Pada 8 Mac 1968, kapal selam berkuasa diesel milik Kesatuan Soviet iaitu K-129 dalam misi rondaan tempur peluru berpandu balistik yang ketiga dan terakhirnya, kira-kira 2,510 km barat laut Hawaii.
K-129 membawa 98 anak kapal, 3 peluru berpandu nuklear dengan kepala peledak dengan kekuatan satu megatan, torpedo nuklear dan peralatan kriptografi Rusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Apabila K-129 tidak menjawab panggilan laporan radio, pihak berkuasa tentera laut Soviet di Kamchatka menjadi sangat cemas.
Mereka dengan serta-merta melancarkan misi udara, permukaan, dan bawah permukaan air untuk mencari kapal selam tersebut.
Malangnya, pihak Soviet tidak tahu di mana lokasi untuk mencari K-129. Sebaliknya, Amerika Syarikat tahu lokasi tersebut dengan tepat.
Pada hari kehilangan K-129, hidrofon (mikrofon yang mengesan gelombang bunyi di bawah air) yang dipantau oleh Pusat Aplikasi Teknikal Tentera Udara Amerika Syarikat (AFTAC) telah mengesan bunyi yang mana mereka yakin sebuah kapal selam telah meletup.
Pihak berkuasa A.S. dengan pantas berjaya mencari lokasi bangkai kapal selam K-129 yang mana terletak beratus-ratus kilometer dari lokasi yang dicari oleh Tentera Laut Soviet.
Selepas dua bulan mencari, Soviet berputus asa dan akhirnya mengisytiharkan bahawa kapal selam mereka hilang bersama-sama anak kapal dan segala isinya.
Tentera Laut A.S. kemudiannya campur tangan dan pada Ogos, 1968, mereka menghantar kapal selam pengintip khas, USS Halibut, untuk melakukan tinjauan.
(USS Halibut)
USS Halibut mengambil beribu-ribu gambar tapak bangkai K-129 dan walaupun kapal selam itu terdampar di kedalaman 5,181 meter, ia masih kekal utuh.
Hanya bahagian enjin belakangnya sahaja yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan. Di bahagian luarannya tergantung sebuah torpedo nuklear.
K-129 adalah kapal selam peluru berpandu strategik pertama yang telah hilang dan ia membawa peluru berpandu nuklear Serbia SS-N-5, jenis peluru berpandu yang sangat didambakan oleh AS.
Selain itu, AS juga berminat dengan peralatan kriptografi Soviet.
Sebelum Azorian, misi menyelamatkan kapal yang paling dalam adalah sedalam 75 meter, dan satu-satunya objek yang diselamatkan bagi kedalaman seperti K-129 adalah sebuah satelit yang mana beratnya hanyalah beberapa ratus kilogram.
Dan dalam misi ini, K-129 terdampar pada kedalaman 5,181 meter, dengan berat mencecah 2,000 tan.
Presiden AS pada ketika itu, Richard Nixon, telah dirujuk dan dia membenarkan percubaan (secara haram) untuk "mencuri" K-129.
Misi ini di bawah kawalan Agensi Perisikan Pusat A.S. (CIA) dan bukannya Tentera Laut A.S.. Dan dengan ini, bermulalah apa yang dikenali sebagai Projek Azorian.
Lahirnya Projek Azorian
(Howard Hughes)
Projek Azorian merupakan operasi rahsia terbesar yang dilakukan A.S. sejak projek nuklear iaitu Projek Manhattan semasa Perang Dunia II.
Ia juga merupakan salah satu rahsia Perang Dingin yang paling dalam dan menelan kos yang tersangat tinggi, sekitar $800 juta bersamaan dengan RM16 bilion pada hari ini.
Untuk menjayakan projek ini, CIA mendekati ahli industri hebat iaitu Howard Hughes untuk membina sebuah kapal pemulihan di bawah syarikatnya, Global Marine Development.
CIA mencipta cerita untuk menutup rahsia ini dengan menyatakan bahawa tujuan kapal baharu ini adalah untuk mengekstrak nodul mangan dari dasar laut.
Dan pada tahun 1972, pembinaan Glomar (Global Marine) Explorer pun bermula.
(Glomar Explorer)
Glomar Explorer memulakan pelayaran dari Long Beach, California pada 20 Jun 1974, menuju ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, operasi pemulihan tidak dapat dimulakan sebelum presiden Richard Nixon kembali dari Moscow pada 3 Julai.
Dimaklumkan oleh seorang pengintip yang tidak dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini, beberapa kapal Soviet mengikuti dan mengamati setiap langkah Glomar.
Kapal tersebut termasuklah Chazhma, yang mana anak kapalnya mengambil gambar dari atas dek dan dari helikopter yang mengelilingi Glomar, serta kapal tunda tentera laut Soviet, SB-10.
Jika tiba-tiba Soviet mencabar kapal Glomar, Tentera Laut AS telah memutuskan bahawa satu-satunya pilihan mereka adalah untuk menenggelamkan kapal tersebut dan kesemua kru di dalamnya langsung tidak mengetahui tentang rancangan ini.
Pihak AS memberitahu Soviet bahawa ia merupakan satu ekspedisi eksperimen perlombongan, dan mereka percaya.
Perlu diketahui bahawa ketegangan antara AS dan Kesatuan Soviet pada ketika ini dalam Perang Dingin tidak lagi memuncak.
Dengan memiliki peralatan kestabilan ketepatan, Glomar Explorer mampu untuk mengekalkan kedudukan pegun di atas satu titik di dasar lautan walaupun angin bertiup kencang.
(Moon pool)
Namun, ciri yang paling penting pada Glomar adalah sebuah moon pool, yang terletak di bahagian tengah kapal dan jauh daripada mata yang mengintip.
Moon pool adalah sebuah kolam yang direka khas di atas lantai kapal untuk memberikan akses kepada air di bawah, yang membolehkan juruteknik atau penyelidik menurunkan peralatan dan instrumen ke dalam laut.
Kolam ini bersaiz sebuah padang bola yang mempunyai lantai yang boleh ditarik balik yang membenarkan ia dibuka ke laut di bawah.
Dari kolam ini, peranti tenggelam yang dihasilkan oleh Lockheed Corporation dan mempunyai kuku gergasi, diturunkan ke dasar laut.
Ia kemudiannya menarik K-129 sepanjang 91 meter dan membawanya naik ke permukaan dengan perlahan-lahan.
Selama beberapa hari, kapal selam seberat 2,000 tan itu berjaya diangkat setinggi 1,600 meter, namun mempunyai lebih 3,500 meter lagi untuk ditarik.
Dan secara tiba-tiba, bencana melanda.
Ketika K-129 ditarik melebihi 2,042 meter, dua daripada lengan yang mencengkam kapal selam itu patah dan sebahagian besar bahagian depan K-129 sepanjang jatuh semula ke dasar lautan.
Bersamanya, ia membawa sebuah peluru berpandu, sistem kawalan pelancaran peluru berpandu, dan mungkin beberapa peralatan kriptografi.
Jurutera menentukan bahawa kegagalan itu disebabkan oleh dua perkara iaitu dasar laut lebih dahsyat daripada yang dijangkakan sehinggakan merosakkan lengan pengangkat tersebut.
Yang kedua adalah keluli yang digunakan untuk membuat lengan itu menjadi rapuh pada kedalaman tersebut.
Apa yang tinggal dalam lengan pengangkat pada ketika itu hanyalah kira-kira 12 meter daripada kapal selam K-129.
Secara kebetulan, ia juga mengangkat beberapa nodul mangan.
Pihak AS meminta Glomar Explorer untuk melakukan angkatan sekali lagi namun para jurutera memberitahu jika mencuba sekali lagi, mereka mungkin akan pulang dengan tangan kosong.
Jadi, CIA terpaksa menyerah dan mengarahkan untuk meneruskan apa yang sedang dilakukan.
Selepas berjaya mengangkat keluar sebahagian kecil K-129, kru-kru kapal mula melakukan pencarian dalam bangkai tersebut.
Tiada peluru berpandu dalam bahagian kapal selam tersebut, tetapi mereka menemui torpedo nuklear bersamanya.
Ketika kru-kru Glomar Explorer mengumpulkan peralatan yang mungkin bernilai bagi CIA, mereka juga menemui mayat 6 anak kapal K-129.
(Cebisan bangkai kapal selam Soviet K-129 di dasar laut)
Sebelum Glomar Explorer kembali ke pelabuhan, para pelaut Soviet tersebut dikebumikan di laut dengan penuh penghormatan ketenteraan, dengan kedua-dua bendera angkatan laut Soviet dan bendera Amerika dipamerkan, serta lagu kebangsaan 2 negara itu dimainkan.
Upacara ini direkodkan, dan pada tahun 1992, kerajaan A.S. memberikan kerajaan Rusia sebuah video yang menunjukkan kru kapal Glomar Explorer menguburkan anak kapal K-129 dengan penuh hormat.
Buku "The Taking of K-129" yang ditulis oleh Josh Dean diterbitkan pada tahun 2017 dan menyediakan sebahagian besar butiran tentang projek ini.
Namun, kandungan yang tepat mengenai apa yang diperoleh daripada K-129 masih kekal rahsia.
CIA sendiri menganggap bahawa dokumentari Perkhidmatan Penyiaran Awam (PBS) berjudul "Azorian: The Rising of K-129" oleh ahli sejarah ketenteraan dan perisik Norman Polmar serta ahli dokumentari Michael White, sebagai kisah yang paling tepat tentang percubaan untuk mengangkat K-129.
"Respon Glomar"
Pada tahun 1975, seorang wartawan yang berpangkalan di Washington untuk majalah Rolling Stone bernama Harriet Phillippi Ryan, telah memfailkan permohonan Kebebasan Maklumat (FOIA) ke atas maklumat mengenai Glomar Explorer.
Dalam frasa pertama yang dinyatakan CIA, mereka enggan untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan sebarang operasi sedemikian.
Dan sejak itu, jawapan sebegini dikenali sebagai "respon Glomar".
Pada September 1976, Pentadbiran Perkhidmatan Am AS (GSA) memindahkan Glomar ke Angkatan Laut untuk disimpan.
Pada tahun 1997, kapal itu telah ditukarkan menjadi kapal penggerudian laut dalam sehingga kedalaman 3,500 meter, 610 meter lebih dalam berbanding mana-mana rig sedia ada yang lain.
Rujukan: