Dengan berkembangnya tamadun manusia beribu-ribu tahun lamanya, agama turut sama mengiringi kehidupan orang ramai - dijadikan panduan masyarakat sejak dulu sehingga sekarang mengenalpasti baik buruk sesuatu perkara.
Banyak sebenarnya agama dan kepercayaan yang telah muncul, namun penyelidik sejarah percaya kebanyakan ajaran agama yang bukan dikategorikan agama Abrahamaic atau lebih tepat bergelar agama-agama Dharmic, mempunyai susur galur beribu tahun serta sangat mirip dengan perkembangan pemikiran manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Izanagi dan Kami (Shinto)
Agama apakah yang layak digelarkan sebagai agama tertua di dunia?
Berikut adalah senarai 5 agama dan kepercayaan yang tertua di dunia, telah wujud dan masih diamalkan sehingga ke hari ini yang bukan berstatus agama Samawi.
5. Buddha
Bermula sekitar tahun 600BC di kawasan yang sekarang dikenali sebagai negara Nepal, agama Buddha diasaskan oleh seorang putera bernama Siddhartha Gautama yang memilih untuk membuang kesemua kemewahan yang ada padanya, menukarkan dirinya menjadi seorang manusia biasa tanpa mengejar lagi harta benda.
Selepas meninggalkan harta benda, Siddhartha yang pada ketika masih mencari tujuan duduk bertafakur di bawah Pokok Bodhi, berjanji pada dirinya tidak akan bangun selagi belum mendapat petunjuk. Siddhartha duduk di situ beberapa hari seterusnya melalui proses membersihkan jiwa dan mindanya sebelum jawapan datang padanya, memberikan dia gelaran Buddha.
Ajaran utama Buddha mengajak pengikutnya memilih jalan tengah, meninggalkan kemahuan yang tidak pernah padam yang digelarkan sebagai 'dukkha' dengan mengikut lapan jalan yang telah ditetapkan, agar mereka berjaya mencapai peringkat tertinggi kelahiran semula, yang digelarkan nirvana penghujung kepada proses kelahiran semula.
4. Shinto
Agama yang masih lagi diamalkan di Jepun sehingga kini serta menjadi agama tradisional masyarakat di sana. Penganut agama Shinto menyembah beberapa Tuhan yang mereka gelarkan sebagai 'kami', roh atau semangat yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan konsep seperti angin, hujan, gunung, pokok, sungai dan juga sistem pembiakan.
Manusia biasa yang hidupnya dikenali sebagai seorang individu yang baik serta banyak menyumbang pada keluarga dan masyarakatnya juga layak diangkat menjadi 'kami' selepas individu itu meninggal dunia.
Nama 'Shinto' yang bermakna 'jalan Tuhan' sebenarnya hanya dimula digunakan pada abad ke 6, selepas kedatangan beberapa agama lain seperti Buddha dan Confucian, bagi mengelakkan kekeliruan timbul di kalangan ahli masyarakat.
3. Zoroastrian
Walaupun rekod sejarah mengatakan agama ini dIasaskan oleh seorang lelaki bernama Zoroaster atau Zarasthura dan namanya digunakan sebagai nama rasmi kepercayaan ini, ajaran atau kepercayaan yang dipegang oleh penganut Zoroastrian sebenarnya sudah diamalkan bermula 1500BC-1200BC.
Mempercayai wujudnya satu Tuhan yang bersifat agung bernama Ahura Mazda (yang bermakna Maha Bijaksana), Zoroastrian pernah menjadi salah satu agama terbesar dunia sekitar tahun 600BCE di kawasan sekitar Parsi.
Zoroaster muncul sekitar tahun 1500 ke 1000BCE, menyatukan ajaran ketika itu serta menerbitkan kitab yang menjadi panduan penyembah Ahura Mazda yang dinamakan sebagai kitab Gathas. Dalam Gathas, Zoroaster membincangkan berkenaan tahap mental manusia yang senantiasa tercar-cari yang mana benar dan palsu serta mengajar pengikutnya jawapan kepada persoalan tersebut. Oleh sebab itu, Zoroaster dilihat sebagai seorang utusan Tuhan bagi mereka yang percaya dengan ajaran yang beliau bawakan.
2. Judaism
Satu-satunya agama Abrahamic yang disenaraikan, berbeza dengan Islam dan Kristian yang jauh lebih muda - Judaism adalah agama etnik orang Yahudi. Nama sebenarnya adalah Yehudah dalam bahasa Hebrew. Penganut Judaism percaya Nabi Ibrahim as. adalah pengasas kepada agama ini, selain daripada Nabi Musa yang bertanggungjawab memperkembangkannya. Mereka menjadikan kitab Taurat sebagai panduan mereka.
Walaupun mempunyai kitab Taurat, kitab tersebut hanyalah sebahagian daripada koleksi manuskrip agama Judaism yang dikenali sebagai Tanakh. Selain daripada Taurat, beberapa sumber lain yang turut diletakkan sebagai sumber asas kepada Judaism adalah Talmud yang membentuk pemikiran serta undang-undang dalam agama tersebut dan Midrash, kitab yang menjelaskan atau mentafsirkan semua yang terkandung dalam Taurat dan Talmud.
1. Hindu
Agama Hindu merupakan agama tertua di dunia serta menjadi permulaan kepada penyebaran agama yang dikategorikan sebagai 'agama Dharmic' iaitu Hindu, Jai, Buddha dan Sikh. Berbeza dengan agama Buddha yang mempunyai pengasasnya, Hindu tidak mempunyai pengasas tetapi merupakan sebuah kepercayaan yang menggabungkan banyak kepercayaan lain, sama ada dalam bentuk bertulis atau tidak rasmi.
Berikutan usianya yang sudah beribu-ribu tahun lamanya, ajaran dalam agama Hindu dapat dikenalpasti merupakan sintesis penggabungan pelbagai jenis kepercayaan, budaya dan tradisi orang India - dengan setiap ajaran akan dibahagian kepada dua iaitu 'sruti' atau 'yang didengar' dan 'smrti' atau 'yang diingati.'
Ajaran utama ajaran Hindu direkodkan dalam sebuah kitab yang dinamakan Rigveda , mengandungi 10,600 ayat mengandungi ajaran berkenaan falsafah serta penerangan kepada persoalan pemikiran masyarakat.Rigveda pula dibahagikan kepada empat bahagian, Samhita, Brahmanas, Aranyakas dan juga Upanishad.
Ketika ini, penganut agama Hindu dianggarkan seramai 1.1 billion orang, meletakkan agama tertua di dunia ini pada kedudukan keempat paling ramai pengamalnya dengan 95% daripada jumlah tersebut, menetap di India.