Kredit foto: BH Online

Baru sahaja reda kehangatan kontroversi hubungan cintanya dengan Emma Maembong dan isu kemenangan di program Super Spontan yang dipertikai ramai, aktor Kamal Adli berhadapan pengalaman mendebarkan membabitkan kereta dipandu pemandunya pada minggu lalu.

Kamal Adli atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli memberitahu, keretanya nyaris terbabas kerana ingin mengelak tayar sebuah lori yang terjatuh dalam kejadian yang berlaku di laluan Nilai-Seremban di Lebuh Raya Utara Selatan.

Kamal berkata, ketika itu dia dan pembantunya sedang dalam perjalanan balik ke rumah selepas tamatnya sebuah penggambaran, dalam lingkungan jam 5 pagi.

"Saya dan pembantu dalam perjalanan pulang ke rumah. Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba tayar daripada lori jatuh ke permukaan jalan dan pembantu yang memandu kereta, cuba mengelak.

"Alhamdulillah, syukur saya tidak cedera cuma terkena 'airbag' yang terbuka secara automatik dalam kejadian itu.

"Saya fikir, kadang kala kecuaian begini boleh membuatkan kereta terbabas jika kita panik," katanya memetik laporan portal BH Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran produk pewangi jenama AJ De Parfum yang berlangsung di Subang Bestari, Shah Alam.  

elak tayar daripada lori kamal adli kemalangan 2

Kredit foto: Instagram Kamal Adli

Mengenai perkembangan lain, Kamal yang kemenangannya di program Super Spontan Superstar dipertikai, berkata dia enggan lagi melayan isu terbabit.

"Saya sertai program itu bagi mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa. Kemenangan itu bonus buat kerjaya saya.

"Soal layak atau tidak, saya enggan komen, terpulang kepada mereka di luar sana untuk menilai. Lagipun, mulut orang kita tidak dapat hendak tutup," katanya.

Menerusi pentas akhir Super Spontan Superstar 2017, Kamal mengenepikan pelawak terkemuka, antaranya Fad Bocey, Achey, Mamak Puteh, Syuk Balas dan Shahrul Shiro.

Kemenangan itu melayakkan beliau meraih hadiah berupa wang tunai RM100,000.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)