3 maut bas sekolah langgar lori kargo di bintulu

Sumber foto: Ihsan Pembaca BH Online

Seramai 21 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II melalui peristiwa memilukan di mana 2 sahabat dan pemandu bas sekolah yang dinaiki mereka meninggal dunia dalam sebuah kemalangan di Jalan Persisir Bintulu-Miri pagi semalam.

Insiden tersebut berlaku sekitar jam 6.30 pagi apabila bas yang dinaiki oleh 23 murid SK Kidurong II itu dari arah Samalaju melanggar belakang sebuah lori kargo berserta muatan paip besi yang sedang rosak dan berhenti di tepi jalan.

Mangsa yang maut ialah pemandu bas, Remnelan Samat, (55 tahun). Aien Laila Alesha Abdullah (11 tahun), dan Nurnadia Syakila (9 tahun).

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Zulkipli Suhaili, nahas tersebut juga menyebabkan 7 penumpang serta pemandu kedua bas cedera ringan, manakala 14 lagi mangsa terselamat.

“Kejadian berlaku apabila bas sekolah dari arah Samalaju menghala ke pusat bandar ini me­langgar belakang lori kargo rosak yang diletakkan di tepi jalan.

“Dalam kejadian ini, Remnelan dan Aien Laila Alesha maut di tempat kejadian, manakala Nurnadia Syakila disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Bintulu,” ujarnya semasa dihubungi hari ini.

Tambah Zulkipli, menurut siasatan awal, nahas disebabkan oleh kecuaian pemandu lori kargo yang menghentikan kenderaan itu di tepi jalan lalu menghalang bas terbabit.

Jelasnya, langgaran kuat mengakibatkan paip besi yang ditempatkan di belakang lori itu menembusi cermin hadapan bas sekolah terbabit.


Oleh itu, pemandu bas yang tersepit cedera parah di kepala dan tubuhnya.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama,” ulasnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber berita: Utusan Online


tags : , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)