Oleh pada 24 Apr 2017 kategori

Kalau anda seorang peminat makanan Korea pernah makan di restoran makanan Korea, anda pasti berasa pelik apabila melihat kepada rupa chopstick Korea yang agak berbeza.

Ya. Ianya berbeza kerana bentuknya yang leper, tidak seperti chopstick untuk makanan Cina atau Jepun yang berbentuk bulat atau bersegi. Dari segi kepanjangannya pula, ia lebih pendek daripada chopstick Cina tetapi lebih panjang daripada chopstick Jepun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudahlah chopstick Korea ini begitu rupanya, ia diperbuat pula daripada besi, menjadikannya sedikit berat dan susah untuk digunakan walaupun sebelum ini anda sudah biasa menggunakan chopstick Cina atau Jepun yang selalunya diperbuat daripada kayu atau buluh.

chopstick jepun korea cina 531

Jadi, mengapakah chopstick sebegini menjadi pilihan orang Korea untuk makan?

1. Lebih bersih dan jimat

Chopstik besi ini lebih mudah dicuci. Ianya kemudiannya disteril untuk membunuh bakteria dan boleh digunakan semula tanpa ragu-ragu. Kalau chopstick ini diperbuat daripada kayu, pastinya sukar untuk dicuci bersih kerana pasti ada warna dan bau makanan yang terlekat. Macam tangan kita lepas makan nasi mamak, bau kari sampai ke petang.

2. Tahan panas

Antara menu yang popular di restoran Korea adalah makanan yang disediakan secara BBQ. Jadi, chopstick dari besi ini pastinya lebih selamat digunakan untuk kerja memanggang daging, ayam dan sotong dibandingkan dengan chopstick kayu atau plastik. Kalau guna chopstick kayu, pasti sekejap saja chopstick tadi selamat jadi kayu api.

korean bbq 245

3. Lebih mudah memegang makanan

Disebabkan hujungnya yang bersegi, adalah lebih mudah untuk mengambil makanan dengan chopstick Korea dibandingkan dengan chopstick Cina atau Jepun yang bulat dan tirus di hujungnya. Walaupun begitu, agak sukar untuk belajar menggunakannya kerana ianya lebih licin dibandingkan chopstick lain yang diperbuat dari kayu. Bila dah pandai, lajulah menyuapnya.

4. Menjaga rasa makanan

Makanan yang berbau kuat seperti kimchi, akan meninggalkan warna, bau dan rasanya pada chopstick kayu. Ini pastinya akan mengganggu deria rasa apabila kita ingin makan sesuatu yang rasanya lebih neutral. Untuk mengelakkan fenomena yang diberi nama 'flavor migration' ini, chopstick yang diperbuat daripada  besi pastinya lebih sesuai.

Nah. Sekarang anda sudah tahu kenapa chopstick Korea ini sebegitu kejadiannya. Jadi, jangan lupa untuk tunjuk pandai dekat kawan-kawan anda masa makan dekat restoran Korea nanti. Barulah kawan-kawan anda jealous kerana anda lebih K-pop daripada mereka.

Rujukan: 

1. Asian Inspirations

2. Everything Chopsticks

3. Next Shark




Hakcipta iluminasi.com (2017)