Pada 12 November 2021, satu insiden yang berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) mengejutkan negara kita.
Insiden itu menampakkan seorang pelajar sekolah berusia 7 tahun di Bandar Baru Salak Tinggi, dirempuh dan dilenyek oleh van sekolah yang baru saja dituruninya, cukup sukar untuk ditonton oleh sesiapa saja.
Seperti yang telah sedia maklum, pelajar perempuan itu telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Pemandu van terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami tidak ingin membincangkan status pelesenan van terbabit sama ada statusnya sah atau tidak digunakan sebagai kenderaan van sekolah, kerana jelas van itu tidak menepati ciri-ciri yang ditetapkan JPJ. Kita serah kepada pihak berwajib bagi memperjelaskan isu tersebut.
Dari apa yang dapat kita saksikan dalam video - pemandu van itu kelihatan agak tergesa-gesa untuk beredar sehingga tidak menyedari ada pelajar di depan kenderaan yang dipandunya.
Kami lebih berminat untuk membincangkan satu persoalan berbeza yang bermain di minda kami, berkait dengan rasa nak cepat itu.
Selamatkah van dan bas sekolah di Malaysia?
Penulis seorang ayah kepada anak-anak yang masih belum bersekolah, namun rasa risau menantikan risiko mereka perlu menaiki bas sekolah sering bermain difikiran penulis.
Di kawasan rumah penulis, penulis menyaksikan bagaimana kegopohan segelintir pemandu kenderaan yang membawa kanak-kanak ke sekolah, sama ada yang berlesen atau tidak berlesen.
Apa yang agak membimbangkan, kenderaan mereka biasanya juga diisi padat pelajar melebihi muatan dan dipandu dengan agak laju - dengan majoriti pelajar tidak memakai tali pinggang keselamatan.
Takut untuk membayangkan bagaimana rasanya ibu bapa yang perlu bergantung kepada pemandu kurang sabar ini, dipertanggungjawabkan menghantar dan mengambil anak-anak dalam urusan sekolah.
Apa yang lebih menakutkan penulis, disebabkan rasa tergesa-gesa nak cepat - ada pemandu-pemandu ini yang tidak lagi rasa malu meninggikan suara memarahi anak-anak yang melambatkan mereka.
Pelajar sekolah diherdik sekiranya lambat turun dan naik, mengakibatkan kanak-kanak ini tampak kelam-kabut bergegas dan membahayakan diri sendiri, dek takut kena marah.
Kami bukanlah ingin mengatakan pemandu yang secara tidak sengaja terlanggar pelajar di Salak Tinggi itu tergolong dalam kumpulan ini, tetapi jelas pemandu itu tergesa-gesa beredar tidak sempat memeriksa apa yang ada di depannya.
Budaya tergesa-gesa ini pada pandangan penulis, adalah punca utama kenapa insiden-insiden malang sebegini sering terjadi.
Dah terlambat baru nak cepat
Satu kritikan berkenaan budaya ini disuarakan komposer terkenal Khairil Ridzwan Anuar dalam lagu ciptaannya yang memainkan pepatah "sudah terlambat baru nak cepat."
Pengurusan dan ketepatan masa adalah sesuatu yang memang menjadi rutin kita setiap hari. Majoriti antara kita tidak suka diri sendiri terlambat dan kami yakin anda pun mudah menyampah dengan sesiapa yang terlambat.
Untuk berjaya menepati masa, seseorang itu jelas sekali perlu bermula awal dalam situasi trafik khasnya di kawasan ibu kota Malaysia. Tetapi nak mula awal ni bukan mudah.
Ramai antara kita termasuklah penulis sendiri sering gagal bermula langkah awal dalam melakukan sesuatu. Untuk mengejar masa, kita mengamalkan sikap tergesa-gesa - yang akhirnya membawa kepada perangai kelam-kabut dan mudah cuai.
Ketika kita kelam-kabut, risiko untuk kita melakukan kesilapan akibat kecuaian sahlah lebih tinggi. Sekiranya kesilapan itu tidak membahayakan sesiapa, tak mengapalah tetapi sudah acap kali kelam-kabut masyarakat kita membunuh nyawa-nyawa tidak berdosa.
Setiap tahun akan ada kedengaran kes seperti ibu bapa tertinggal anak dalam kereta, mengakibatkan anak yang terkunci mati kepanasan akibat strok haba.
Dalam sebuah kes baru berlaku bulan Oktober tahun 2021 seorang kanak-kanak OKU meninggal dunia di Bandar Baru Sendayan, selepas ditinggalkan dalam kereta secara tidak sengaja oleh pemandu van yang tidak menyedari kanak-kanak itu masih berada dalam kenderaan miliknya.
Kanak-kanak malang itu sepatutnya dihantar ke pusat jagaan transit meninggal dunia selepas terkurung lebih 3 jam.
Insiden seperti di Salak Tinggi dan Sendayan yang berlaku pada pendapat penulis, boleh dielakkan seandainya pemandu yang terlibat dapat meluangkan sedikit masa untuk memeriksa laluan depan atau ruangan dalaman kenderaannya sebelum bertindak.
Malang tidak berbau perbuatan yang sepatutnya mengambil masa hanya beberapa saat gagal dilaksana. Dua nyawa terkorban hanya kerana kita tidak mengamalkan sikap tenang dalam meneliti dan memeriksa sesuatu, kerana 'tenang' memakan masa.
Budaya yang menggigit diri sendiri
Pemandu penghantar makanan biasanya menjadi 'lauk utama' kritikan apabila kita membincangkan berkenaan rasa kurang sabar orang kita atas jalan raya.
Penunggan motorsikal sama ada yang beruniform hijau atau merah jambu kerap dilihat melanggar lampu merah, memandu agak berbahaya untuk memastikan pesanan dihantar dengan tepat masa.
Jika kritikan dikeluarkan terhadap perbuatan mereka itu, ada dua alasan akan kedengaran : takut pelanggan yang memesan marah dan alasan kedua - takut rekod prestasi terjejas sehingga menggugat waktu kerja dan komisyen yang telah ditetapkan syarikat.
Jadi penunggang penghantar makanan ini ramai yang memilih untuk menyabung nyawa, dalam memastikan pengurusan masa mereka terjaga. Mereka seakan lupa, mereka juga menyabung nyawa orang lain juga dalam tindakan mereka.
BAGAIMANAPUN, untuk menyalahkan penghantar makanan yang gopoh semata-mata tak boleh juga.
Ramai antara kita sebagai pelanggan mereka tidak segan silu sanggup memaki penghantar-penghantar ini yang bersusah payah meredah terik dan panas cuaca, sekiranya makanan yang kita hantar lambat tiba.
Dalam erti kata lain, ada antara mereka langgar undang-undang kerana kita yang menggesa mereka cepat. Kita lapar dan mahu kenyang. Jika mereka lambat, ada antara kita mudah naik berang.
Rantaian maki memaki sesama sendiri
Aplikasikan situasi serupa dalam rutin lain seperti ibu bapa yang mudah menyinga seandainya pemandu van sekolah lambat menghantar anak mereka ke rumah.
Atau ibu bapa yang marah sekiranya pemandu van terlambat menjemput pelajar, mengakibatkan ibu bapa lambat dapat bertolak ke tempat kerja. Sampai ke tempat kerja, majikan pula marah kita tadi ekoran kelambatan mereka dan mengugut untuk memotong gaji sekiranya perkara itu diulangi.
Apa yang cuba penulis tunjukkan di sini?
Dalam setiap peringkat masyarakat kita, tekanan mahu cepat dan tergesa-gesa ini saling berkait antara satu sama lain; akhirnya menggalakkan kita semua hidup dalam situasi yang menjurus kepada kelam-kabut.
Kita yang sedia ada dewasa dah biasa kelam-kabut, mendidik generasi muda kita hidup serupa.
Mereka akan mewarisi perangai kita, terus kelam-kabut tergesa-gesa membesar dalam tekanan akan melatih individu-individu berperangai sama seperti mereka dan kita, apabila mereka dewasa kelak.
Apa yang dapat kita saksikan kini; pemandu van terlanggar pelajar atau tertinggal kanak-kanak, ibu bapa yang terlupa anak dalam kereta, majikan yang gagal memahami situasi masalah pekerja, penunggang penghantar makanan yang melanggar trafik, pelanggan yang marah-marah lapar menunggu makanan mereka...
Semua itu adalah akumulasi daripada kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat untuk meneladani sikap sabar.
Ubah jadual atau amalkan sabar?
Bagi sesetengah pihak, mereka melihat solusi kepada masalah ini adalah dengan mengamalkan pengurusan masa dengan betul. Sedangkan realitinya tidaklah semudah itu bukan?
Ada banyak sebab perancangan dalam hidup kita yang akan berubah hanya dengan satu gangguan kepada masa kita, sehingga mengakibatkan hari itu kita rasa seakan huru-hara kelam-kabut terkejar sini sana.
Faktor-faktor seperti pemandu van yang terlambat menjemput anak atau penghantar makanan yang lewat bila kita lapar, trafik sesak sehingga mengakibatkan kita lambat tiba di tempat kerja - semuanya adalah perkara yang di luar kawalan kita.
Apa yang penting, kita cuba menepati masa.
Tetapi realitinya kita tidak akan mampu mengubah sikap kelam-kabut dan kurang tenang masyarakat kita atas jalan raya, dengan mendidik orang ramai untuk keras menepati masa. Sebaliknya didiklah diri sendiri untuk bersabar dalam setiap perkara.
Apabila kita sudah mula diserang rasa kelam-kabut, sabar. Bawalah bersabar apabila kita rasa hendak mengherdik orang yang melambatkan urusan kita, kerana dengan cara itu saja kita dapat menghentikan pihak lain daripada turut sama kelam-kabut seperti apa yang kita rasa.
Kita perlu ajar diri kita bersabar, kerana waktu yang kita kejar-kejar dengan kelam-kabut tidak akan menanti dan senantiasa mendahului kita. Jika pihak lain terlambat sehingga melambatkan kita - maafkan!
Harus diingatkan, menepati masa adalah satu sikap yang harus kita amalkan namun jika diberi pilihan pada penulis - mendidik masyarakat kita bersabar dalam setiap urusan dan memaafkan kerana kelambatan adalah lebih mudah, kerana perubahan itu boleh datang dari diri kita sendiri tanpa ada gangguan dari faktor-faktor luaran.
Setiap kali kita rasa kelam-kabut dan tergesa-gesa ketika memandu, tarik nafas dalam-dalam dan tenangkan minda. Mana tahu 5 saat anda duduk memeriksa sekeliling anda itu dapat menyelamatkan satu nyawa.
Amalkanlah sikap biar lambat asal selamat yang sebenar-benarnya, menepati pesanan nenek moyang kita yang sudah diajarkan sekian lama.
Rujukan