cara buka stesen minyak malaysia

Ketika anda mengisi minyak kenderaan anda, pernahkah anda membayangkan diri anda adalah pemilik kepada stesen minyak tersebut? Pasti pernah kan?

Impian itu satu masa dulu pernah penulis dan kawan-kawan penulis letakkan sebagai salah satu sasaran, namun sehingga kini belum ada lagi seorang pun antara kami yang berjaya memiliki stesen minyak sendiri walaupun dalam versi kecil.

Ini kerana syarat keperluan kewangan untuk seseorang menjadi pemilik stesen minyak hanya sebagai modal permulaan pun, memerlukan amaun yang lebih kerap dibincangkan oleh keluarga-keluarga kaya dalam fantasi drama-drama Melayu yang popular di kalangan ahli masyarakat kita.

Baik, saya ada duit. Bagaimana nak mulakan?

jurutera pemilik stesen minyak muda

Untuk memberikan secara tepat berapakah amaun yang diperlukan bagi seseorang memiliki stesen minyak sendiri agak sukar, disebabkan oleh perbezaan kriteria yang ditetapkan syarikat pembekal minyak. Selain itu, mod perniagaan yang diperkenalkan juga berbeza-beza.

Secara umumnya, semua pengusaha stesen minyak diuruskan melalui dua kaedah utama. Yang pertama adalah 'milikan syarikat, diuruskan pengedar' atau 'company owned, dealer operate' (CO-DO).

Dalam mod ini semua kos pembukaan stesen minyak akan ditanggung oleh syarikat minyak dan pengedar pula bertanggungjawab untuk menyediakan modal bagi menjalankan semua perniagaan yang berlangsung dalam premis.

CO-DO atau DO-DO?

jadi pengusaha stesen minyak

Mod perniagaan kedua pula adalah 'milikan pengedar, diuruskan pengedar' atau 'dealer owned, dealer operate' (DO-DO). Dalam mod ini, pengedar/pengusaha yakni kitalah (haha!) perlu mengeluarkan semua modal pembangunan stesen serta menyediakan modal pusingan bagi menjana perniagaan.

Perbezaan utama di antara mod CO-DO dengan DO-DO adalah daripada kos awal yang perlu disediakan pengedar. Untuk CO-DO, modal yang perlu dikeluarkan seorang pengedar dianggarkan dalam amaun RM350,000 sebagai modal pusingan kompulsori perlu ada dan deposit sekitar RM150,000 minima.

Bagi 'anak-anak Papa pemilik syarikat Megah Holdings' pula, mod DO-DO mungkin lebih sesuai untuk anda. Modal yang perlu anda tanggung bagi pembinaan stesen minyak dianggarkan bermula daripada RM3 ke 4 juta serba lengkap fasilitinya, dengan anggaran amaun serupa untuk modal pusingan kompulsori dan deposit.

Yang mana satu saya nak pilih ni?

pengusaha buraq oil stesen minyak

CO-DO atau DO-DO? Pasti anda pening kan nak memilih sekiranya anda ada amaun yang diperlukan. Nak senang jawab - anda ada tanah tak untuk buka stesen minyak? Itu adalah syarat utama untuk seseorang layak memiliki stesen minyak pemilikan sendiri sepenuhnya.

Di Malaysia, 70% stesen minyak yang beroperasi dikategorikan di bawah DO-DO dan hanya 30% beroperasi secara CO-DO. Ramai memilih perjanjian di bawah kategori ini disebabkan oleh kurangnya keperluan untuk pengusaha/pengedar berkongsi keuntungan dengan syarikat minyak.

Jika seseorang pengedar menjalankan perniagaan di bawah kategori mod DO-DO, pengusaha akan diletakkan sebagai tuan punya milik utama kepada stesen, fasiliti, kedai, inventori dan juga bekalan minyak yang diterima.

Namun untuk memastikan pengusaha tidak sewenang-wenangnya menukar syarikat pembekal minyak sedia ada kepada pembekal pesaing lain, kontrak selama 10 ke 15 tahun harus dipersetujui.

Tetapi bukan senang-senang saja nak buka stesen minyak ni walaupun poket kita terlalu berisi.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi

papa megah holding pengusaha stesen minyak

Keluasan tanah yang diperlukan bagi membolehkan sebuah stesen minyak dibuka, diberikan anggaran 40,000 kaki persegi dengan bentuknya juga perlulah sesuai.

Lokasi tanah menjadi satu faktor penting yang akan dinilai syarikat pembekal, dengan setiap syarikat mempunyai lokasi-lokasi idaman mereka agar dapat dipacakkan stesen di bawah jenama mereka.

Anda boleh merujuk laman web syarikat pembekal untuk mengetahui di mana lokasi yang dicari, mana tahu anda kebetulan pula ada tanah di sana. Mana tahu....

Selain itu ada syarikat menetapkan syarat seorang pengusaha stesen minyak berstatus CO-DO perlu memiliki kelulusan pendidikan tertiari sebagai tahap minimum, berusia di antara 25 ke 45 tahun serta mempunyai kemahiran asas dalam bidang ICT.

Cerah ke masa depan perniagaan stesen minyak?

iluminasi stesyen minyak rugi harga minyak petrol diesel3 110

Saban tahun, rungutan pengusaha stesen minyak berkenaan kerugian yang perlu ditanggung akan terus kedengaran. Apatah lagi kita baru saja melepasi fasa getir pandemik, di mana banyak stesen minyak mengalami penurunan jualan mendadak.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dalam kenyataan bulan Oktober 2021 - ada stesen yang terkesan sehingga hanya mencapai angka jualan hanya 5% daripada biasa, akibat kekurangan pelanggan yang perlu mengisi minyak.

Bagaimanapun beliau menganggarkan perniagaan minyak akan kembali pulih untuk tempoh beberapa bulan akan datang, dijangka seiring dengan kadar vaksinasi populasi kita yang semakin mantap.

Oleh kerana tempoh getir yang berlangsung lebih setahun kebelakangan ini, banyak stesen minyak yang terpaksa juga beroperasi, beroperasi dengan menanggung kerugian mengakibatkan berlakunya penyusutan modal pusingan pengusaha.

Jika anda bimbang anda bakal berdepan masalah sama sekiranya anda telah memiliki stesen minyak sendiri di masa akan datang, jangan risau!

Beberapa pihak perbankan tempatan di negara kita menyediakan skim pinjaman khas untuk pengusaha stesen yang berdaftar, bagi memastikan pengusaha mempunyai modal yang cukup untuk mendapatkan bekalan minyak setiap hari.

Apa tunggu lagi? Jom lah kita sama-sama miliki stesen minyak sendiri.



Hakcipta iluminasi.com (2017)