anil dash kevin mccoy

Sang Saka (Kanan) antara NFT dari rakyat Malaysia yang terjual bernilai +-RM33,000

Satu harapan kami ketika acara penting itu adalah untuk melihat karyawan dan pencipta kandungan digital, mampu menjana pendapatan serta mengawal hak milikan ke atas karya mereka.

Titik tolak kami bermula pada bulan Mei tahun 2014, dalam sebuah acara di namakan Seven on Seven yang menemukan golongan karyawan digital dengan individu yang terlibat dalam bidang teknologi.

Saya hadir sebagai 'teknologis' yang digabungkan dengan Kevin McCoy, seorang karyawan digital besar yang turut mempunyai kepakaran tinggi dalam pengaturcaraan.

Ketika itu saya masih berkhidmat dengan sebuah pusat lelongan karya seni sebagai konsultan yang bertanggungjawab menguruskan acara lelong dan isu hubungan media. Seven on Seven merupakan antara acara yang saya sertai kerana minat saya dalam bidang pengaturcaraan dan pembangunan teknologi baru.

Dalam perbincangan kami, jelas McCoy sudah berpengalaman dalam sistem rantaian blok digital atau 'blockchain'.

Apa yang seronok, dia turut menyuarakan satu pandangan yang aku fikirkan selama ini; bagaimana hendak memanfaatkan blockchain bagi membantu artis dan karya mereka.

Asas sistem NFT yang dibangunkan hanya satu malam

nft karya seni digital atau scam

Dalam sesi cabaran pembinaan sistem pantas yang dikelolakan penganjur, kami perlu menyiapkan prototaip idea kami hanya dalam satu malam.

Saya dan McCoy berjaya membangunkan sistem yang mampu merekod dan membaca hak milik sesuatu karya digital dalam blok rantaian, yang mampu dijadikan seperti 'sijil pemilikan' seseorang ke atas mana-mana karya digital.

Tidak tahu tajuk atau nama apa yang sesuai untuk kami gunakan bagi kami menamakan projek itu, kami namakan sistem kami 'monetized graphics.' (Dalam bahasa Melayu - 'grafik yang mempunyai nilai'.) Singkatannya 'monegraph.' 

Semasa kami menayangkan persembahan kami (rujuk video di bawah), para hadirin tergelak besar kerana ironinya. Berdasarkan maklum balas, prototaip yang kami bangunkan diterima baik, serta diakui unik kerana mampu menjadi solusi kepada banyak isu berkaitan hasil kerja digital di semua peringkat. 

Di atas pentas, saya dan McCoy menunjukkan secara langsung kaedah bagaimana pembelian hak milik boleh dilakukan dengan menggunakan blok rantaian.

Dengan menggunakan sistem lejar blockchain Namecoin, McCoy mendaftarkan sebuah video klip ciptaan isterinya Jennifer di dalam lejar - saya kemudiannya membeli hak milik video itu pada harga USD4 dengan wang tunai.

Transaksi itu yang mendaftarkan saya sebagai pemilik membolehkan saya menjadi pemilik tunggal video tersebut. Di sinilah bagaimana idea yang akhirnya akan menjadi NFT bermula sebenarnya.

Selepas sesi bersama Seven on Seven, kami diberi peluang untuk melakukan demonstrasi secara langsung di New Museum of Contemporary Art di New York bagi membuktikan keberkesanan sistem kami itu. Kami hadir dengan sebuah prototaip yang lebih kemas.

Populariti idea yang kami ketengahkan mula menjadi buah mulut banyak pihak, khasnya mereka yang berkecimpung dalam blok rantaian serta penghasil karya berbentuk digital.

Sistem asal mula diambil kesempatan orang tengah

anil dash dan kevin mccoy pencipta nft

Untuk beberapa bulan berikutnya, McCoy cuba untuk mempromosikan idea dan sistem yang telah kami bangunkan bersama.

McCoy ketika itu sudah terkenal sebagai seorang artis digital yang disegani, namun publisiti yang kami harapkan wujud tidak menemui jejaknya. Satu kesilapan kami ketika itu - kami tidak mempatenkan idea kami.

Tidak menghairankan idea dan sistem yang kami bangunkan, mula ditiru oleh pihak-pihak lain, menyumbang kepada kewujudan apa yang kita kenali sebagai NFT atau non-fungible token sekarang.

Berdasarkan kepada pengalaman kami membangunkan sistem proto-NFT itu, agak mengejutkan kami kini banyak pihak mula menawarkan jualan NFT pada harga tak masuk akal sekarang. NFT sudah berkembang menjadi satu industri besar dengan nilai dagangan mencecah billion ringgit.

Namun semua ini menakutkan saya. Ini kerana majoriti sistem NFT yang ada sekarang mempunyai kelemahan yang sama dengan apa yang kami sudah bangunkan 2014 dahulu dalam satu malam. 

Niat kami mencipta monegraph adalah untuk mewujudkan kaedah bagaimana nilai sesuatu karya berbentuk digital boleh dijana dengan tepat dalam blockchain. Kami mahu mewujudkan kaedah yang mampu membezakan data asal sebenar sesuatu karya digital, berbanding salinannya yang boleh dihasilkan dengan mudah.

Sistem yang kami bangunkan mempunyai satu kelemahan yang sangat besar : tidak ada pihak mampu menyimpan karya itu sendiri dalam format asalnya, kerana blok berantai atau blockchain tidak mampu menampung data sebesar itu.

Untuk menyelesaikan masalah itu, kami menggunakan jalan pintas yang sepatutnya wajib diperbaiki. Malangnya kelemahan itu masih kekal digunakan sehingga kini.

Masalah utama sistem proto-NFT kami

kelemahan sistem nft

Ketika kami membangunkan monegraph, kami berdepan masalah untuk membentuk kaedah atau kod yang bukan saja mampu merekodkan transaksi, malahan mampu menyimpan fail asal sebuah imej dalam format asalnya tanpa perubahan.

Bagi menyelesaikan masalah itu, prototaip monegraph dibentuk untuk merekodkan transaksi yang dilakukan dalam blockchain, bergantung kepada alamat dalam web atau URL asal sesuatu imej itu. 

Kami sedar kelemahan sistem ini sejak mula serta kesan buruk jangka masa panjang yang boleh berlaku jika sistem ini tidak ditambah baik kepada pemilik imej yang sudah dijual, tetapi untuk kerja satu malam bagi membangunkan prototaip - ia memadai.

MASALAHNYA sistem ini terus digunapakai sehingga sekarang dalam semua sistem NFT di dalam blockchain.

Setiap kali berlaku pembelian sesebuah NFT oleh individu, apa yang berlaku sebenarnya adalah mereka tidaklah membeli karya tersebut secara digital. Mereka hanya membeli pautan kepada karya tersebut. Fail imej, video, gambar atau audio akan disimpankan di dalam storan berbeza yang perlu diakses menggunakan URL internet.

Jika situasi ini berterusan dalam tempoh beberapa dekad akan datang, kami meramalkan tidak ada sesiapa pun yang mampu mengesahkan status keasilan karya berbentuk NFT yang anda beli sama ada data asal atau hanyalah sekadar sebuah salinan.

Platform pengelola NFT berkongsi kelemahan ini memerlukan pembeli dan pemilik NFT perlu bergantung kepada sebuah syarikat pengelola NFT, untuk melakukan verifikasi kepada hak milikan NFT anda.

Apa saja akses kepada NFT boleh hilang dengan mudah, hanya disebabkan syarikat-syarikat platform NFT terlupa untuk memperbaharui alamat laman web asal mereka.

Hilang alamat, semua NFT yang sudah dibeli pengguna tidak lagi boleh diperolehi oleh pemiliknya.

NFT sudah jadi skim cepat kaya yang terlalu besar

proto punk nft kegilaan anak muda

Semua yang berlaku melibatkan NFT ketika ini, mengingatkan saya kepada sejarah 'gold rush' yang pernah berlaku satu masa dulu.

Penyokong NFT tampak lebih mahu mengejar keuntungan jangka masa pendek, tidak mahu memanfaatkan idea asal kami semasa mencipta monegraph yang kami harapkan mampu memanfaatkan kumpulan karyawan dalam jangka masa panjang.

Lebih menakutkan untuk saya dan McCoy sebagai pencipta dan pencetus idea asal NFT - tiadanya usaha bersama penggiat matawang kripto dan NFT dalam memperbetulkan apa yang telah terjadi kerana masing-masing sibuk untuk menyertai skim cepat kaya yang sedang hangat ini.

NFT pada tahap sekarang berdasarkan pandangan saya, sudah jadi satu medan di mana orang ramai tidak lagi segan untuk menipu, mencuri dan mengambil hak orang lain bagi membolehkan penghasilan segera NFT baru, agar keuntungan dapat dimaksimakan.

Karyawan sebenar tidak lagi menjadi fokus. Terlalu ramai karyawan menceritakan kepada saya pengalaman berdepan masalah karya mereka dicuri dan diniagakan sebagai NFT tanpa kebenaran - hanya kerana mereka tidak terlibat dalam bidang ini.

Kumpulan tamak yang gemar merebut peluang memperkayakan diri sendiri telah menjatuhkan semangat saya untuk melihat NFT sekurang-kurangnya dapat kembali kepada tujuan asalnya. Karyawan sudah tidak diletakkan sebagai kepentingan, sebaliknya mengejar keuntungan, pelaburan pantas dan kaedah cepat kaya sudah menjadi lumrah biasa.

Status keasilan hasil kerja karyawan juga bukan menjadi isu pokok, kerana trennya hanya satu - untuk mencipta permintaan agar peluang keuntungan baru dapat dibuat.


Artikel ini adalah olahan dan terjemahan semula artikel NFTs Weren’t Supposed to End Like This tulisan Anil Dash, salah seorang pencipta asal sistem proto-NFT yang diterbitkan oleh The Atlantic pada 2 April 2021.



Hakcipta iluminasi.com (2017)