Pada 25 Disember 1991, dunia menyaksikan sebuah negara komunis paling berkuasa dalam sejarah peradaban manusia akhirnya runtuh. Berikutan perletakan jawatan Mikhail Gorbachev, Union of Soviet Socialist Republics (USSR) terbubar menjadi 15 negara bebas, menandakan kejatuhan persekutuan tersebut, dan mengakhiri Perang Dingin yang berlanjutan selama 44 tahun, antara kuasa-kuasa Timur dan Barat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keterbantutan Ekonomi, Sosial dan Politik USSR di Bawah Leonid Brezhnev

mikhail gorbachev pemimpin soviet union 695

Sebab utama kejatuhan USSR seringkali menjadi topik perdebatan, namun ramai menyalahkan pemimpin ke-8 dan terakhir USSR, Mikhail Gorbachev sebagai individu yang bertanggungjawab. Pada tahun 1985, Gorbachev telah dilantik menjadi Setiausaha Agung (pemimpin tertinggi USSR) parti komunis tersebut. Bagi kebanyakan pihak, keputusan ini melegakan mereka, memberi harapan cerah untuk masa depan USSR.

Beliau berjanji untuk melancarkan program-program reformasi, untuk melakukan perubahan dalam kerajaan. Soviet pada waktu itu mengalami kemunduran dari segi ekonomi, sosial dan politik, selepas mengalami suatu tempoh masa yang dikenali sebagai 'Era of Stagnation' (Era Terbantut). Era Terbantut ini bermula dan menjadi parah ketika pemerintahan Setiausaha Agung ke-5 USSR, iaitu Leonid Brezhnev.

leonid brezhnev pemimpin soviet union 197

Ianya berlaku kerana pemimpin-pemimpin di zamannya berasa terlalu selesa dengan kedudukan politik mereka, dan tidak merasakan bahawa mereka perlu melaksanakan program-program ekonomi mahupun perubahan. Ini bermaksud, tiada industri inovasi, menjadikan USSR secara politik dan ekonomi lebih terkebelakang berbanding negara-negara Barat.

Soviet Union juga pada masa yang sama sedang mengharungi Perang Dingin dengan dunia Barat, di mana perlumbaan angkasa dan tenaga nuklear antara keduanya telah menyebabkan USSR menggunakan kebanyakan sumber dan dananya untuk tujuan tersebut. Ketika Gorbachev mengambil alih, beliau cuba untuk mengurangkan penglibatan USSR dalam perang tersebut, dan antara langkah pertama yang diambil beliau adalah mencadangkan pengurangan dana pelaburan untuk pembangunan senjata nuklear sebanyak 50 peratus.

Penstrukturan Semula Ekonomi di Bawah Gorbachev

reformasi perestroika gorbachev

Walaubagaimanapun, cadangan beliau itu telah ditolak pada tahun 1986. Keterbantutan ekonomi ditambah dengan bajet ketenteraan yang sangat tinggi telah menyebabkan kelumpuhan USSR, yang mana Gorbachev berusaha keras untuk menangani masalah ini melalui reformasi yang diperkenalkan beliau. Reformasi tersebut terbahagi dalam 2 bentuk, iaitu 'perestroika' dan 'glasnost'.

Perestroika, atau restructuring yang membawa maksud penstrukturan semula dalam bahasa Malaysia, membolehkan sebahagian daripada ekonomi yang dirancang secara berpusat dibuka kepada syarikat swasta. Ekonomi yang dirancang secara berpusat sebenarnya tidak berupaya untuk memenuhi permintaan populasi, daripada penghasilan, kepada harga barangan. Dengan memperkenalkan mekanisme pasaran (bekalan dan permintaan), Gorbachev berharap ekonomi negara dapat dihidupkan semula.

mcdonald s pertama di moscow soviet union

Sebahagian daripada perestroika adalah bertujuan untuk menggalakkan usahasama (JV), dengan memberi permit kepada syarikat-syarikat luar untuk membuka perniagaan mereka di USSR. Langkah ini kemudiannya memperlihatkan pembukaan McDonald's yang pertama di Moscow pada tahun 1990. 2 tahun sebelumnya, perniagaan secara koperasi juga telah dibenarkan, membolehkan perniagaan secara kecil-kecilan dijalankan.

Perniagaan-perniagaan ini dibenarkan untuk menetapkan harga barangan mereka sendiri (sebelumnya tidak dibenarkan), dan lebihan keuntungan juga boleh disimpan. Hasilnya, sektor-sektor kecil seperti kedai, restoran dan kafe mula berkembang. Namun, hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, reformasi yang ramai harapkan itu gagal menjadi realiti.

Kawalan harga masih berlaku dalam kebanyakan perniagaan, begitu juga kawalan kerajaan dalam industri pembuatan dan penghasilan (manufacturing). Reformasi ekonomi oleh Gorbachev hanya sekadar pengawasan yang gagal dan tidak menyeluruh, tidak mampu untuk membuahkan hasil ekonomi yang diharapkan oleh ramai pihak.

Reformasi Glasnost Oleh Gorbachev Bagi Membendung Rasuah

gorbachev cuba membendung rasuah

Reformasi kedua, iaitu glasnost (transparency) membawa maksud ketelusan. Parti komunis USSR sudah biasa mengamalkan rasuah dan nepotisme (kronisme) selama berdekad, melindungi pemimpin politik yang tidak cekap dan bermasalah. Menyedari akan hal ini, Gorbachev memperkenalkan glasnost, yang menggalakkan tender secara terbuka, memulakan proses mendemokrasikan USSR.

Tindakan ini menyebabkan beliau dikritik hebat, daripada dalam dan luar parti. Ramai pemimpin reformasi yang selama ini menjunjungi beliau turut meletak jawatan sebagai bantahan ke atas tindakan beliau itu. Penyelarasan parti juga turut dilakukan, di mana jabatan dalam Jawatankuasa Pusat telah dikurangkan daripada 20 kepada 9, dalam masa yang sama cuba untuk mengurangkan rasuah secara menyeluruh.

Perkara yang paling penting dalam reformasi Gorbachev telah dibicarakan ketika Persidangan Parti ke-19 pada Jun 1988, di mana beliau melanjutkan prinsip pilihan raya pelbagai calon. Hal ini telah menyebabkan pemansuhan Artikel 6 pada Mac 1990, menamatkan kuasa monopoli parti komunis tersebut. Sehingga penghujung tahun sama, USSR telah hilang kuasanya, melalui pilihan raya tempatan yang telah menyaksikan sebahagian besar calon parti komunis tewas di seluruh negara, dengan Leningrad (kini Saint Petersburg) mendapat majoriti kerusi sebanyak 60 peratus oleh pembangkang.

Kemenangan Boris Yeltsin Antara Pencetus Kejatuhan USSR

boris yeltsin pencetus kejatuhan soviet union

Seorang nasionalis Rusia, Boris Yeltsin juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kejatuhan USSR. Yeltsin yang merupakan pencabar terdekat Gorbachev telah memenangi pilihan raya datuk bandar. Beliau menggunakan kedudukannya sebagai platform untuk menggalakkan pergerakan nasionalis di kedua republik di luar Rusia, dan di dalam Rusia sendiri. Para nasionalis melihat penyingkiran Doktrin Brezhnev sebagai isyarat bahawa pengisytiharan kemerdekaan mungkin akan diterima.

Doktrin Brezhnev adalah sebuah polisi campur tangan ketenteraan apabila sesebuah wilayah satelit (wilayah yang dahulunya sebuah negara merdeka, namun kini dikuasai secara politik, ekonomi dan ketenteraan oleh negara lain) cuba untuk membebaskan diri daripada komunisme. Dengan mengakhiri doktrin ini, Gorbachev telah menyingkirkan penguasaannya ke atas wilayah satelit, tanpa menggantikannya dengan apa-apa polisi lain yang membolehkan penguasaannya ke atas wilayah-wilayah tersebut.

kemerdekaan lithuania daripada soviet union

kemerdekaan buat lithuania

Pada 11 Mac 1990, Lithuania telah mengisytiharkan kemerdekaan negaranya, republik pertama Soviet yang melakukannya. Pergerakan kemerdekaan secara pantas berkembang di wilayah-wilayah satelit selain Rusia, di mana kebanyakan daripadanya telah mengadakan pilihan raya umum, akibat daripada reformasi glasnost. Rejim Soviet akhirnya runtuh tanpa sokongan ketenteraan daripada USSR, menyaksikan keruntuhan Berlin Wall pada 9 November 1989, serta kegagalan beberapa kepimpinan Soviet di lain-lain wilayah.

USSR akhirnya berpecah kepada 15 buah negara, iaitu:

soviet union berpecah kepada 15 negara

  1. Rusia
  2. Uzbekistan
  3. Ukrain
  4. Turkmenistan
  5. Tajikistan
  6. Moldova
  7. Lithuania
  8. Latvia
  9. Kyrgyzstan
  10. Kazakhstan
  11. Georgia
  12. Estonia
  13. Belarus
  14. Azerbaijan
  15. Armenia

Kesimpulan dari kisah ini

tewasnya soviet union dan runtuhnya berlin wall

Kejatuhan Soviet Union adalah disebabkan oleh beberapa faktor, namun banyak pihak menyalahkan Gorbachev dan reformasinya yang gagal. Sesetengah pihak lain melihat kejadian tersebut adalah suatu yang tidak dapat dielakkan disebabkan legasi negatif yang ditinggalkan oleh Brezhnev. Kejatuhan USSR boleh dikaitkan dengan sebuah faktor gabungan, iaitu daripada perbelanjaan ketenteraan yang tinggi, serta polisi luar yang menyemarakkan sentimen nasionalis.

Ekonomi yang lumpuh disebabkan keterbantutan dan pengabaian pemimpin USSR selama berdekad juga menjadi punca kejatuhan negara komunis itu. Jadi untuk mengatakan bahawa keruntuhan USSR adalah disebabkan oleh satu faktor semata-mata adalah dilihat sangat tidak adil. Apapun sebabnya, kejatuhan Soviet Union adalah sebuah kejadian penting dalam sejarah terkini, menandakan berakhirnya sebuah kuasa ekonomi dan politik yang besar, yang membantu membentuk dunia abad ke-21 hari ini.

Sambung bacaan:

Apa Sebenarnya KGB dan Mengapa Ia Sangat Ditakuti?

Sumber:

history.state.gov

history.com

coldwar.org

en.wikipedia.org




Hakcipta iluminasi.com (2017)