rokok vape pod bagus baik untuk kesihatan

Media sosial di negara ketika ini hangat dengan promosi beberapa jenama rokok elektronik yang dicanangkan mampu menjadi alternatif lebih baik kepada rokok.

Ayat pemasaran yang seakan meletakkan rokok elektronik jenis baru ini sebagai 'lebih baik', dijaja bukan sekadar daripada faktor penjimatan wang ringgit malahan dikatakan satu bentuk alternatif lebih sihat berbanding rokok biasa.

Fenomena rokok elektronik baru ini, yang dikenali dengan nama rasminya sebagai JUUL semakin hangat diperkatakan berikutan penawaran produk baru di negara kita. Bagaimanapun, benarkah dakwaan pengeluar-pengeluar rokok ini?

Apa itu JUUL?

perokok ketagih juul

Tidak ada takrifan sebenar apakah nama rokok elektronik jenis baru ini, tetapi nama yang melekat adalah jenama pertama yang mengeluarkannya iaitu JUUL. JUUL yang disebutkan sebagai 'jewel' merupakan sebuah produk keluaran syarikat bernama PAX Labs sekitar tahun 2015, sebelum syarikat itu berpecah dua dengan JUUL Labs ditubuhkan.

Hanya bermula pada tahun 2017 JUUL mula menjadi popular selepas produk tersebut mula digunakan oleh selebriti-selebriti terkenal. Berikutan popularitinya yang semakin meningkat, pengeluar rokok Marlboro iaitu syarikat Altria bertindak membeli saham milikan JUUL pada bulan Disember 2018 pada nilai $12.8 billion (!!), nilai pelaburan terbesar pernah dilakukan oleh sebuah kerjasama syarikat di Amerika Syarikat.

Rekabentuk JUUL kelihatan seperti sebuah storan USB yang lebih panjang, dengan katrijnya yang dinamakan POD boleh ditukar ganti. Semua produk JUUL yang asli dibina di Shenzen, China sementara bahan kandungannya serta POD, dibuat di Amerika Syarikat sendiri.

Faedah JUUL

juuling trend baru perokok

Penulis tidak dapat menafikan wujud satu trend di kalangan pengguna media sosial yang melonjakkan populariti rokok jenis POD ini, namun sekiranya dilihat produk yang ditawarkan di Malaysia mempunyai jenama yang berbeza serta tidak diketahui siapa pembuatnya. Bagaimanapun, untuk memudahkan penulisan kami akan menggunakan terma JUUL bagi mewakili semua jenama yang ada.

Taktik pemasaran yang dapat dilihat di negara kita meletakkan JUUL sebagai satu alternatif baik untuk mereka yang mahu mencuba rokok elektronik yang lebih 'realistik.' Pelbagai faedah dicanangkan, khusus untuk menarik perhatian perokok agar beralih kepada JUUL.

JUUL dikatakan mampu membentuk tabiat yang lebih baik tanpa memberikan kesan buruk pada penghisapnya. JUUL juga dikatakan mampu merawat ketagihan merokok, namun pegawai pemasaran mereka seakan terlupa yang menggantikan ketagihan dengan satu ketagihan lain, masih mengekalkan ketagihan itu.

Berbeza dengan produk-produk tempatan, produk JUUL asli tetap dikawal selia secara ketat. Produk mereka tidak dipasarkan untuk golongan remaja dan penggunanya perlu mencapai had umur ditetapkan terlebih dahulu. Bagaimanapun, JUUL tetap menjadi popular di kalangan remaja kerana ia tidak meninggalkan bau seperti bau rokok, jadi tabiat ketagihan itu lebih mudah disembunyikan.

Pengguna di negara kita juga kerap kali berkongsikan testimoni keberkesanan JUUL dalam melawan ketagihan merokok, namun tidak ramai yang menyedari bahaya sebenar yang menanti mereka.

Risiko sebenar JUUL

juul pod yang dijual

Dipasarkan sebagai satu kaedah berkesan bagi mereka yang mahu berhenti merokok, JUUL sebenarnya hanya mencipta ketagihan baru. Ketagihan JUUL. Satu POD JUUL asli mengandungi sekitar lima peratus kandungan nikotin. Ini bermakna setiap satu POD JUUL bersamaan dengan sekotak rokok biasa.

Di sinilah kepuasan sebenar perokok itu datang. Berbanding dengan rokok-rokok elektronik lain, JUUL mempunyai kandungan nikotin yang lebih tinggi (5.0% berbanding 2.4%). Kesan nikotin lebih tinggilah yang sebenarnya 'membantu' perokok meninggalkan tabiat mereka merokok cara lama.

Kajian-kajian yang telah dijalankan mendapati, walau apa pun janji manis yang ditabur penjual produk JUUL pada akhirnya perokok akan terus merokok, cuma produknya berbeza. Segala janji berkenaan membantu perokok berhenti tabiat mereka sebenarnya hanyalah satu ilusi pemasaran yang sengaja digembar-gemburkan bagi melariskan produk semata-mata.

POD yang memberikan rasa pada JUUL juga berbeza kandungan nikotinnya. Kebanyakan produk rokok elektronik lain menggunakan bahan yang digelarkan sebagai 'freebase nicotine.' Sementara JUUL pula menggunakan 'nicotine salts' bagi memudahkan penyerapan ke dalam darah. Ini menggalakkan pengguna untuk lebih banyak menghisap kerana rasa khusyuk daripada kesan nikotin tadi, lebih mudah dicapai serta mampu bertahan lebih lama.

Kandungan asid benzoik yang tinggi dalam setiap POD JUUL juga mampu menyebabkan penyakit-penyakit seperti batuk, sakit tekak, sakit pada perut, loya dan muntah-muntah seandainya bahan tersebut kerap kali didedahkan ke dalam tubuh.

Kajian saintifik berkenaan rokok jenis POD

rokok juul elektronik

Yang terakhir - sebagai menjawab persoalan adakah JUUL mampu menangani ketagihan merokok, kajian telah membuktikan perkara itu dongeng.

Kajian yang dilakukan pada bulan Julai 2018 mendapati tidak ada sebarang kesan positif yang membantu perokok membuang tabiat merokok mereka dengan bantuan alat elektronik seperti JUUL atau rokok jenama lain.

Apa yang lebih membimbangkan, kajian oleh National Institute of Drug Abuse Amerika Syarikat mendapati 30.7 peratus remaja yang sudah mencuba rokok elektronik, dengan tanggapan lebih selamat - akan 'bergraduasi' kepada rokok tradisional dalam tempoh enam bulan. Kajian itu juga mendapati hanya 8.1 peratus individu remaja tidak merokok kekal merokok dalam tempoh yang sama, selepas diperkenalkan kepada rokok.

Risiko produk tiruan

juul risiko rokok trend baru 387

Apa yang lebih membimbangkan, lambakan produk serupa seperti JUUL di Malaysia merupakan produk-produk tiruan yang dibuat dengan melanggar hak cipta asal JUUL. Ini kerana JUUL asli secara rasminya tidak dipasarkan di negara kita.

Menawarkan harga yang lebih murah serta harga POD yang lebih berpatutan, masalah 'JUUL tiruan' ini telah pun melanda Amerika Syarikat semenjak JUUL mula popular dan masalah sama nampaknya bakal dihadapi oleh masyarakat kita. Dengan rekaan yang serupa serta perasa POD yang lebih banyak, JUUL asli turut sama merasai tempiasnya sehingga terpaksa memfailkan saman terhadap 18 pengeluar pelanggar hak ciptanya.

Kami tidak tahu dari mana pengeluar produk rokok elektronik POD di Malaysia mendapatkan produk mereka serta bagaimana pula faktor keselamatannya. Sekiranya anda ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja, pastikan anda senantiasa peka.

Mungkin anda menyangkakan alat yang ada dalam poket anak anda itu storan USB biasa kerana rupanya memang serupa, namun periksalah - mana tahu itu rupanya rokok yang mahal dan sebenarnya sama saja membahayakan nyawa.



Hakcipta iluminasi.com (2017)