Dulu aku merokok. Nak kata perokok tegar pun boleh.
Aku hisap sehari sekotak. Marlboro ke, Benson ke, dua-dua tu aku tukar-tukar. Aku tak boleh hisap Dunhill, berat sangat. Ramai orang kata Dunhill sedap tapi mulut kita tahu apa kita nak.
Kemudian satu hari pada sekitar tahun 2008, aku duduk dan aku buat perkiraan berapa sebenarnya aku belanjakan untuk rokok sahaja. Sekotak pada waktu itu RM10.50 tak silap aku. Untuk perokok tegar sekotak sehari, aku belanjakan RM300 untuk rokok.
Dengan gaji aku pada ketika itu, aku boleh kata 10% aku gunakan untuk rokok sahaja. Belum masuk makan, sewa rumah, belanja, minyak dan benda-benda lain.
Pada waktu tu, gaji memang datang dan pergi, zaman muda. Belum kahwin dan belum ada tanggungan. Gaji semua untuk aku belanjakan tapi bila aku dah duduk lalu buat kira-kira, baru aku sedar 10% tu sebenarnya besar nilai dia dalam jangka masa panjang.
Menurut statistik, 49% lelaki dewasa di negara kita merokok. Hampir separuh! Benar atau tidak, itu hanya perangkaan. Statistik perokok di negara kita melebihi jumlah perokok di negara-negara maju. Hebat orang kita. Dengan menggunakan anggaran terdapat 9 juta penduduk lelaki dewasa, ini bermakna hampir 4.5 juta orang lelaki adalah perokok.
Belum masuk statistik bagi wanita lagi, hahaha. Menurut laporan terbaru, di Malaysia ada anggaran 5 juta perokok aktif yang datang dari segenap lapis bangsa, keturunan, umur dan latar belakang.
Apa yang membimbangkan sebenarnya adalah ada di antara kita yang merokok dengan menambahkan beban pada perbelanjaan kita.
Jika kita baca statistik pembayar cukai di negara kita, daripada 30 juta penduduk, 11.5 orang tergolong dalam kategori pekerja atau peniaga. Daripada 11.5 juta itu, hanya 26% atau 1.7 juta orang sahaja yang layak dikenakan cukai pendapatan.
Tahukah anda berapa gaji yang layak dikenakan cukai? RM2700 untuk kategori bujang dan RM3500 bagi yang berkeluarga.
Ini menunjukkan ada berjuta-juta orang kita yang merokok, tapi sebenarnya dia tak mampu merokok. Ramai keluarga yang terpaksa menyekat perbelanjaan kerana ayahnya nak terus mengamalkan tabiat tak ada faedah itu. Ramai ibu bapa yang terpaksa bergantung dengan duit pencen semata hanya kerana anaknya tak mampu nak hantar duit kepada mak ayah.
Itu belum masuk lagi rungutan-rungutan berkenaan perbelanjaan kahwin yang tinggi dan membebankan. Jika aku pada tahun 2008 boleh membelanjakan RM300 sebulan untuk rokok, berapa sebenarnya duit aku boleh ada kalau aku simpan RM300 dalam setahun?
RM3600! Banyak tu. Itu pula ikut harga pada tahun 2008. Rasanya tak perlu aku tunjukkan berapa aku akan belanja kalau aku masih lagi hisap sekotak sehari pada tahun 2017, yang harga rokoknya mencecah RM17.00.
Selepas aku buat perkiraan tu dan aku tanam tekad nak kahwin, aku cuba berhenti merokok. Tak berjaya. Banyak kali aku cuba tak berjaya. 2 bulan aku berhenti, lepas tu aku tewas. 2 minggu berhenti, hisap balik. Sampailah pada tahun 2011, bila pada satu hari aku kata pada diri aku, "pegi mampus sama rokok."
Anda tahu kenapa aku dapat buat macam tu? Sebab waktu tu bulan Syawal, baru lepas tamat ibadah puasa. Sepanjang bulan puasa tu, aku sedar rokok tu tak ada maknanya. Aku rasa malu dengan diri aku sendiri bila berbuka aje, lepas minum air, aku hisap rokok dulu. Paling aku malu, sahur aku percepatkan sebab aku nak pastikan aku dapat hisap rokok sebelum terbit fajar. Sepanjang Ramadan tu perlahan-lahan aku tahan diri aku merokok hanya sebatang ketika berbuka dan sebatang lepas sahur. Raya ke 7, aku berhenti terus.
Pada ketika aku mula nak berhenti merokok sehinggalah aku benar-benar berhenti merokok, aku memang membayar cukai pendapatan. Gaji aku ok la jugak. Aku mampu teruskan tabiat aku tu tu kalau aku nak tapi dapat apa bang?Orang kaya saja sanggup buang duit RM300 setiap bulan untuk keseronokan.
Anda selalu merungut berkenaan kos sara hidup yang tinggi. Anda selalu salahkan sesetengah pihak lain bila gaji anda tak cukup sedangkan, statistiknya menunjukkan ramai rakyat Malaysia berbelanja di luar kemampuan.
Dengan purata pendapatan rakyat kita berada pada sekitar RM2400 dan hampir separuh lelaki dewasa di negara kita merokok, bukankah bulan puasa ini bulan paling sesuai untuk anda sedar yang anda sebenarnya tak mampu merokok tapi kedegilan anda membuatkan anda terhimpit dengan kos sara hidup?
Berhentilah merokok. Ambil peluang Ramadan ni. Tengok kos sara hidup anda berubah. Mula kira berapa anda belanjakan untuk tabiat ini sebulan, kerana dari situ anda akan nampak masyarakat kita sebenarnya ramai yang suka membazir.Orang kita majoritinya bergaji rendah, tapi jumlah perokok pula ramai. Macam mana la kos sara hidup tak tinggi?