Pedang Katana sangat sinonim dengan Samurai dan dianggap sebagai jiwa kepada Samurai itu sendiri. Sememangnya seorang Samurai itu dan pedangnya tidak dapat dipisahkan. Namun, tahukah anda Samurai juga diketahui menggunakan pelbagai senjata lain selain pedang mereka?

Samurai dilatih untuk sentiasa peka dengan persekitaran mereka serta perubahan yang berlaku setiap hari. Mereka percaya bahawa seorang Samurai itu perlu bersedia untuk mempertahankan dirinya ketika berhadapan dengan bahaya yang tidak diduga. Oleh itu mereka perlu bersiap sedia setiap masa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat beberapa kes apabila pedang bukanlah senjata yang ideal untuk Samurai. Samurai dan Chonin semasa feudal Jepun bergantung pada senjata alternatif dan senjata yang diimprovisasi untuk mempertahankan diri mereka dalam keadaan mengejut.

Samurai diketahui menggunakan objek biasa secara kreatif dan kebanyakan barang-barang ini merupakan peralatan yang digunakan secara harian. Objek-objek ini dipanggil sebagai mijikimono. Berikut adalah beberapa senjata Samurai yang tidak diketahui ramai.

1. Kabutowari 

kabutowari

Kabutowari adalah senjata padat yang sering dikenali dengan nama pemecah tengkorak. Senjata ini biasanya direka untuk memecahkan topi perlindungan atau topeng lawan. Senjata ini kelihatan seperti senjata jitte dalam beberapa aspek. Samurai biasanya membawa senjata ini sebagai senjata sampingan.

2. Kanabo 

kanabo

Kanabo merujuk kepada batang logam atau kayu. Ia adalah senjata seperti kayu belantan yang mempunyai paku atau kancing di bahagian hujungnya. Kanabo sering digunakan oleh Samurai untuk menghancurkan perisai atau memukul kuda perang musuh.

Memandangkan senjata ini merupakan senjata berat, ia memerlukan penguasaan keseimbangan dan kekuatan yang baik untuk mengendalikan serta menggunakannya.

3. Kanzashi 

kanzashi

Kanzashi merujuk kepada hiasan rambut tradisional Jepun. Biasanya, wanita yang berasal daripada keluarga Samurai akan dilatih untuk mempertahankan diri mereka menggunakan senjata tersembunyi ini. 

Kanzashi biasanya berukuran beberapa inci panjang. Selain daripada mengukuhkan ikatan rambut, pin besi alat ini juga boleh digunakan untuk mencucuk leher atau dada pihak musuh sekiranya dalam keadaan terdesak.

4. Kiseru 

kiseru

Semasa era Edo, Kiseru atau paip tembakau adalah alat yang biasa dibawa oleh ahli-ahli kelas Samurai dan Chonin. Kiseru biasanya dibawa dalam sarung yang dipanggil Kiseruzutsu yang diperbuat daripada kayu, kulit, jerami tenunan, tanduk haiwan atau buluh.

Kiseru yang diperbuat daripada logam berharga dan dihiasi ukiran rumit dianggap sebagai simbol status semasa era feudal Jepun. Kiseru dengan batang keras dan besi pada hujungnya sering digunakan sebagai senjata menikam atau menusuk musuh untuk tujuan mempertahankan diri ketika kecemasan.

5. Kogai 

kogai

Senjata Samurai seperti Tanto atau Wakizashi Saya biasanya mempunyai slot kedua untuk Kogai. Kogai ialah penyucuk kecil yang mempunyai mata yang tumpul. Sesetengah orang percaya bahawa Kogai telah digunakan untuk mencucuk telinga lawan yang telah dipancung kepalanya, supaya orang lain tahu siapakah yang memenangi pertempuran itu.

6. Kogatana dan Kozuka 

kogatana

Kogatana merujuk kepada pisau kecil serbaguna yang biasanya dibawa di dalam slot kecil berhampiran bahagian atas Tanto atau Wakizashi Saya. Salah satu sisinya digilap rata makakala sisi lain pula ditajamkan. Ia juga mempunyai penyepit kecil yang sesuai diletakkan dalam kozuka atau pemegangnya.

Samurai menggunakan Kogatana sebegai pisau kecil atau untuk tujuan umum. Selain itu, senjata ini juga digunakan sebagai alternatif lain kepada shuriken atau pisau baling bertujuan mengalihkan perhatian musuh ketika pertarungan.

7. Kusari-fundo 

kusari fundo

Kusari-fundo merujuk kepada rantai logam pendek dengan pemberat keluli yang diletakkan pada kedua-dua hujungnya. Senjata ini biasanya berukuran dua atau tiga kaki panjang.

Ramai yang percaya senjata pelbagai guna guna ini direka untuk mengatasi teknik pedang panjang tanpa memerlukan penggunaan pedang lain. Kusari-fundo ini juga mudah dibina dan mudah disembunyikan.

8. Jitte 

jitte

Jitte adalah senjata yang merujuk kepada batang keluli yang dilengkapi dengan pemegang. Ia biasanya mempunyai satu atau dua cangkuk di atas pemegangnya.

Samurai biasanya menggunakan Jitte untuk menangkap pedang yang digunakan oleh pihak lawan. Dengan cara itu, senjata pihak lawan dapat dilucutkan dengan mudah sekiranya mereka dikehendaki untuk ditangkap hidup-hidup.

9. Shakuhachi 

shakuhachi

Shakuhachi merujuk kepada seruling buluh Jepun. Muzik yang dimainkan menggunakan instrumen Shakuhachi ini sering dikaitkan dengan meditasi dan Zen Biddhisme. Namun, Shakuhachi yang panjang dan keras juga sering digunakan sebagai cota apabila diperlukan.

10. Tobiguchi

tobiguchi

Senjata ini mirip dengan kapak yang digunakan oleh ahli bomba. Bilahnya mempunyai bentuk yang seakan-akan paruh burung. Tobiguchi sering digunakan untuk mencangkuk ketika memanjat bumbung yang licin. 

Selain itu, versi senjata ini yang lebih panjang sering digunakan untuk merobohkan sekatan atau kayu penyokong sesebuah bangunan.

11. Yatate

yatate

Semasa zaman feudal Jepun, Yatate adalah set alat tulis mudah alih yang sering dibawa oleh Samurai di dalam beg anak panah mereka. Samurai menggunakan Yatate untuk menulis laporat dan surat semasa berada di medan perang. Selain itu, alat ini juga pernah digunakan sebagai senjata ketika berada dalam keadaan terdesak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)