Berterus terang sajalah - mencari idea untuk menghasilkan kandungan atau karya memang sukar apatah lagi apabila anda perlu melakukannya setiap hari.

Kami di Iluminasi ni pun kadangkala mengalami kedangkalan idea sehingga menyebabkan jumlah artikel baru tersangkut.

Usaha yang diperlukan untuk memperolehi idea menulis setiap hari memang sesuatu yang sukar apatah lagi apabila kami mempunyai penanda aras kami sendiri yang kami letakkan, berbeza dengan laman informasi lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Begitu jugalah untuk anda yang mahu cuba-cuba menjadi seorang Youtuber berjaya. Dalam banyak-banyak jenis kandungan - kandungan mana agaknya yang pengkaryanya sukar untuk kekeringan idea?

1. Video ulasan

konten sebagai youtuber

Video paling mudah nak dibuat kerana kandungan berkisar kepada apa yang anda fikir dan pandangan anda.

Oleh sebab itu, kandungan seperti ini tidak memerlukan penyelidikan atau bacaan yang teliti sebaliknya hanya memerlukan anda mengenalpasti sesuatu isu serta mampu membincangkan isu tersebut dalam nada yang positif atau negatif.

Video berbentuk ulasan sangat popular di kalangan peminat media sosial. Apa yang menarik, seandainya topik yang anda pilih kena dengan waktunya - kemungkinan untuk video anda tular sebenarnya agak tinggi.

2. Reaksi kepada video lain

video reaksi riaksi konten mudah youtube

Di antara kesemua idea dalam senarai ini, video reaksi merupakan video paling mudah kerana apa yang perlu anda lakukan hanyalah menonton video lain, merakamkan reaksi anda kepada video tersebut dan merakamkan sedikit ulasan anda.

Berbeza dengan video ulasan, video reaksi banyak bergantung kepada mimik muka anda, kerana penonton gemar melihat reaksi asli semulajadi yang tidak dibuat-buat. Kalau dibuat-buat, memang rasa nak penampar aje Youtuber tu kan?

Kandungannya pula terlalu luas. Anda boleh merakamkan reaksi anda kepada filem seram, meme lucu, adegan sedih dan pelbagai lagi jenis video lain. Pastikan anda akhiri video anda dengan sedikit penerangan bagaimana perasaan anda selepas itu dan lihatlah 'like' naik mencanak.

3. Vlogging hidup anda

youtuber makan makan mudah

Vlogging nampak mudah, tetapi di antara semua idea dalam senarai ini, vlogging memerlukan usaha yang lebih besar. Ini kerana nak tak nak macam mana pun anda perlu cari sesuatu untuk dilakukan, pada hari di mana anda rasa malas.

Sebab itulah ramai 'vlogger' kadangkala berusaha untuk 'mencipta' rutin harian berbeza hanya disebabkan keperluan untuk mereka menampilkan sesuatu yang baru.

Walaupun demikian peminat kepada vlogger memang dikenali dengan kesetiaan mereka, sanggup menonton berjam-jam hidup video orang lain hanya kerana merasakan mereka terhibur dengan apa yang mereka tonton. Kami tahu anda pun berpotensi untuk memiliki kumpulan pengikut setia serupa.

4. Video merungut

video youtube mengarut banyak viewer hits

Youtube sudah menjadi satu medium meluahkan perasaan yang efektif (agaknya) bagi sesetengah individu.

Oleh yang demikian wujud banyak video memaparkan individu yang bercakap dengan kamera, merungut tentang apa saja perkara secara rawak dalam hidupnya. Youtuber tersebut bebas meluahkan apa yang bermain difikirkannya sama ada baik, buruk, positif atau negatif tanpa ada hala tuju jelas ke mana perbincangan itu akan dibawa.

Anda ada banyak fikiran yang berlegar-legar dalam kepala anda? Anda merasakan ada banyak perkara tak kena dengan sekeliling anda? 'Video rungutan' mungkin merupakan platform yang baik untuk anda mengenengahkan bakat anda merungut.

Cuma pastikan sunting dulu apa saja yang terlalu sensitif sebelum ditayangkan.

5. Strim permainan video

projek baru youtube berjaya konten idea

Youtuber terkenal dunia ramai menjadikan aktiviti strim permainan video sebagai salah satu cabang format video yang mereka muat naik. Kenapa? Ini kerana peminat aktiviti penstriman video sangat ramai, aktif dan sangat berdedikasi.

Asalkan anda pun mempunyai dedikasi yang serupa.

Oleh sebab itulah saluran-saluran penstriman permainan video kerap kali mendapat sambutan hangat kerana peminat-peminatnya mampu datang dari seluruh dunia.

Apa yang penting, untuk menjadi Youtuber strim videogame terkenal, pastikan personaliti anda menarik. Kemahiran untuk bermain sambil mengulas sendiri apa yang sedang anda mainkan juga akan membezakan saluran anda dengan saluran lain.

Kami yakin seorang kaki game boleh memastikan mereka memuatnaik video mereka bermain permainan video setiap hari. Jika itu pun tak boleh, tak dapatlah kami nak bantu anda lagi.


Sama ada berfaedah atau tidak saluran anda, bergantung kepada anda.

Kami faham keperluan seorang Youtuber untuk menjana kandungan, seterusnya meningkatkan tontonan tetapi dalam masa yang sama perlulah kandungan itu diseimbangkan dari segi hiburan dengan kandungan ilmiah. Pada pendapat kamilah!

Memuat naik video hiburan kosong setiap hari, lama-kelamaan akan membuatkan anda sendiri tertanya-tanya apa tujuan anda sebenarnya setiap hari berkarya. Jadi, cuba seimbangkan. Tengah strim - borak pasal isu semasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)