Oleh pada 22 Feb 2019 kategori

Terdapat pelbagai jenis penyakit dalam dunia yang dihidapi oleh manusia tetapi bagaimana pula dengan haiwan? ini kerana, haiwan juga mempunyai masalah kesihatan mereka sendiri.

Kadangkala, penyakit dan sindrom yang dihidapi oleh haiwan ini agak unik dan pelik dari sudut pandangan perubatan. Berikut adalah senarai beberapa penyakit dan sindrom pelik yang hanya dialami oleh haiwan sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Sindrom Belon

landak kembung

Sindrom Belon berlaku apabila seekor landak itu menjadi sangat kembung seakan-akan menyerupai sebiji bola sepak. Para saintis sebenarnya tidak benar-benar memahami keadaan itu walaupun mereka tahu ia disebabkan udara yang terperangkap di bawah kulit landak itu.

Mereka mengesyaki sindrom ini terjadi apabila seseekor landak itu menderita luka pada paru-paru akibat tertusuk duri mereka, menyebabkan angin dipam ke dalam kulit ketika bernafas. Ini menyebabkan landak itu tidak dapat berlingkar dengan sendiri dan terdedah kepada pemangsa.

Walau bagaimanapun, terdapat rawatan mudah untuk menangani masalah ini. Veterinar akan membuat potongan kecil pada kulit untuk membuang angin dan antibiotik disapu pada bahagian potongan untuk mencegah jangkitan. (sumber)

2. Sindrom Anjing Kecil

small dog syndrome

Sindrom ini biasanya dialami oleh anjing bersaiz kecil sahaja. Anjing yang menderita penyakit ini biasanya akan menjadi terlalu hiper dan agresif berbanding baka anjing yang lebih besar. Mereka biasanya akan menerkam dan menggigit tuannya atau anjing lain yang dianggap sebagai ancaman.

Anjing bersiaz kecil juga biasanya agak degil dan tidak mengikut arahan berbanding anjing yang lebih besar. Apabila tuan mereka memberi arahan, mereka sering tidak mengendahkannya.

Salah satu penyebab sindrom ini adalah tingkah laku pemilik anjing itu sendiri. Ia berlaku apabila pemilik terlalu manjakan anjing itu dan kurang memberi latihan yang sepatutnya. Anjing kecil lebih mudah dikasihani jika melakukan kesalahan berbanding anjing yang lebih besar. (sumber)

3. Sindrom Jantan Baran

gajah naik minyak

Sindrom ini sering diperhatikan berlaku kepada Biri-biri Soay, Rusa Merah, Rusa Kutub, Gajah India dan beberapa lagi mamalia lain apabila tiba musim mengawan. Keadaan gajah menjadi baran disebut di negara kita sebagai 'naik minyak'.

Ia disebabkan pengurangan penghasilan testosteron. Ia mula dibahaskan oleh Dr. Gerald Lincoln yang perasan apabila Biri-biri Soay jantan menjadi agresif pada musim sejuk selepas musim mengawan mereka. Haiwan jantan itu sering gugup dan menyerang apa sahaja yang menarik minat mereka.

Para penyelidik menganggap sindrom yang dialami oleh beberapa jenis haiwan jantan ini adalah lebih kurang sama dengan apa yang dialami oleh wanita yang melalui putus haid. Kedua-duanya mempunyai persamaan umum seperti wajah menjadi kemerah-merahan, penghasilan haba dan peluh yang lebih. (sumber)

4. Sindrom Jantan Gila

merak ganas

Sindrom Jantan Gila atau Sindrom Tingkah Laku Abnormal ini adalah gangguan yang menyebabkan beberapa jenis haiwan jantan tertentu menjadi agresif dan menyerang apa sahaja yang mereka lihat. Sindrom ini diketahui berlaku dalam beberapa spesies haiwan seperti llama, alpaca dan burung merak.

Ia kerap berlaku apabila beberapa jenis haiwan yang berpotensi mengalami sindrom ini bergaul dengan manusia sejak mereka kecil lagi. Haiwan-haiwan ini akan melihat manusia sebagai spesies mereka sendiri dan bertindak kasar seperti menggigit, menanduk atau menolak. Ia akan menjadi masalah apabila haiwan itu menjadi semakin besar kerana ia boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada pemilik.

Apabila mencapai usia matang, mereka akan menjadi sifat kewilayahan dan akan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap menceroboh. Ramai pemilik llama dan burung merak yang digigit atau diserang kerana sindrom ini.

Sindrom ini juga diperhatikan berlaku pada burung merpati juga. Oleh kerana ia tidak mempunyai penawar, haiwan yang menghidapinya perlu dibunuh. (sumber)

5. Sindrom Belalai Terkulai

floppy trunk syndrome

Sindrom ini juga dikenali sebagai Sindrom Belalai Lumpuh dan menyebabkan belalai seseekor gajah itu lemah dan tidak boleh digunakan. Ia boleh menyebabkan risiko gajah mati kelaparan kerana haiwan itu menggunakan belalai mereka untuk mengambil makanan. Ia dikenal pasti berlaku kerana keracunan logam berat.

Pada tahun 1992, saintis mengkaji wabak ini yang tersebar di kalangan gajah yang mendiami Tasik Kariba di Zimbabwe. Beberapa bahagian tasik itu telah mengering dan plumbum di tasik itu menjadi pekat. Bahan kimia itu telah melumpuhkan sistem saraf belalai gajah-gajah yang minum di situ. Kelumpuhan itu terus berjangkit sehingga tiga perempat belalai gajah-gajah itu menjadi cacat.

Belalai yang cacat itu menjadi beban kerana ia tidak lagi boleh digunakan untuk makan dan gajah-gajah itu sering terpijak belalai mereka sendiri. Gajah yang dijangkiti sindrom ini kadang-kala perlu berenang ke tengah tasik untuk membolehkan mereka meminum air. (sumber)

Sindrom Pembelajinakan

telinga jatuh

Dikenali sebagai Domestication Syndrome dalam Bahasa Inggeris dan ia merujuk kepada ciri-ciri tertentu yang biasanya terdapat pada haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing. Ciri-ciri ini biasanya tidak wujud dalam nenek moyang mereka yang hidup liar.

Antara contoh ciri-ciri yang dimaksudkan banyak berlaku pada anjing peliharaan seperti telinga yang jatuh ke bawah, ekor kerinting dan bulu yang halus daripada biasa. Selain itu, mereka juga cenderung untuk mempunyai otak, gigi dan ekor yang lebih kecil berbanding nenek moyang mereka.

Para penyelidik di Institut Stellenbosch Afrika Selatan mendapati, sindrom ini berlaku hasil daripada mutasi di puncak saraf semasa peringkat pembentukan embrio lagi.

Salah satu bukti moden sindrom ini dapat dilihat pada musang perak yang dilakukan oleh seorang petani dari Rusia, Dmitry Belyaev. Dia memulakan program pembelajinakan haiwan itu pada tahun 1950-an. 25 tahun kemudian, dia berjaya menghasilkan sekelompok musang perak yang mempunyai telinga jatuh, ekor kerinting, gigi dan muka yang lebih kecil berbanding biasa. (sumber)

Sindrom Tempat Tinggi

sindrom tempat tinggi

Sindrom ini merujuk kepada kucing yang jatuh daripada tempat tinggi. Kucing diketahui suka menjelajah dan memanjat apa sahaja dan perkara itu membuatkan mereka berisiko untuk jatuh.

Mereka biasanya jatuh ketika cuba menangkap burung yang sedang terbang atau ketika tidur di tempat yang tinggi. Apa yang menariknya, kucing yang jatuh kurang daripada ketinggian bangunan dua tingkat mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk cedera parah berbanding tempat yang lebih tinggi. 

Ini kerana, kucing yang jatuh pada ketinggian bangunan dua tingkat dan ke atas mempunyai lebih banyak masa untuk berputar di udara dan mendarat di atas keempat-empat kakinya. Kucing yang jatuh pada ketinggian rendah dan sederhana tidak mempunyai cukup ruang dan masa untuk berputar. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)