Sebelum ini kami pernah berkongsi satu artikel mengenai introvert dan ekstrovert. Namun, ada sesetengah pembaca merasakan mereka kurang pasti sama ada mereka adalah seorang yang bersifat introversi atau ekstroversi. Jika anda berasa keliru dan tidak tahu kedudukan anda dalam spektrum personaliti itu, berkemungkinan besar anda adalah seorang ambivert yang berada di tengah-tengah antara ekstrovert dan introvert.

Artikel ini akan menjelaskan ciri-ciri, maksud dan perwatakan seorang ambivert. Untuk mengetahui lebih lanjut sama ada anda benar-benar adalah seorang ambivert, boleh baca 10 tanda ini yang merupakan ciri-ciri seorang ambivert: 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Anda boleh mengaitkan diri dengan kedua-dua ciri ekstrovert dan introvert

Walaupun sebahagian besar daripada kita lebih biasa dengan penghujung spektrum personaliti iaitu ekstrovert dan introvert yang saling berlawanan, kita juga boleh menjadi seorang yang berada di tengah-tengah iaitu ambivert. Menurut Helen Odessky, ahli psikologi yang juga pengarang buku "Stop Anxiety from Stopping You," individu ambivert adalah seseorang yang memiliki ciri kedua-duanya. Ini bermakna dia mempunyai karisma dan ketegasan seorang ekstrovert dan kemahiran mendengar seorang introvert.

Individu ekstrovert secara umumnya lebih bertenaga apabila berada di tengah orang ramai, suka menjadi perhatian, tidak suka bersendiri untuk tempoh yang panjang dan lebih suka berbincang daripada berdiam diri. Manakala introvert pula lebih mengutamakan hidup bersendirian, sukakan perbincangan yang intim, menjauhkan diri daripada kumpulan yang ramai, lebih suka meluangkan masa berfikir daripada meluahkan dan lebih bertenaga apabila bersendirian.

Jika anda memiliki beberapa ciri daripada kedua-duanya, kemungkinan besar anda adalah seorang ambivert. Pakar psikologi, Paulette Kouffman Sherman menjelaskan, ambivert adalah individu yang sangat fleksibel dari segi emosi dan boleh meningkatkan tenaga apabila berada di khalayak ramai atau ketika berseorang diri. Seorang ambivert juga pandai bermuhasabah diri, pada masa yang sama boleh berbincang dengan orang lain untuk menyelesaikan permasalahan.

2. Anda suka bersosial tetapi masih menginginkan masa bersendirian 

Jika menghabiskan masa bersama orang lain kadangkala membuatkan anda teruja dan adakalanya ia juga merimaskan anda, itu adalah tanda anda seorang ambivert.

Menurut seorang ahli psikiatri, Dr. Grant Brenner, ambivert boleh menjadi pendiam apabila tidak ada mood untuk dikelilingi orang ramai, namun bila tiba masa ambivert ini menginginkan teman, mereka boleh menjadi sangat yakin dan peramah.

3. Anda tahu bila masanya untuk mempercayai seseorang

Orang yang ekstrovert amat mudah mempercayai seseorang. Mereka suka berkongsi semua perkara berkaitan diri dan bersikap ramah sejak dari awal. Mereka juga lebih mudah dan tidak kekok menggunakan nama panggilan berbanding panggilan hormat walaupun situasi agak janggal.

Manakala introvert pula hanya akan membuka diri perlahan-lahan dan lebih suka menjarakkan diri sebelum benar-benar mengenali seseorang. 

Ambivert, bagaimanapun, mampu melakukan kedua-duanya. Mereka boleh tahu bila masa yang sesuai untuk mendengar atau menjadi tegas. Mereka juga tahu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran atau orang yang bersama mereka.

ambivert tanda psikologi di tengah ekstrovert introvert 2

4. Anda selesa dalam kebanyakan persekitaran

Seorang ambivert suka dengan kedua-dua persekitaran yang merangsang dan juga tidak merangsang. Mereka pandai berinteraksi dan boleh memilih untuk bersendiri apabila perlu. Ini menjadikan mereka orang yang serba boleh dan boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

Misalnya, mereka boleh bersorak menyertai protes atau demonstrasi dan ada masanya mereka seronok meluangkan masa sunyi di rumah sambil menonton Netflix. Disebabkan sifat yang fleksibel, ia membantu mereka untuk bercakap dengan yakin di khalayak ramai dan juga menghabiskan masa seorang diri di hadapan komputer sambil menulis kajian.

5. Tahu membahagikan masa untuk bersosial 

Ambivert suka melakukan pelbagai perkara berbeza supaya tidak mudah berasa bosan seperti seorang ekstrovert namun mereka juga perlu berhenti seketika seperti seorang introvert untuk menarik nafas kerana adakalanya ia boleh menyesakkan dada.

Ketika berada dalam majlis sosial, ambivert mungkin berasa seronok dikelilingi ramai teman rapat sambil bersuka ria, namun apabila keadaan mula merimaskan, mereka akan mencari satu sudut yang sunyi untuk berbual bersama satu atau dua orang teman paling akrab sahaja.

ambivert tanda psikologi di tengah ekstrovert introvert 3

6. Anda pandai berkomunikasi

Seorang ambivert sangat gemar terlibat dengan perbualan yang intim, deep dan bersemuka, sama seperti mereka sukakan perbualan kosong dengan penumpang LRT yang tidak dikenali. Anda adalah pendengar yang baik dan boleh membezakan masa untuk bercakap dan masa untuk mendengar. Disebabkan mempunyai kualiti kedua-dua ekstrovert dan introvert, individu ambivert akan mengambil sedikit masa untuk berfikir sebelum berkata-kata dan mengelakkan mengucapkan sesuatu yang tidak rasional atau terlalu mengikut perasaan.

7. Anda sering tidak dapat membuat keputusan

Disebabkan individu ambivert adalah campuran kedua-dua ekstrovert dan introvert, mereka sering tidak dapat membuat keputusan sama ada ingin duduk di rumah membaca buku atau keluar ke suatu majlis networking untuk berjumpa teman baru.

Kekeliruan ini disebabkan ambivert dapat melihat kebaikan dan keburukan yang sama rata dalam setiap senario. Ia boleh menjadi suatu masalah kepada ambivert jika tidak berlapang dada selepas membuat keputusan. Sebagai contoh, anda mungkin tidak ada mood untuk menghadiri suatu majlis keramaian, lama-kelamaan anda merasakan diri menjadi cepat marah dan mula mendiamkan diri. Begitu juga sebaliknya, anda mungkin berasa sangat bosan berseorangan di rumah walaupun anda tahu ada banyak aktiviti atau projek yang boleh disiapkan.

ambivert tanda psikologi di tengah ekstrovert introvert 739

8. Boleh bekerja secara solo atau berkumpulan

Individu ambivert boleh bekerjasama dengan baik dalam satu kumpulan disebabkan mereka mempunyai keseimbangan antara keinginan menjadi tumpuan semua orang dan menjadi ahli kumpulan yang suka memerhati. Pada masa yang sama, mereka mampu menggalas tugasan secara solo dan tidak menghadapi masalah untuk mencari maklumat seorang diri.

9. Selesa dengan pelbagai personaliti 

Memandangkan ambivert boleh dikaitkan dengan kedua-dua ekstrovert dan introvert, mereka boleh bergaul bersama orang lain dengan mudah dan mampu menyesuaikan diri seperti seekor kameleon. Jika mereka berbual dengan orang yang peramah, mereka akan membiarkan orang itu bercakap dan jika mereka berkomunikasi dengan orang yang pemalu dan pendiam, mereka akan mengemudi perbualan itu dengan melebihkan bicara.

10. Anda ada ciri dan kualiti untuk menjadi usahawan yang baik

Seorang ambivert boleh menjadi pemimpin dan pengikut yang baik. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Psychological Science, individu ambivert didapati lebih berjaya dalam bidang jualan berbanding ekstrovert atau introvert. Ini disebabkan mereka mempunyai kombinasi dan keseimbangan antara bersikap tegas dan keghairahan melakukan sesuatu.

Rujukan:

1. SagePub

2. Psychology Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)