d

Ketika ini kita sudah beralih ke arah penggunaan storan memori menggunakan teknologi 'flash drive' yang tidak mengandungi peralatan mekanikal seperti cakera keras lama. Setiap orang rasanya pasti pernah menggunakan memori USB atau sekurang-kurang memori dalam telefon untuk menyimpan data dan informasi. Kesemua ini adalah penambahbaikan daripada sistem-sistem lama yang kita guna, seperti kaset, piring hitam, CD, DVD malahan cakera Blu-Ray.

Teknologi cakera 5D yang diumumkan pada tahun 2016 dikatakan mampu menyimpan 360TB (TERABYTE!) data di dalamnya, mempunyai jangka hayat selama 13.8 billion tahun dan mampu menahan suhu setinggi 190 darjah celcius.

Sekiranya format ini diterima baik sebagai standard, dianggarkan dalam tempoh 10 tahun lagi cakera 5D boleh diperkenalkan untuk kegunaan komersial. Halangannya sekarang adalah teknik memasukkan data ke dalam cakera itu yang perlu menggunakan laser memerlukan kos yang sangat tinggi. Tetapi 360TB data dalam cakera yang saiznya mirip duit syiling 50 sen? Kami sanggup tunggu untuk teknologi itu disempurnakan. (rujukan)

5. Bekalan elektrik tanpa wayar

rectenna elektrik tanpa wayar

Dalam banyak-banyak teknologi, yang inilah penulis mahukan kerana rimas wayar penuh bawah meja. Pada tahun 2015, sekumpulan saintis daripada Jepun telah berjaya melakukan apa yang dirasakan mustahil untuk dilakukan selama ini - memancarkan tenaga elektrik untuk kegunaan peranti secara tanpa wayar. Apa yang lebih mengagumkan, jarak peranti itu dengan bekalan kuasanya adalah sejauh lebih 50 meter.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh Japan Space Systems menggunakan sebuah peranti mirip sebuah antenna yang menghantar tenaga elektrik sebanyak 1.8kW kepada penerimanya daripada jarak sejauh itu.

Teknologi kuasa tanpa wayar ini sekiranya berjaya diperhalusi lagi, menurut perangcangan mereka akan digunakan untuk menyerap kuasa solar daripada panel-panel yang dipasangkan di angkasa lepas, sebelum dihantar kembali ke bumi tanpa wayar. Sekiranya berjaya dilakukan, manusia akan mampu memaksimakan sepenuhnya tenaga matahari yang sentiasa ada bagi membolehkan kita menggunakan perkakasan elektrik kita setiap hari. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)