Apabila bercakap tentang kelompok orang Yahudi, kita masyarakat Malaysia lebih gemar menyebut terma am 'Yahudi' sebagai istilah merujuk mereka.

Bagaimanapun, sekiranya kita telaah lebih dalam - wujud banyak sebenarnya pecahan masyarakat Yahudi yang ada di serata dunia ketika ini, bukan saja tertumpu di kawasan negara haram Zionis semata-mata.

Pernahkah anda membaca tentang 5 pecahan masyarakat Yahudi ini dan dari mana mereka datang? Berikut adalah lima penerangan ringkas tentang pecahan masyarakat Yahudi yang berlaku pada zaman pertengahan; sebelum mereka tiba ke zaman moden.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ashkenazi

yahudi ashkenazi jewish

Dalam bahasa Hebrew, ashkenazi membawa makna orang Jermanik jadi kelompok Yahudi Ashkenazi mewakili kumpulan orang Yahudi yang berhijrah ke kawasan-kawasan sekitar bahagian timur Eropah, iaitu negara Jerman dan juga Perancis sekarang.

Semua Yahudi Ashkenazi yang ada pada zaman sekarang merupakan pewaris kepada kumpulan orang Yahudi yang hadir ke dua kawasan tersebut sekitar tahun 800 ke 1000, sebelum mula berasimilasi dengan masyarakat Eropah lain yang ada.

Apa yang menarik mengenai kumpulan Ashkenazi ini, dalam kajian yang dijalankan pada tahun 2014 - didapati bahawa DNA yang diwarisi mereka datang daripada kumpulan kecil sekitar 330 orang yang hidup 600 ke 800 tahun dahulu.

Pada ketika ini, jumlah Yahudi Ashkenazi di seluruh dunia dianggarkan berada pada tahap 10 juta orang keseluruhannya, dengan 3 juta daripada mereka menetap di negara haram Zionis. Antara individu terkenal yang menjadi pewaris keturunan ini adalah Albert Einstein, Scarlett Johansson, Gal Gadot, Natalie Portman dan ramai lagi yang rata-ratanya terlibat dalam bidang hiburan.

2. Sephardi

sephardic jew yahudi

Dijadikan sasaran sejak zaman dahulu lagi kerana dituduh mampu merosakkan masyarakat oleh orang Rom, orang Yahudi Sephardi merupakan mereka yang menetap di kawasan sekitar Sepanyol dalam kelompok yang besar.

Yahudi Sephardi berjaya berasimilasi dengan masyarakat Sepanyol membangunkan negara tersebut, memainkan peranan sebagai sasterawan serta pakar perubatan. Mereka juga berjaya membangunkan bahasa mereka sendiri, hasil gabungan bahawa Yahudi dan Sepanyol yang dinamakan sebagai Ladino.

Selepas Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella berjaya menguasai tampuk pemerintahan kerajaan Sepanyol menyebabkan kerajaan Islam Andalusia tumbang, pengaruh Kristian yang kuat membuatkan orang Yahudi Sephardi dihalau keluar dari Sepanyol; memaksa mereka menjadi orang buangan di sekitar Belanda, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang dikuasai Kristian, ramai memilih untuk terus mengamalkan agama mereka secara rahsia walaupun secara rasminya mengaku memeluk agama Kristian. Kelompok ini dikenali sebagai 'Anusim'. Antara Yahudi Sephardi yang terkenal adalah Vidal Sassoon, Hank Azaria, Jerry Seinfeld dan juga Haim Saban, pengasas kepada studio yang menerbitkan siri Power Rangers.

3. Mizrahi

yahudi mizrahi

'Mizrahi' adalah istilah Hebrew yang bermakna 'Timur' jadi Yahudi Mizrahi mewakili mereka yang telahpun menetap di kawasan sekitar negara-negara Timur Tengah. Berbeza dengan kumpulan-kumpulan Yahudi yang lain, Mizrahi tidak mempunyai satu bentuk bahasa sahaja kerana setiap pecahan kepada Mizrahi mempunyai bahasa dan dialek mereka sendiri.

Selepas negara haram Zionis berjaya dibentuk dengan merampas tanah negara Palestin pada tahun 1948, tekanan negara Islam kepada etnik Yahudi membuatkan majoriti komuniti Yahudi yang tinggal di negara-negara Arab mula berdepan tekanan. Ekoran daripada ketegangan politik yang ditimbulkan oleh Israel dan sekutu mereka, negara Arab mula memperkenalkan beberapa langkah bagi mengusir keluar masyarakat Yahudi.

Seramai 900,000 orang Sephardi dan Mizrahi mula keluar daripada negara-negara Timur Tengah, cuba memasuki negara haram Zionis yang baru saja ditubuhkan sebagai tempat berlindung meninggalkan segala harta benda mereka yang dikumpulkan sekian lama. Daripada sejumlah besar yang dihalau keluar, 680,000 diterima sebagai rakyat Israel dan selebihnya pula menjadi warga Perancis, dengan beberapa komuniti kecil diterima ke negara Eropah dan juga Amerika Syarikat.

Kumpulan Mizrahi ini berjaya mengekalkan warisan mereka, terus mengamalkan adat perkahwinan hanya di kalangan orang Yahudi sahaja jadi proses asimilasi mereka juga kurang berlaku berbanding dengan kumpulan Ashkenazi ataupun Sephardi. Mereka masih lagi mengekalkan nama yang diwarisi serta mempunyai wajah yang amat jelas ciri-ciri darah berketurunan Yahudi.

Di antara semua kumpulan orang Yahudi, Yahudi Mizrahi kerap kali menjadi mangsa kecaman daripada orang Yahudi lain - disebabkan hubungan mereka dengan negara-negara Arab satu masa dahulu.

4. Yamani dan Karaite

yahudi yamani

Di antara semua kelompok orang Yahudi, Yahudi Yamani dikatakan sebagai kelompok Yahudi yang mengamalkan kehidupan paling mirip dengan orang Yahudi asal. Mewakili kelompok Yahudi yang pernah tinggal di Yaman, mereka menetap di negara tersebut sebelum di bawa ke Israel bagi mengelakkan diri mereka dihukum kerajaan Yaman.

Sebelum itu, mereka menetap di bandar-bandar seperti Sana'a dan Rada'a, membentuk komuniti sebanyak 371 kampung dengan jumlah populasi sekitar 15,000 orang. Pada ketika ini dianggarkan hanya tinggal 50 orang sahaja Yahudi Yamani yang menetap di Yaman, sebahagian besar memilih untuk tinggal di Israel dan selebihnya di Amerika Syarikat dan Britain.

Yahudi Karaite pula mewakili orang Yahudi yang datang dari negara Mesir sekitar tahun 1950 ke 1960 ke Israel. Di antara kesemua kumpulan orang Yahudi, Yahudi Karaite inilah merupakan komuniti yang paling berpegang teguh dengan agama mereka dan terus mengamalkan perkahwinan hanya di kalangan ahli komuniti mereka.

Pengaruh Islam yang kuat pada kehidupan mereka membuatkan komuniti Yahudi Karaite tidak mengambil kira kitab Talmud yang menjadi rujukan penganut orang Yahudi lain, sebaliknya mahu komuniti Yahudi kembali kepada kitab Taurat yang asal.

5. Samaritan

orang samaritan

Pernah dengan pepatah 'good Samaritan'? Nama 'samaritan' itu sebenarnya diambil daripada nama salah satu kumpulan komuniti yang ada. Bagaimanapun, orang Samaritan sama sekali tidak mengaku mereka adalah kelompok orang Yahudi kerana bagi mereka, mereka adalah pewaris kepada Bani Ephraim dan Bani Manasseh, dua orang anak Nabi Yusof as. dan isterinya Zulaikha yang menduduki kawasan Samaria, ketika ini sebahagian besar kawasan Tebing Barat di Palestin.

Oleh kerana mereka menganut agama mereka sendiri iaitu Samaritan, berlaku percanggahan yang sudah lama di antara orang Samaritan dengan orang Yahudi; dengan orang Samaritan menganggap agama yang mereka anuti adalah agama sebenar masyarakat mereka.

Dek peredaran zaman, komuniti Samaritan semakin lama semakin mengecil dengan hanya 800 orang Samaritan sahaja tinggal, meneruskan tanggungjawab mereka melindungi Gunung Sinai yang mereka anggap sebagai kawasan suci mereka, berdasarkan sejarah kerajaan Israel awal yang wujud sekitar tahun ke 5 sebelum masihi.

Mereka mempunyai kitab Taurat mereka sendiri yang dinamakan sebagai 'Samaritan Pentateuch'; dipercayai sebagai kitab Taurat asli berbeza dengan kitab yang diamalkan oleh orang Yahudi.

Dari mana datangnya frasa 'good Samaritan'? Punca gelaran itu sangat popular digunakan adalah disebabkan oleh sebuah kisah yang terkandung dalam kitab Bible, menceritakan bagaimana seorang pengembara dirompak dan dipukul separa mati. Datang seorang paderi enggan membantunya. Kemudian datang seorang seorang lelaki Yahudi berketurunan Levi, turut sama mengabaikan lelaki itu.

Akhirnya, seorang lelaki Samaritan hadir ke situ dan melihat nasib lelaki malang itu. Merasa simpati, orang Samaritan itu pun membantu lelaki itu dan daripada kisah itulah, gelaran 'Good Samaritan' mula digunakan bagi mewakili mana-mana individu yang sanggup bersusah payah untuk membantu orang lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)