Oleh pada 28 Dec 2017 kategori

Dapat menghasilkan sesuatu produk atau hasil ciptaan yang baru tentulah sesuatu yang membanggakan pada penciptanya. Lebih-lebih lagi jika hasil ciptaan mereka itu mampu menyelesaikan masalah tertentu yang dihadapi oleh manusia.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes tertentu ada juga pereka asal sesuatu produk asal itu akhirnya menyesal atas produk yang dihasilkan. Hal ini biasanya terjadi apabila produk yang dicipta untuk tujuan tertentu itu mempunyai kesan sampingan yang lebih buruk atau ianya digunakan secara salah dan berlainan daripada tujuan asal ianya dicipta.

Kali ini kami ingin berkongsi 4 orang saintis atau pencipta produk terkenal yang akhirnya menyesal dengan produk yang mereka cipta itu.

1. John Sylvan - Keurig K-Cup

keurig k cup

John Sylvan merupakan orang yang bertanggungjawab memberi idea untuk penghasilan kopi daripada K-Cup. Apa itu K-Cup? Ianya adalah satu pod atau bekas plastik kecil yang mengandungi serbuk kopi dan setiap pod mempunyai resepi yang sempurna untuk menghasilkan kopi berperisa tertentu. Ianya menjadi pilihan penggemar kopi kerana mereka hanya perlu menggunakan 1 pod untuk setiap hidangan kopi tanpa perlu memikirkan jumlah air, serbuk kopi dan susu/krimer yang perlu digunakan untuk setiap hidangan. Segalanya akan disediakan oleh mesin Keurig K-Cup yang akan membaca kod bar yang ada pada K-Cup tersebut.

Malangnya, penggunaan K-Cup yang diperbuat daripada plastik ini mempunyai kesan buruk kepada alam sekitar. Menurut laporan, plastik ini tidak boleh dikitar semula dan tidak mudah biodegrasi. Peningkatan penggunaan K-Cup ini kerana kesan buruknya kepada alam sekitar semakin membimbangkan.

Pada tahun 2008, hanya 1.8 juta buah mesin K-Cup ini dijual di Amerika Syarikat. Jumlah ini meningkat berkali ganda dan pada 2013 sahaja, 11.6 juta mesin K-Cup telah dijual. Keseluruhan plastik K-Cup ini pada 2014 sahaja jika dikumpulkan dan disusun, jumlahnya boleh mengelilingi mengelilingi bumi sebanyak 10 kali. Dalam satu temuramah yang diadakan, John Sylvan mengaku bahawa beliau seringkali rasa bersalah kerana mencipta K-Cup ini.

2. Mikhail Kalashnikov - Senapang AK-47

mikhail kalashnikov pencipta ak47

Senapang AK-47 sememang sememangnya sebuah senjata yang popular dalam kalangan askar mahupun pihak pengganas. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Mikhail Kalashnikov merupakan orang yang bertanggunjawab menciptanya. Ianya dicipta bagi membantu pasukan tentera negaranya mempertahankan negara daripada pihak musuh. Walau bagaimanapun, Mikhail Kalashnikov akhirnya mengaku beliau rasa bersalah mencipta senjata tersebut.

Beliau merupakan seorang pengikut kuat agama Kristian Ortodoks dan sebelum kematiannya pada usia 94 tahun, beliau telah menulis sepucuk surat tentang beberapa perkara. Antara perkara penting yang dinyatakan adalah kekesalannya mencipta AK-47 kerana senjata tersebut telah membunuh ratusan ribu nyawa manusia dalam pertempuran.

3. Alfred Nobel - Bom Dinamit

bom dinamit

Pernahkah anda mendengar mengenai Anugerah Nobel (Nobel Prize) yang diberikan kepada para saintis yang membuat penemuan mengagumkan dalam bidang sains? Ianya mengambil nama daripada seorang saintis bernama Alfred Nobel. Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab mencipta bom dinamit.

Setelah abangnya mati dalam satu letupan besar pada 1864, beliau ingin mencipta satu bahan letupan alternatif yang lebih stabil. Dinamit asalnya dicipta bagi tujuan amaran dan pencegahan bagi mengelakkan peperangan daripada tercetus kerana letupan yang dihasilkannya lebih kecil. Beliau berkata:

"Perhaps my factories will put an end to war sooner than your congresses: on the day that two army corps can mutually annihilate each other in a second, all civilised nations will surely recoil with horror and disband their troops."

Seperti juga Mikhail Kalashnikov (pencipta senapang AK-47), bom dinamit yang dihasilkannya telah banyak digunakan bagi membunuh ramai manusia berlainan daripada tujuan asalnya dicipta. Bagi menebus kesilapannya ini, beliau telah mewujudkan Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) yang diberikan kepada aktivitis yang memberi impak besar ke arah keamanan dunia. Alfred Nobel mati sebelum Perang Dunia Pertama lagi, bermakna beliau tidak dapat menyaksikan sendiri kesan lebih buruk hasil ciptaannya dalam peperangan.

4. Albert Einstein - Bom Atom

serangan bom atom

Albert Einstein sememangnya seorang saintis genius yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah saintis yang membuat penemuan mengagumkan bagaimana tenaga dihasilkan melalui persamaan popularnya E=mc2. Walaupun beliau bukanlah pencipta bom atom, persamaan atau formula ini telah memberikan idea kepada para saintis untuk menghasilkan bom atom dengan kesan kemusnahan yang sangat dahsyat.

Pada tahun 1939, sekumpulan saintis Jerman telah berjaya memisahkan atom uranium. Einstein berasa bimbang ianya akan digunakan oleh pihak Nazi untuk menghasilkan bom atom maka beliau telah menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu Franklin Roosevelt supaya membuat kajian dan eksplorasi sumber alternatif untuk menghasilkan bom atom.

Maka, wujudlah Manhattan Project yang berjaya mencipta bom atom yang mempunyai kesan kemusnahan yang sangat dahsyat. Dalam satu temuramah pada 1947, beliau menyatakan kekesalan memberi cadangan kepada Presiden Franklin Roosevelt untuk membuat kajian tentang penghasilan bom atom.

"Jika saya tahu bahawa pihak Jerman tidak berjaya menghasilkan bom atom, maka saya tidak akan berbuat apa-apa (merujuk kepada cadangadannya kepada Presiden Franklin Roosevelt)"

Kredit:

  1. The Atlantic
  2. The Guardian
  3. Nobel Prize
  4. The Christian Science Monitor

tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)