Sejak trend selfie menular di kalangan pengguna Internet, banyak kali kita dengar perkataan narsis atau narsisistik digunakan. Tapi apa maksud perkataan ini sebenarnya?

Definisi narsisisme

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, narcissism atau narsisisme bermakna perihal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri. 

Sebenarnya telah ramai pakar psikologi seluruh dunia yang membuat kajian meluas tentang perihal narsisistik ini. Jika anda fikir bahawa ia hanyalah sejenis personaliti biasa, anda sebenarnya silap. Narsisistik sebenarnya merupakan masalah serius yang mempunyai ciri spesifik yang telah dikaji dan dikategorikan oleh pakar-pakar psikologi ini. Lagipun, anda perlu faham bahawa 'mempunyai harga diri' amat berbeza dengan 'terlalu asyik dengan diri sendiri.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara umumnya, narsisisme merupakan keadaan minda yang membuatkan seseorang individu berasa bahawa kewujudan mereka adalah lebih penting dan berharga daripada orang lain.

akulah yang paling cantik narsisistik

Jenis narsisisme

1. Grandiose Narcissism

Grandiose Narcissism mempunyai tanda-tanda klasik yang dikaitkan dengan narsisisme. Ini termasuklah sikap ekstrovert, terdesak mahukan perhatian dan kecenderungan untuk menjadi dominan dalam apa-apa perhubungan. Seseorang yang mengalami Grandiose Narcissism lebih cenderung untuk memilih kerjaya yang mempunyai kuasa seperti ahli politik dan selebriti.

Tapi ini bukanlah bermakna kesemua ahli politik dan selebriti itu narsisistik. Namun, seorang yang narsisistik berkemungkinan besar akan memilih kerjaya dalam bidang seperti ini untuk memiliki status tinggi dan mendapat perhatian daripada semua orang, termasuklah mereka yang tidak dikenali.

the beauty of me is that im very rich donald trump

2. Vulnerable Narcissism

Vulnerable Narcissism pula adalah berbeza dengan Grandiose Narcissism. Mereka yang mempunyai narsisisme jenis ini adalah lebih pendiam dan tidak banyak bercakap. Namun, mereka ini adalah manusia yang jatuh dalam kategori 'diam-diam ubi berisi'. Amat mudah berasa terhina sekiranya ada pihak yang membangkang pandangan mereka. Orang yang mengalami narsisisme jenis ini juga sukar untuk bertahan dalam perhubungan yang sihat kerana mereka sentiasa mengharapkan kesempurnaan daripada pasangan.

Kedua-dua jenis narsisisme mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan seseorang. Seseorang dengan grandiose narcissism cenderung untuk membuat keputusan yang lebih berisiko dan berbahaya namun kurang rasa belas kasihan pada orang lain. Manakala individu dengan vulnerable narcissism pula kebiasaannya tidak setia dalam perhubungan kerana mereka sering merasakan mereka berhak untuk mendapat pasangan yang lebih baik.

lagu ini mempromosikan sifat narsisistik

Kecelaruan Personaliti Narsisistik

Anda jangan keliru pula sifat narsisisme yang biasa dilihat setiap hari dengan 'penyakit' ini. 'Penyakit' kecelaruan personaliti narsisistik ini hanya terjadi kepada 1-2% sahaja daripada populasi dunia. Ia juga terjadi kepada lebih ramai lelaki dewasa berbanding wanita.

Menurut Manual Diagnostik dan Statistik edisi kelima Persatuan Psikiatrik Amerika, berikut merupakan ciri-ciri kecelaruan personaliti narsisistik:

  • Kurang rasa empati kepada orang lain kerana mereka sering dilihat seperti kurang berharga.
  • Terlalu meninggi diri dan mempunyai kepercayaan yang kukuh bahawa dirinya lebih penting daripada orang lain. Merasakan dirinyalah yang paling bijak dan paling menawan dalam apa jua keadaan.
  • Sentiasa mengimpikan kuasa yang tidak terbatas, kecantikan paling menawan dan percintaan yang ideal.
  • Perlu disukai dan disayangi secara berlebih-lebihan daripada orang sekeliling.
  • Merasakan mereka mempunyai hak dan keistimewaan yang tinggi. Semua jangkaan dan permintaannya mesti dipenuhi.
  • Sentiasa berasa cemburu dengan orang lain dan percaya bahawa orang lain pun berasa cemburu dengan dirinya.

terlalu obses dengan diri sendiri

Punca kecelaruan personaliti narsisistik

Pelbagai kajian telah dibuat untuk mengenalpasti punca terjadinya sifat narsisisme ini. Faktor genetik juga telah dikaji dengan meneliti kejadian kecelaruan ini dalam pasangan kembar.

Walaupun faktor genetik sedikit sebanyak mempengaruhi berlakunya penyakit ini, namun didikan dan asuhan ibu bapa sebenarnya merupakan salah satu punca ia terjadi. Jika ibu bapa membesarkan anak-anak dengan penuh pujian dan pujaan sepanjang kehidupan mereka, anak-anak ini akan lebih cenderung untuk mendapat narsisisme grandiose.

Begitu juga sebaliknya, jika ibu bapa bersikap dingin dan tidak beremosi langsung terhadap anak-anak, mereka berkemungkinan mendapat vulnerable narcissism.

terlalu suka dengan diri sendiri

Budaya narsisistik

Selain didikan ibu bapa, budaya masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan manusia narsisistik ini. Masyarakat yang mementingkan keindividuan berbanding dinamik kelompok mungkin banyak menghasilkan individu yang narsisistik.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, bilangan pesakit yang mengalami kecelaruan personaliti narsisistik semakin meningkat sejak tahun 1970. Ini berbeza dengan tahun 60-an di mana masyarakat masih mengamalkan kehidupan berkomuniti yang tidak mementingkan diri sendiri.

lagu narsisistik

Narsisistik dan media sosial

Banyak kajian psikologi yang cuba meneroka kaitan peningkatan narsisistik dengan penggunaan media sosial. Walaupun nampak seperti ia mempunyai hubung kait yang rapat, namun belum masih ada fakta sahih yang membuktikan dakwaan ini. Media sosial sebenarnya hanyalah platform paling mudah yang memberikan peluang pada kesemua manusia narsisistik ini untuk menonjolkan diri pada dunia.

Narsisisme ini merupakan satu 'wabak' yang memakan diri dari dalam dan pada masa yang sama membuatkan orang sekeliling merana. Ia masih boleh diubati dengan rawatan psikoterapi namun mungkin agak sukar kerana sifat individu narsisistik yang bencikan kritikan ke atas diri mereka.

Kesimpulannya, jangan perasan sangat. Bawa-bawalah bertenang, tarik nafas dan cuba sekali-sekala selami serta fikirkan perasaan orang sekeliling anda.

orang perasan

Sumber rujukan:

1. Psych Central

2. NHS UK

3. American Psychological Association




Hakcipta iluminasi.com (2017)