Dalam sebuah tinjauan yang dibuat bersama 2,000 orang peserta dari Amerika Syarikat, keputusan tinjauan mendapati 65% orang merasakan mereka menjadi seorang yang membosankan.

anda seorang yang membosankan 3

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Onepoll dan Flatbike itu, penyelidik mendapati 1 dalam setiap 7 orang tidak mempunyai cerita menarik untuk dikongsikan apabila bersama dengan orang lain.

Tidak dinafikan, semakin ramai manusia 'boring' yang dilahirkan dengan kewujudan telefon pintar. Rata-rata manusia kini tidak tahu lagi apa untuk dibicarakan dan lebih gemar menumpukan mata pada skrin telefon sambil tersenyum seorang diri.

pasangan membosankan banyak main telefon

Ia merupakan suatu masalah komunikasi yang serius dan boleh menyebabkan jurang yang lebih besar wujud sesama manusia.

Pada zaman dahulu, semua orang dengan latar belakang berbeza boleh duduk berborak berjam-jam lamanya di kedai kopi tetapi manusia kini telah berubah. Apabila diajak bersembang, dia asyik bercerita tentang diri sendiri sahaja! Membosankan betul.

lepak kedai kopi bergelak ketawa tanpa telefon 523

Lanjutan tinjauan yang dibuat itu, kami kongsikan 10 tanda anda merupakan seorang yang bosan:

#1 Hanya bercakap tentang diri sendiri

Ya, kami faham anda mungkin teruja untuk menceritakan kepada rakan tentang filem yang anda baru tonton atau percutian berbulan madu anda ke Eropah selama 2 minggu itu. Tapi jika anda kerap fokus kepada diri sendiri sahaja, ia akan membuatkan pendengar berasa keliru dan tidak tahu memberikan reaksi sepatutnya.

Apa kata cuba kaitkan penceritaan anda dengan rakan yang mendengar, barulah terbuka ruang untuk mereka menyampuk dalam perbualan. Sebagai contoh, "Eh, best sangat tau masa saya jalan-jalan pergi Paris tu. Teringat masa dulu kita buat trip pergi New Zealand. Cuaca situ sejuk macam kat sana. Jom kita plan trip bersama lagi nak?"

anda seorang yang membosankan kalau tidak ada sense of humor

#2 Tidak ada sense of humour

Tahukah anda, menurut seorang pakar psikologi, Richard Wiseman dalam bukunya berjudul Quirkology, satu kajian mendapati 71% wanita akan ketawa apabila seorang lelaki membuat lawak manakala hanya 39% lelaki sahaja yang akan tergelak besar apabila seorang wanita menceritakan sesuatu yang lucu.

Ini mungkin bermakna kaum wanita lebih terdorong untuk dilabel sebagai membosankan kerana tidak mempunyai rasa lucu yang hebat. Lagipun kaum wanita kan secara umumnya lebih dikenali sebagai kaum kuat sentap, mungkin itulah puncanya. Cubalah jangan serius sangat!

#3 Kuat mengeluh dan merungut

Jika anda seorang 'kaki komplen' dan seringkali mengeluh tentang kehidupan anda, mungkin anda perlu mula berubah sebelum rakan-rakan anda menjauhkan diri seorang demi seorang.

#4 Mengulang cerita dan lawak yang sama berulang kali

Anda mesti ada rakan yang suka benar menceritakan benda yang sama berulang kali. Kalau ceritanya itu memang jenis evergreen dan merupakan inside joke yang semua orang fahami, tidak mengapalah. Ini tidak. Ceritanya itu lebih kepada syok sendiri, kadang-kadang rasa nak percepatkan masa sebab malas nak dengar kan?

anda seorang yang membosankan 2 825

#5 Sentiasa bermain dengan telefon

Salah satu perkara yang paling menjengkelkan adalah apabila rakan anda sedang asyik bercerita kemudian tiba-tiba ceritanya dibantutkan dengan berkata "Jap eh, jap eh, nak reply mesej ni kejap." Masa pun berlalu pergi sambil didendangkan dengan bunyi cengkerik, kemudian dia menyambung "Haa, kat mana saya cerita tadi?" Potong stim betul.

Tapi yang lebih menjengkelkan adalah apabila anda sedang asyik bercerita dan rakan di depan sedang leka bermain telefon sambil mengangguk-angguk tanpa benar-benar mendengar apa yang anda ceritakan. Kemudian dia letak telefon dan meminta anda mengulang kembali apa yang anda cakap.

#6 Tidak berfikiran terbuka

Apabila anda sedang berbual bersama teman-teman, cubalah berfikiran lebih terbuka dan boleh menerima pandangan orang lain sekali-sekala.

Janganlah asyik nak menang saja. Dikhuatiri lama-kelamaan nanti orang pun dah tak mahu ajak anda keluar melepak bersama kerana anda seorang yang sangat membosankan.

#7 Kurang rasa empati

Kalau anda tidak dapat mengesan bahawa seseorang dalam kumpulan tersebut merasakan dirinya terpinggir, anda merupakan seorang yang kurang daya empati dan membosankan.

Cuba libatkan semua orang sama rata dalam perbualan dan sesekali letakkan diri anda di tempat mereka. Barulah anda faham perasaan orang lain.

anda seorang yang membosankan 4

#8 Tidak berminat dengan sesuatu yang baru

Anda adalah seorang yang membosankan jika anda hanya suka berada dalam zon selesa dan hanya mengulang rutin harian. Tidak ada cabaran baru dalam hidup anda.

Sebagai contoh, anda hanya pandai mengajak rakan atau pasangan melepak di kedai mamak sambil memesan air yang sama berulang-ulang kali. Apa kata cuba pelbagaikan aktiviti bersama mereka seperti memanjat gunung, menonton wayang, berbasikal dan sebagainya.

#9 Berminat dengan perkara yang orang lain tidak ambil peduli

Pastikan anda menyesuaikan diri dengan orang yang berada di sekeliling anda semasa berbual. Sebagai contoh, jika anda minat dengan bola sepak, janganlah jadi party pooper asyik bercerita tentang keputusan perlawanan terkini sehingga menyebabkan orang lain menguap. Kenal pasti dahulu jenis crowd yang berada dengan anda.

tidur di rumah membosankan

#10 Tidak ada semangat atau hobi yang menarik

Jika anda lebih gemar duduk di rumah dan bergolek tidur di atas katil sepanjang hari, anda berkemungkinan besar seorang yang membosankan. Apa kata cuba cari satu hobi menarik yang boleh anda buat pada masa terluang. Kemudian ajaklah rakan anda turut serta.

Tapi, sebelum ajak, pastikan dia benar-benar berminat dengan aktiviti tersebut. Dan jangan lupa silentkan telefon anda ya!

Rujukan:

1. Body and Soul

2. CBS

3. Psychological Science


tags : , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)