Orang yang toksik lazimnya ada di mana-mana. Di kawasan tempat tinggal, di sekolah, di pejabat. Pendek kata, ada saja perangai manusia yang boleh memberikan impak negatif kepada kehidupan kita.

Agak mudah untuk kita menghindari manusia berperangai toksik jika tidak begitu dikenali, tapi sukar dilakukan apabila orang beracun itu mempunyai hubungan rapat dengan kita. Apatah lagi jika orang itu merupakan pasangan atau ahli keluarga terdekat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin dengan kawan-kawan lebih mudah dibuat. Kalau anda pernah unfollow atau unfriend rakan yang terlalu negatif di Facebook, anda pasti faham apabila saya kata lega sebenarnya bila kita jauhi orang yang mempunyai aura tidak begitu menyenangkan.

Ya, agama menegah kita daripada memutuskan silaturrahim. Tapi jika anda sentiasa dikelilingi oleh manusia toksik berfikiran negatif ini, anda mungkin boleh menghadapi masalah kemurungan dan menjalani hidup yang tidak menggembirakan langsung. Tak berbaloi.

Jika anda telah mencuba pelbagai cara untuk mengubah mereka namun tidak berhasil, anda tidak perlu memutuskan hubungan terus. Sebaliknya teruskan berdoa sambil cuba elakkan daripada berkomunikasi atau duduk berhampiran mereka. Cakap bila perlu dan bincang apa yang patut sahaja ya.

Anda mungkin pernah bertemu, berkenalan atau hidup dengan 9 jenis manusia toksik berikut:

#1 Kaki Gosip

Kaki gosip mendapat keseronokan dengan menjaja kesusahan atau penderitaan orang lain. Mungkin anda rasa syok dapat mengetahui rahsia peribadi dan cerita dalam kain orang lain, tapi jika lebih ramai orang melayan kaki gosip, maka mereka akan lebih teruja bercerita. Paling menyedihkan apabila cerita itu ditokok-tambah untuk lebih 'ummph!'. Kesian mangsa yang tak tahu apa-apa.

Sebaik-baiknya, elakkan membuang masa anda dengan mendengar gosip daripada manusia kategori ini. Dan hati-hati kerana jika boleh bergosip tentang Munah, Tipah dan Piah kepada anda, tak mustahil dia juga bergosip mengenai anda kepada orang lain!

geng gosip

#2 Berangin

Ada sesetengah orang yang tidak tahu langsung kawal emosi dan perasaan mereka. Sikit-sikit nak marah, sikit-sikit nak mengamuk. Andalah punca segala-galanya, semuanya salah anda. Manusia 'berangin' seperti ini sentiasa anggap anda sebagai punching bag dan anda perlu elakkan bergaul dengan mereka. Silap hari bulan, naik kaki tangan menyinggah ke muka anda.

#3 Mangsa Keadaan

Manusia toksik daripada kategori ini agak sukar dikenal pasti kerana pada mulanya, anda akan berasa empati dengan masalah mereka. Namun lama-kelamaan, anda mula nampak yang mereka ini sebenarnya menjadi mangsa dalam semua keadaan, tempat, waktu dan ruang.

Mula-mula anda berasa kasihan dan ingin membantu mereka. Tapi lama-lama mereka seakan-akan naik lemak dan mula memijak kepala anda. Sekecil-kecil perkara pun boleh dijadikan isu besar. Kononnya mereka menderita jadi mangsa yang 'ditindas' sajalah.

orang negatif

#4 Terlalu bangga dengan diri sendiri

Orang begini selalunya asyik bercerita tentang diri mereka sahaja. Mereka tidak begitu mempedulikan anda atau masalah yang sedang anda hadapi, sebaliknya mereka lebih pentingkan apa yang mereka sedang lalui. Jika anda bergaul dengan manusia toksik seperti ini, anda akan sentiasa berasa kesunyian dan tiada teman bicara. 

#5 Hasad dengki

Bagi orang begini, mereka tidak pernah faham erti bersyukur. Mereka sentiasa berasa dengki dan cemburu dengan kejayaan orang lain. Walaupun sesuatu yang baik terjadi kepada diri mereka, namun mereka masih lagi enggan bersyukur malah sibuk membandingkan diri dengan orang lain. Jika anda banyak meluangkan masa bersama orang begini, ia boleh membahayakan kerana anda akan sentiasa berasa ragu-ragu dengan keupayaan diri sendiri.

#6 Kaki putar

Kaki putar ini melayan anda seperti seorang rakan karib. Mereka tahu apa yang anda suka, perkara yang buat anda gembira, jenaka yang anda gemari. Pendek kata, mereka tahu serba-serbi tentang anda. Bezanya cuma mereka menggunakan maklumat-maklumat ini sebagai agenda tersembunyi. Mesti ada sesuatu yang mereka sentiasa mahukan daripada anda. Mereka selalu 'menerima' sesuatu daripada anda (wang, nasihat, usaha, pertolongan dan lain-lain) tapi tidak pernah berbuat apa-apa kepada anda.

Kata orang, manusia jenis ini tidak mendatangkan hasil. Daripada keringat anda diperah habis-habisan, baik anda jauhkan diri dan cari kawan yang betul-betul baik dengan anda tanpa ada udang di sebalik batu.

orang negatif perlu dijauhi

#7 Judgmental

Orang yang suka menilai orang lain ini seringkali gemar menyuarakan pendapat apa yang cool dan apa yang tidak. Kadang-kadang mereka punya penilaian itu buat anda rasa seperti sampah. Mereka tidak tahu menghargai dan belajar daripada orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka saja yang betul dan apa orang lain buat itu semuanya ada saja yang tidak kena. Mereka tidak cuba untuk memahami sesuatu situasi dengan lebih jelas, terus nak buat kesimpulan.

#8 Bongkak

Orang yang sombong hanya membazirkan masa anda sahaja kerana mereka merasakan merekalah manusia paling sempurna atas muka bumi. Semua benda nak ditayang dan menunjuk-nunjuk kepada anda. Tak cukup dengan itu, paling teruk apabila barang kepunyaan dan kehidupan anda pula diperlekehkan. Orang begini seelok-eloknya bina rumah dalam hutan dan berhenti bergaul dengan mana-mana manusia.

#9 Negatif

Pernah tak anda berborak riang dengan rakan-rakan, kemudian datang seorang lagi 'kawan' yang tak berapa digemari dan suasana tiba-tiba berubah menjadi suram? Orang yang mempunyai aura negatif ini merupakan seorang yang bersikap pesimis dan sentiasa berfikiran "susah", "takut", "tak boleh" atau ada saja komen dan alasan negatif yang diberikan.

Satu kajian yang pernah dijalankan oleh University of Notre Dame mendapati, pelajar yang dipasangkan sebilik dengan rakan yang berfikiran negatif akhirnya akan mempunyai fikiran yang negatif juga. Malah, anda juga boleh menghadapi kemurungan jika asyik berkepit dengan orang begini.

Hidup ini singkat. Jika anda kerap meluangkan masa dengan orang begini, bila masa anda nak rasa gembira?




Hakcipta iluminasi.com (2017)