Oleh pada 23 Jun 2019 kategori

Nama Albert Einstein rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai salah seorang saintis terhebat sepanjang zaman. Namun, mungkin tidak ramai yang tahu mengenai kisah atau latar belakang mengenai keluarganya.

Sebelum ini pihak Iluminasi ada berkongsi mengenai kisah Eduard Einstein, anak Albert Einstein yang terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di hospital sakit jiwa. Kali ini, kami ingin berkongsi pula kisah tragis Mileva Maric, iaitu isteri pertama Albert Einstein sebelum beliau diceraikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pelajar yang bijak sejak daripada kecil

mileva maric albert eintstein 41

Dilahirkan pada tahun 1875 di Titel, Austria-Hungary (sekarang Serbia). Mileva Einstein-Maric lebih dikenali sebagai isteri pertama Albert Einstein, salah satu saintis terhebat aba ke dua puluh. Maric berasal dari sebuah keluarga yang kaya di Serbia.

Sejak kecil, beliau menunjukkan kepintarannya dalam bidang akademik. Disebabkan kepandaiannya inilah,  beliau telah dibenarkan menghadiri sekolah pelajar lelaki di Zagreb ketika zaman remajanya. Beliau sangat cemerlang dalam bidang matematik dan fizik dan kemudian pergi ke Switzerland untuk meneruskan pengajiannya.

Selepas menamatkan pengajian menengah pada tahun 1896, beliau mendaftarkan diri di University of Zurich. Beliau hanya berada disana dalam tempoh yang singkat sebelum berpindah ke Zurich Polytechnic School (kemudian Swiss Federal Institute). Antara rakannya di universiti ialah Albert Einstein. Kedua mereka mempunyai minat yang sama terhadap sains.

Hubungan ditentang keluarga

mileva maric

Pada awalnya, segalanya kelihatan sempurna buatnya. Beliau telah menghabiskan 1 semester di Heidelberg, Germany. Walaupun berjauhan dengan Albert Einstein, mereka berdua kerap berhubung. Einstein memberikan nama timangan "Dollie" padanya dan mengharapkan agar beliau dapat segera menamatkan pengajian.

Daripada hanya berkawan, keduanya mula menjalinkan hubungan yang lebih serius. Walaupun kedua ibu bapanya menerima Einstein, ibu bapa Einstein tidak merestuai hubungan kedua mereka. Hal ini disebabkan Mileva Maric beberapa tahun lebih tua daripada Einstein dan beliau mempunyai latarbelakang agama dan budaya yang berbeza.

Walaupun hubungan mereka semakin intim, prestasi akademik beliau telah merudum dengan begitu teruk skali. Nasib malang menimpa Mileva Maric apabila beliau telah gagal dalam peperiksaan terakhirnya pada tahun 1900. Eintein pula berjaya menamatkan pengajian pada tahun tersebut dan mula mencari pekerjaan. 

Di Zurich, Mileva Maric juga turut bekerja separuh masa di makmal dan pada masa yang sama melakukan persediaan untuk mengambil kembali peperiksaannya. Malangnya, beliau gagal sekali lagi dalam peperiksaannya. Lebih merumitkan keadaan, beliau turut mendapat tahu bahawa dirinya telah mengandungkan anak Einstein.

Hidup dengan kedua ibu bapanya, Mileva Maric telah melahirkan anaknya yang diberi nama Lieserl pada awal tahun 1902. Tidak dapat dipastikan apakah nasib anaknya selepas itu. Ada yang mengatakan Lieserl telah diberikan kepada orang lain sebagaii anak angkat.

Kecurangan Albert Einstein bersama sepupunya

keluarga albert einstein

Albert Einstein dan Mileva Maric kembali bersama semula pada tahun 1903. Mereka berdua akhirnya melangsungkan perkahwinan di Bern, Switzerland. Pada tahun berikutnya, pasangan ini telah mendapat seorang pula anak lelaki yang diberi nama Hans Albert.

Albert Einstein pada ketika itu bekerja di pejabat pendaftaran paten. Kebanyakan masanya telah digunakan untuk belajar lebih mendalam mengenai fizik dan cuba membuktikan beberapa teori dalam bidang fizik. Pada tahun 1905, Einstein telah menerbitkan satu siri laporan kajiannya yang dikenali sebagai karya-karya beliau yang paling agung.

Pada masa inilah Einstein telah memperkenalkan teorinya tentang relativiti dan formula terkenal, E = mc2. Pasangan ini kemudian mendapat anak ketiga mereka yang diberi nama Eduard pada tahun 1910.                                                              

Pada tahun berikutnya, keluarga Einstein berpindah ke Prague di mana Albert menjadi profesor di sebuah universiti di Jerman. Einstein menjadi profesor di ETH di Zurich pada tahun 1912. Sekitar masa ini, Einstein dikatakan telah mula menjalin hubungan cinta dengan Elsa Lowenthal yang merupakan sepupunya sendiri.

Eintein akhirnya memohon perceraian pada tahun 1916. Sebahagian daripada perjanjian mereka adalah Maric akan menerima hadiah kewangan daripada Hadiah Nobel jika Einstein memenanginya. Einstein telah dianugerahkan Hadiah Nobel untuk Fizik pada tahun 1921 dan hadiah wang yang diterima telah diberikan pada Mileva Maric.

Kehidupan selepas perceraian dengan Einstein merupakan saat yang sukar baginya. Beliau terpaksa mengajar bagi menyara hidupnya. Pada tahun 1930, beliau sekali lagi diuji apabila anaknya Eduard telah didiagnos mempunyai penyakit schizophrenia dan terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di hospital sakit mental.

Perdebatan mengenai jasanya dalam kajian Albert Einstein

memorial mileva maric 171

Pada masa kini, ramai pihak yang membahaskan sejauh manakah sumbangan dan jasanya pada kajian-kajian yang dilakukan oleh Albert Einstein. Hal ini disebabkan Einstein menerbitkan laporan kajian agungnya 2 tahun selepas mereka berkahwin dan Mileva Maric juga dikatakan seorang ahli fizik yang hebat.

Terdapat beberapa petunjuk dalam surat yang dimiliki pasangan itu. Dalam satu surat, Einstein seringkali menyebut tentang "our work" (kerja kita) dan bukannya "my work" (kerja saya). Walau bagaimanapun, Mileva Maric sekali kali tidak pernah mengambil kredit untuk apa-apa kajian yang diterbitkan suaminya itu.

Perdebatan mengenai perkara ini bermula berdasarkan dakwaan ahli fizik Rusia Abram Ioffel, yang mengaku telah melihat karya-karya asal Albert yang ditandatangani "Einstein-Marity" (dalam bahasa Hungary bermaksud "Maric"). Ia masih tidak jelas sama ada ianya merujuk kepada dua orang atau hanya sekadar cara Einstein menandatangani namanya pada masa itu.

Kematian yang menyedihkan

Selepas bercerai dengan Einstein, duit dari hadiah Nobel yang diberi oleh Einstein telah habis digunakan untuk menanggung kos perubatan dirinya yang juga telah jatuh sakit selama lebih 2 tahun.

Beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menjaga Eduard sehingga Mileva meninggal pada tahun 1948. Yang lebih menyedihkan, kuburnya hanya dapat dikenalpasti pada tahun 2004 membuktikan namanya telah terpinggir dari catatan sejarah sebagai seorang saintis yang hebat.

Eduard pula meninggal dunia pada tahun 1965 di Hospital Sakit Mental Zurich Switzerland.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Biography
  3. The Independent
  4. Forbes



Hakcipta iluminasi.com (2017)