Methamphetamine, atau lebih dikenali sebagai meth atau syabu, adalah dadah yang berbahaya dan mempunyai kesan yang merosakkan pada tubuh manusia.
Salah satu kesan yang paling ketara yang boleh semua orang saksikan sendiri, adalah bagaimana perubahan drastik boleh berlaku pada wajah penagihnya. Adakah selama ini anda syak kenalan atau pasangan anda mungkin seorang kaki syabu?
BESARKAN TEKS A- A+
Jom kita kenalpasti bagaimana methamphetamine mempengaruhi kulit, gigi, mata, mulut, dan penampilan umum seseorang, supaya anda boleh cakna sebarang perubahan pada mereka.
1. Luka pada kulit muka
Penggunaan syabu akan menyebabkan masalah kulit yang serius. Satu tanda yang paling ketara adalah meth sores atau luka syabu.
Pengguna meth sering mengalami halusinasi yang membuat mereka merasa seperti wujudnya serangga merayap di bawah kulit mereka, menyebabkan mereka akan menggaru kulit mereka dengan kuat.
Garuan kasar dengan jari dan kuku mengakibatkan wujudnya luka terbuka dan jangkitan, kalau gagal dirawat boleh menjadi parut kekal yang merosakkan penampilan wajah.
Penagih syabu juga cenderung mengalami jerawat yang teruk, kerana kulit mereka mudah menjadi kering tetapi berminyak, menyumbang kepada pembentukan jerawat. Jerawat ini malangnya sering kali menjadi lebih teruk kerana pengguna syabu selalunya gemar mengabaikan kebersihan diri.
2. Gigi buruk, mulut busuk
Pernah dengar tentang meth mouth atau gejala mulut syabu?
Meth mouth merujuk kepada kerosakan gigi yang dialami oleh pengguna meth, akibat mulut menjadi kering yang mengurangkan pengeluaran air liur. Air liur kita tahu penting untuk melindungi gigi daripada kerosakan.
Tanpa air liur yang mencukupi, gigi penagih lebih mudah terdedah kepada kerosakan.
Pengguna syabu juga seperti sudah disebutkan gemar mengabaikan kebersihan mulut. Gigi mereka mudah reput, patah dan hilang. Gusi mereka juga biasanya dalam keadaan merah, bengkak, dan berdarah.
Oleh sebab itulah kebanyakan pengguna syabu kurang kacak berbanding individu lain, kerana kesan penggunaannya menjejaskan penampilan.
3. Mata merahÂ
Syabu memberi kesan yang ketara pada mata kerana penggunaannya menyebabkan saluran darah di mata membengkak, mengakibatkan mata kelihatan seakan merah dan berdarah.
Penagih juga sering mengalami lingkaran gelap di sekitar mata, menampakkan mereka seakan senantiasa letih dan tidak sihat.
Tanda paling jelas untuk kita kenal seorang kaki syabu adalah mereka mempunyai pergerakan mata yang cepat dilabel sebagai 'meth eyes'. Ini adalah tanda bahawa penagih syabu berada dalam situasi yang sangat terangsang sehingga gagal mengawal pergerakan mata mereka.
4. Wajah lebih tua berbanding usia
Penggunaan syabu memberi kesan yang ketara pada penampilan umum seseorang.
Satu kesan ketara adalah penurunan berat badan yang drastik,secara yang kuat dan menyebabkan penggunanya kehilangan berat badan dengan cepat. Sekaligus menyebabkan mereka kurus dan tidak sihat.
Pengguna syabu juga mengabaikan kebersihan diri, tidak mandi, tidak menukar pakaian, dan tidak menjaga kebersihan diri mereka; menyebabkan mereka kelihatan kotor dan tidak terurus.
Lebih malang, syabu menyebabkan penuaan yang cepat, penggunanya kelihatan lebih tua daripada usia sebenar mereka. Kulit mereka kering, berkedut dan hilang keanjalan.
Semuanya adalah hasil daripada bahan kimia yang terkandung dalam syabu, mempunyai banyak kesan sampingan negatif namun sayangnya sukar ditinggalkan bila bahan tersebut udah jadi satu ketagihan yang sukar dibendung mereka yang terjerumus ke dalamnya.
Itulah 4 tanda utama yang mampu kita lihat secara zahirnya pada seorang penagih syabu. Sekiranya anda merasakan kenalan atau pasangan anda ada tanda-tanda ini, lakukanlah siasatan. Ingatlah, dadah memang perosak keluarga, rumahtangga dan masyarakat.