Salah satu perniagaan online yang banyak diceburi oleh anak muda pada zaman ini ialah dengan menjadi seorang selebriti youtube atau lebih dikenali sebagai YouTuber. Tahukah anda, sudah ramai YouTuber yang sudah berjaya menjadi jutawan? Jadi, ini bermakna ia bukanlah pekerjaan sambilan atau hobi lagi. YouTube menjadi platform kepada mereka yang ingin berkarya sambil membuat keuntungan.
BESARKAN TEKS A- A+
Tanpa perlu dipersoalkan lagi, nilai kekayaan YouTuber ini jauh lebih tinggi daripada segelintir usahawan konvensional dan hanya memerlukan modal yang rendah tanpa risiko yang tinggi. Yang penting, anda hanya perlu ada keyakinan diri yang tinggi dan sukakan publisiti sahaja.
Kami kongsikan antara 10 orang YouTuber yang paling berjaya dan terkaya pada tahun 2017.
10. PewDiePie
Sepatutnya dia menjadi juara pada kedudukan nombor 1 pada tahun 2017 dalam senarai YouTuber paling kaya 2017. Namun, akibat kenyataan kontroversinya yang berbaur perkauman, sebahagian penaja besar seperti Disney dan Google telah menarik diri daripada menajanya.
PewDiePie atau nama sebenarnya Felix Kjellberg mempromosikan permainan video terbaru di dalam channel YouTube miliknya. Pada tahun 2017, dia hanya membuat keuntungan USD9 juta (RM35.2 juta) sahaja berbanding USD15 juta (RM58.6 juta) pada tahun sebelumnya.
9. Lilly Singh
Juga dikenali sebagai superwoman, Lilly sebelum ini telah berada pada tangga ke-3 paling kaya pada tahun 2016 dengan pendapatan sebanyak USD7.5 juta (RM29.3 juta). Namun begitu, ia bukanlah perkara menyedihkan jika pada tahun 2017 dia berada pada tangga ke-9 kerana dia masih berjaya membuat keuntungan sebanyak USD10.5 juta (RM41 juta).
Pada bulan Mac 2017, Lilly juga telah menerbitkan bukunya yang berjudul "How to be a Bawse: A Guide to Conquering Life" dan mendapat sambutan yang hangat.
8. Smosh
Salah satu channel YouTube yang fokus kepada komedi ialah Smosh. Dengan jumlah pelanggan melebihi 22 juta orang, Smosh telah dibeli oleh Defy Media. Salah seorang pengasas awal channel ini iaitu Anthony Padilla telah mengambil keputusan untuk meninggalkan channel ini kerana beranggapan dia sudah tidak bebas berkarya di situ. Namun begitu, pada tahun 2017, Smosh berjaya membuat keuntungan sebanyak USD11 juta (RM43 juta).
7. Ryan ToysReview
Jangan terkejut kerana pada kedudukan ke-7, ia dimenangi oleh kanak-kanak yang masih belum cukup umur. Ryan yang hanya berusia 7 tahun pada 2017 sudahpun bergelar jutawan. Di channel miliknya, dia telah membuat video ulasan pelbagai jenis permainan kanak-kanak. 2017 menyaksikan Ryan membuat keuntungan sebanyak USD11 juta (RM43 juta). Semasa umur sebayanya, kita mungkin sedang sibuk belajar mengayuh basikal dan tidak terfikir untuk menjadi jutawan.
6. Jake Paul
Mula berkarya dan menjadi popular di Vine, salah satu platform video pendek, dia beralih pula menjadi artis YouTube dengan pelbagai karya yang menarik. Dengan blog videonya yang popular itu, Jake berjaya memperoleh keuntungan sebanyak USD11.5 juta (RM45 juta) pada tahun 2017 dan berjaya menduduki tangga ke-6 dalam senarai.
5. Markiplier
Pemilik channel Markiplier ini iaitu Mark Edward Fischbach mempunyai subscriber melebihi 18 juta orang dan sering membuat ulasan permainan video dengan genre survival atau horror. Pada tahun 2017, dia berjaya membuat keuntungan sebagai YouTuber sebanyak USD12.5 juta (RM49 juta).
4. Logan Paul
Logan yang juga merupakan abang kepada Jake Paul ini juga mula dikenali menerusi aplikasi Vine. Kini setelah beralih menjadi seorang YouTuber, Paul juga membintangi beberapa filem Hollywood seperti The Thinning, Airplane Mode dan The Space Between Us. Pada tahun 2017, Logan berjaya menjana pendapatan sebanyak USD12.7 juta (RM50 juta).
3. Dude Perfect
5 orang rakan ini yang meminati sukan bola keranjang iaitu Coby, Cory, Garret, Cody dan Tyler berjaya memikat para penonton dengan aksi hebat mereka membuat sesuatu yang dianggap mustahil dalam rutin seharian. Kesemua video mereka boleh didapati melalui channel DudePerfect mereka. Mempunyai subscriber melebihi 24 juta orang, mereka juga mendapat kontrak berlakon di dalam siri "Dude Perfect Show" pada tahun 2016. Pada tahun 2017, mereka berjaya membuat keuntungan sebanyak USD14 juta (RM55 juta).
2. Vannosgaming
Nama sebenar pemilik channel YouTube ini ialah Evan Fong. Dia yang membuat ulasan pelbagai jenis permainan video telah berjaya menduduki tangga ke-2 dalam senarai 10 YouTuber paling kaya tahun 2017. Dengan jumlah subscriber melebihi 21 juta orang, dia berjaya membuat keuntungan sebanyak USD15.5 juta (RM 60.5 juta) pada tahun 2017.
1. DanTDM
Anda peminat permainan video Minecraft? Atau mungkin anda ingin belajar cara bermain permainan video ini? Jika ya, maka anda perlulah berkunjung ke channel YouTube DanTDM ini. Dan Middleton memuat naik pelbagai video mengenai cara bermain Minecraft seperti seorang juara. Sehingga kini, dia mempunyai lebih daripada 17 juta orang yang mengikuti video di channel Youtubenya. Pada tahun 2017, dia telah berjaya membuat keuntungan sebanyak USD16.5 juta (RM64.5 juta).
Perlu diingatkan, apa jua yang anda lakukan, pasti memerlukan usaha dan ketekunan. Sudah tentu mereka yang berada dalam senarai ini juga ada melalui pasang surut sepanjang perjalanan menjadi seorang Youtuber. Yang penting, teruskan berusaha dan jangan mudah putus asa dalam setiap bidang yang anda ceburi.