27 Oktober 1962 adalah antara tarikh paling penting dalam sejarah manusia di mana merupakan hari peradaban manusia berada paling hampir dengan kehancuran.
Jika peristiwa-peristiwa pada hari itu berlaku sedikit berbeza atau seorang manusia melakukan keputusan yang berbeza, kita mungkin tidak wujud pada hari ini.
Ini kerana pada tarikh berkenaan, dunia berada dalam situasi yang paling hampir dengan perang nuklear. Situasi yang hampir membawa kepada bencana ini bermula tiga tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1959.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika itu, pemerintah Cuba yang sebelumnya digulingkan oleh parti komunis Marxis baharu diketuai Fidel Castro, sekaligus menjadikan Cuba sebagai negara pertama di Hemisfera Barat yang secara terbuka bersekutu dengan Kesatuan Soviet (USSR).
(Fidel Castro)
Bagi Amerika Syarikat, sebuah negara komunis yang terletak 145 kilometer dari tanahnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Dan pelbagai cubaan oleh kerajaan AS untuk membunuh Casto atau menggulingkan pemerintahannya seperti pencerobohan Bay of Pigs pada tahun 1961 semuanya gagal.
Cubaan-cubaan ini meyakinkan Castro bahawa AS akan terus cuba dan melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Cuba pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, USSR bukan sahaja bimbang tentang kemungkinan pencerobohan AS ke atas Cuba, tetapi juga pengerahan peluru berpandu nuklear Amerika di Itali dan lebih membimbangkan mereka, di Turki.
Peluru-peluru berpandu tersebut dalam jarak yang sangat hampir dari Ukraine dan selatan Rusia, dan ketika itu Amerika memiliki 170 peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di daratan AS yang mampu menyerang di mana sahaja di dalam USSR.
(Lokasi senjata nuklear Kesatuan Soviet di Cuba)
USSR hanya memiliki berpuluh-puluh ICBM sahaja pada ketika itu, malah tidak memiliki kemampuan untuk menyerang daratan AS.
Jalan penyelesaian untuk mengimbangan perbezaan dan kemampuan menyerang adalah sangat jelas bagi USSR, iaitu menghantar peluru berpandu yang mereka miliki ke sekutu baharu iaitu Cuba, yang berada cukup hampir untuk menyerang mana-mana bahagian AS, sama seperti AS meletakkan peluru berpandu mereka di Turki.
Masalah yang dihadapi USSR adalah mereka tidak pasti bagaimana AS akan bertindak balas jika mengetahui terdapat peluru berpandu nuklear 145 kilometer dari pantai mereka.
Dengan ini, USSR memulakan penghantaran peluru berpandu tersebut secara rahsia bermula September 1962.
Ini menandakan permulaan kepada pertaruhan paling berbahaya yang pernah dilakukan oleh manusia dengan keseluruhan nasib dunia yang dipertaruhkan.
Dan untuk pertama kali dalam sejarah AS, negara ini berhadapan dengan ancaman kehancuran sepenuhnya oleh kuasa luar.
Bukti fotografi pertama peluru berpandu USSR oleh pesawat perisik Amerika yang terbang di atas Cuba diperoleh pada 14 Oktober dan Presiden AS John F. Kennedy diberitahu tentang perkara ini pada 16 Oktober ketika beliau mengadakan pertemuan untuk membincangkan pilihan tindak balas AS.
Antara pilihan yang ada adalah tidak melakukan apa-apa dan menggunakan diplomasi untuk memaksa US untuk berundur, mengancam Castro dengan pencerobohan, melakukan sekatan di Cuba untuk mengelakkan sebarang penghantaran peluru berpandu baharu, menggunakan serangan udara untuk memusnahkan lokasi peluru berpandu yang diketahui atau menggunakan tentera AS untuk melancarkan pencerobohan skala besar ke Cuba untuk memusnahkan lokasi peluru berpandu dan menggulingkan Castro dan rejimnya.
Ketua Kakitangan Bersama AS sebulat suara dalam menyetujui pilihan pencerobohan tetapi hanya Kennedy sahaja yang tidak setuju.
Pada masa yang sama, AS tidak menyedari bahawa Castro sendiri yakin bahawa AS sedang merancang untuk menceroboh dan mendesak USSR untuk melakukan tembakan nuklear awal terhadap bandar-bandar AS sebagai persediaan.
Sama seperti Kennedy, pemimpin USSR pada ketika itu iaitu Nikita Khrushchev teragak-agak untuk melakukannya.
Kemudian Kennedy membenarkan sekatan Cuba yang terhad pada 22 Oktober yang menghentikan kapal yang disyaki membawa senjata dan Khrushchev mengumumkan bahawa USSR akan mengabaikan sekatan ini.
Dalam surat yang marah kepada Kennedy, Khrushchev menulis, "Pelanggaran kebebasan untuk menggunakan perairan antarabangsa dan ruang udara antarabangsa adalah tindakan pencerobohan yang mendorong manusia menuju jurang perang peluru berpandu nuklear dunia."
Dengan ini, bermulalah enam hari paling tegang dalam Perang Dingin.
Sistem amaran nuklear dinaikkan kepada "DEFCON 2" buat kali pertama dalam sejarah AS, tahap di mana hanya satu langkah sahaja sebelum perang nuklear habis-habisan diisytiharkan.
Juga untuk kali pertama dalam sejarah negara Uncle Sam, pengebom nuklear berada dalam keadaan berjaga-jaga selama 24 jam dengan beberapa daripadanya mengelilingi USSR dan bersedia untuk menjatuhkan nuklear pada notis 15 minit.
145 ICBM AS bersedia untuk dilancarkan dengan beberapa daripadanya disasarkan terus ke Cuba.
Pada 25 Oktober, USSR mula mencabar sekatan AS, malah beberapa kapal mereka berjaya melepasi sekatan itu tanpa disedari.
Keesokan harinya, AS memulakan persiapan penuh untuk menceroboh Cuba, sementara pada hari yang sama Castro terus mendesak USSR melalui telegram untuk melancarkan serangan nuklear pertama ke atas AS.
(Fidel Castro dan Nikita Khrushchev)
Dan akhirnya dalam suasana ketegangan yang melampau ini, 27 Oktober tiba untuk menentukan nasib seluruh dunia sehinggalah ke masa kita hidup ketika ini.
Pada tarikh tersebut, sebuah pesawat pengintip yang dipandu oleh Mejar Rudolph Anderson ditembak jatuh oleh peluru berpandu USSR.
Dalam hari yang sama, salah sebuah kapal selam B-59 milik USSR yang melepasi sekatan AS di Cuba beberapa hari sebelumnya telah ditemui oleh pihak AS.
Satu skuad terdiri daripada 11 kapal pemusnah dan sebuah pengangkut pesawat mengejar kapal USSR tersebut, membuatkan ia menyelam ke dalam air.
Untuk memberikan isyarat bahawa mereka mahu kapal selam tersebut timbul semula dan mengenal pasti kapal tersebut sebagai sebahagian daripada sekatan, salah sebuah kapal pemusnah AS melakukan serangan "depth charge" olok-olok terhadap kapal selam B-59 USSR tersebut.
(Kapal selam B-59 milik Kesatuan)
Depth charge adalah senjata perang anti-kapal selam, namun tindakan tersebut tidak akan mengapa-apakan kapal selam USSR kerana ia hanyalah olok-olok, namun perkara ini tidak diketahui oleh mereka yang berada di dalamnya.
Mereka menyangkakan bahawa serangan tersebut adalah serangan sebenar dan oleh kerana mereka telah terputus hubungan dengan Moscow beberapa hari sebelumnya, sebahagian besar daripada mereka menyangkakan bahawa perang telah pun bermula di atas darat.
Kapal selam mereka dilengkapi dengan torpedo T5 dengan kepala peledak 5 kilotan.
Peluru berpandu ini mempunyai kekuatan sepertiga daripada bom yang dijatuhkan ke atas bandar Hiroshima dan ia mungkin akan menghancurkan sebahagian besar skuadron tentera laut AS, membunuh ribuan pelaut AS dan memusnahkan belasan kapal termasuk pengangkut pesawat.
(Vasili Arkhipov)
Jika perang telah bermula di atas darat seperti yang mereka percaya dan peluru berpandu telah pun dilancarkan, maka tidak kisah lah jika mereka melancarkan serangan nuklear ke atas kapal-kapal AS yang kelihatan sedang menyerang mereka.
Terdapat tiga pegawai dalam kapal selam tersebut yang perlu bersetuju untuk melancarkan serangan nuklear.
Dua daripadanya iaitu kapten dan pegawai politik membenarkan serangan itu, namun pegawai ketiga iaitu Vasili Arkhipov, enggan melakukannya.
Arkhipov adalah komander seluruh kapal selam USSR dan secara kebetulan dia memilih secara rawak untuk menaiki kapal selam B-59 pada hari tersebut.
Biasanya pelancaran senjata nuklear dalam kapal selam USSR hanya memerlukan kebenaran dua komander berpangkat paling tinggi dalam kapal, iaitu kapten dan pegawai politik.
Akhirnya, mereka mengalah dan oleh kerana mereka memerlukan udara selepas terlalu lama berada di dalam air, kapal selam B-59 USSR tersebut timbul semula dan kembali ke Kesatuan Soviet.
Bayangkan jika Arkhipov berserah kepada tekanan untuk membuat keputusan sama seperti dua lagi pegawai USSR, atau memilih untuk berada dalam kapal selam yang lain, pastinya serangan nuklear dilancarkan oleh USSR terhadap armada tentera laut AS.
(Anak dan cucu Arkhipov, Elena dan Sergei mewakilinya menerima anugerah Future of Life pertama)
Dalam suasana tegang yang semakin memburuk itu, diyakini bahawa AS akan bertindak balas dengan melancarkan serangan nuklear mereka sendiri terhadap Cuba dan mungkin juga ke atas USSR, yang membawa kepada kehancuran seluruh umat manusia yang ada.
Sebagai penghargaan di atas tindakannya dalam peristiwa ini, Arkhipov menerima "Future of Life Award" pertama, yang disampaikan selepas kematiannya kepada keluarganya pada tahun 2017.
Ditawarkan oleh Future of Life Institute, penghargaan ini mengiktiraf langkah-langkah luar biasa, yang sering dilakukan walaupun mempunyai risiko peribadi dan tanpa ganjaran yang jelas, untuk melindungi masa depan kolektif umat manusia.
Rujukan:
1. History
2. Youtube
3. Britannica