Mengikut sejarah, letupan kilang nuklear di Fukushima pada tahun 2011 merupakan kejadian letupan nuklear paling buruk pernah dicatatkan. Kisah ini pernah kami tulis dalam artikel Fukushima Daiichi : Tragedi Pencemaran Radioaktif Nuklear Akibat Tsunami Jepun.

Selain kematian ribuan manusia dan pencemaran bahan radioaktif ke udara dan tanah, sebenarnya banyak lagi kesan sampingan yang berlaku daripada kes letupan nuklear ini. Kali ini, iluminasi ingin berkongsi beberapa perubahan atau kesan biologi yang berlaku kepada haiwan-haiwan yang masih hidup disini.

Sekiranya anda tidak tahu, haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, lembu dan binatang-binatang ternakan masih hidup bebas di kawasan tersebut. Kami juga pernah menulis mengenai, Naoto Matsumura, satu-satunya manusia yang masih tinggal di kawasan ini. Beliau telah mengambil keputusan untuk mengabdikan hidupnya untuk menjaga binatang-binatang yang masih mendiami kawasan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Penguasaan babi hutan di kawasan perumahan

Setelah orang ramai melarikan diri daripada Fukushima, kebanyakan babi hutan yang tinggal di kawasan hutan berhampiran telah mula memasuki kawasan bandar dan perumahan penduduk untuk mencari makanan. Banyak kejadian dilaporkan dimana binatang ini akan menyerang mana-mana manusia yang cuba menghampirinya.

Pada Mac 2017, kerajaan telah menarik balik arahan kepada penduduk supaya meninggalkan kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, penduduk menghadapi masalah terbaru iaitu populasi babi hutan yang semakin banyak di kawasan tersebut telah menyebabkan ancaman keselamatan kepada penduduk. Bagi mengatasi masalah ini, satu skuad khas telah ditubuhkan untuk menembak mati babi hutan liar dan ganas ini.

2. Lambakan kucing dan anjing di pusat pemeliharaan haiwan

nyander guard

Apabila arahan melarikan diri daripada Fukushima telah dikeluarkan oleh kerajaan, mungkin kerana panik terdapat juga penduduk yang meninggalkan haiwan peliraan mereka. Dianggarkan 20,000 haiwan peliharaan dan ternakan telah ditinggalkan oleh penduduk. Usaha awal bagi menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan ini telah dilakukan oleh Akira Honda yang berusia 52 tahun.

Walau bagaimanapun, usahanya gagal akibat kesukaran untuk mendapatkan sukarelawan untuk usaha ini akibat sekatan pihak berkuasa daripada memasuki kawasan ini. Oleh itu, kerajaan telah membuat usaha yang sama melalui penubuhan program Nyander Guard. Kira-kira 750 anjing dan kucing berjaya diselamatkan. Malangnya, mereka menghadapi kesukaran mencari keluarga yang sanggup memelihara haiwan yang diselamatkan ini kerana ramai khuatir akan pendedahan kepada radiasi daripada haiwan-haiwan yang diselamatkan ini.

3. Penurunan mendadak populasi burung

spesis burung yang semakin berkurang di fukushima

Burung merupakan antara spesies haiwan yang paling terjejas akibat letupan nuklear ini. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Tim Mousseau, seorang profesor Sains Biologi dari University of South Carolina, populasi burung di kawasan Fukushima telah turun secara mendadak sejak kejadian letupan ini.

Kajian telah dilakukan daripada 2400 burung yang ditemui daripada 57 spesis yang berlainan. Daripada jumlah tersebut, pasukannya dapati bahawa 30 daripada spesis burung tersebut mencatatkan penurunan populasi yang mendadak sejak kejadian letupan ini. Selain itu, beliau dapati terdapat peningkatan tanda putih pada bulu-bulu burung yang dipercayai kesan daripada radiasi ini. Pendapatnya ini bagaimanapun disangkal oleh beberapa pihak yang mendakwa ianya terjadi akibat daripada kesan lain.

4. Arnab dilahirkan tanpa telinga

arnab tanpa telinga

Yuko Sugimoto merupakan seorang penternak arnab. Beliau mempunyai sebuah ladang yang terletak hanya kira-kira 30km daripada kawasan yang ditutup kerana kejadian letupan tersebut. Pada 2011, beliau dapati sesuatu yang aneh pada seekor arnab yang baru dilahirkan. Arnab tersebut didapati tidak mempunyai telinga, mempunyai albinism dan juga kekurangan melanin.

Ianya lahir hanya kira-kira 2 bulan selepas kejadian letupan di Fukushima. Kerajaan Jepun telah melaporkan bahawa sampel air laut yang diambil 250 km utara Tokyo mengandungi bahan radioaktif strontium yang sangat tinggi, melebihi daripada had yang dibenarkan. Hal ini menunjukkan terdapat kemungkinan tinggi bahawa arnab tersebut terdedah kepada bahan radioaktif memandangkan ladangnya hanya berbuluh kilometer daripada tempat kejadian letupan Fukushima.

Kredit:

  1. The Independent
  2. Los Angeles Times
  3. Smithsonian
  4. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)